Friday, December 25, 2009

HUJAN


Hujan


Ketika berdiri

dianjung langit sore

awan kelabu berarak

hujan gerimis datang merenjis

membasahi daun daun jendela

dan tempiasnya

menyentuh sanubari


Hujan terus mencurah

Sang kodok terus berlagu indah

mengiringi irama gundah

menyapa mimpi tiada yang sudah

dikepung rimba duka

disambar halilintar

membakar gelaktawa


Turunlah...

merejam bumi

yang kesakitan

tiada siapa pun tahu

aku kaku menunggu

di ruang-ruang kelam

melihat titisan titisan terakhir

melekat dipintu cermin

menahan sebak rindu

melepaskan keperitan ini

tersungkur dalam lumpur

melupaimu

Tuesday, December 8, 2009

Perjalanan Semakin Lancar…Semua A

Sekadar Hiasan: Kegembiraan ini lebih bererti dengan
sekuntum syukur dan sejambak ketakwaan


Perjalanan Semakin Lancar…Semua A

ALHAMDULLILAH keputusan semester KEDUA ni dah pun keluar, semua A…ya lah dua paper jeeeeeee. Ini bermakna syarat PERTAMA untuk 12 kredit untuk pengijazahan telah selesai di campur SEMESTER pertama yang dahulu…Syarat KEDUA pembentangan proposal jua dah SELESAI…Syarat KETIGA Peperiksaan Komprehensif dah juga LULUS. Syarat KEEMPAT penulisan 2 jurnal untuk PENERBITAN…tak terbuat lagi dan SYARAT SYARAT lain masih lagi…………..AH…letih nak diceritakan. Walau apa pun diharapkan ia semakin LANCAR…dan… LANCAR…



Thursday, November 26, 2009

SALAM AIDIL ADHA


Salam Penuh Pengorbanan. Moga aidil adha ini datang dengan penuh keinsafan dan ketakwaan. Moga ukhwah terjalin erat. Moga penyucian korban ini memberi sejuta makna kepada insan-insan yang memerlukan.

SEJERNIH IDUL ADHA PENAWAR UBAT KEALPAAN

Saturday, November 21, 2009

Keresahan terurai KEJAYAAN dirai

Keresahan terurai KEJAYAAN dirai



Pertama sekali TAHNIAH ayah titipkan buat abang long yang memperoleh 5A dalam keputusan UPSR. Tiada kata yang ayah lafazkan sebenarnya melainkan jutaan kesyukuran kepada Allah. Jua terima kasih buat tenaga pengajar, guru-guru SK Che Latiff (walaupun sekolah kampung tetapi telah melahirkan ramai ilmuwan) yang bertungkus lumus memberi didikan dan ajaran untuk abang long. Sebenarnya ayah tidak meletakkan sasaran yang cemerlang, kerana ayah tahu kemampuan abang long. Tambahan pula, kesibukan ayah jua dalam mengejar cita-cita. Ayah meletakkan kepercayaan kepada guru-guru dan abang long sendiri. Ayah hanya memberi sokongan dan motivasi serta mencabar abang long sebagai anak pertama dalam keluarga. Biarpun abang long bukanlah murid target di sekolah namun abang long telah MEMBUKTIKANNYA. Hasrat ayah mahu menjadikan abang long sebagai penggerak utama untuk adik-adik. Ayah telah katakan bahawa walau tidak memperolehi A sekali pun dalam UPSR ini tetapi ayah mahu melihat sikap dan sahsiah yang cemerlang. Perjalanan masih terlalu jauh…masih jauh dan perlu mendaki dengan lebih gigih. Doa dan selamat ayah iringi hidup abang long.


Semoga berkiblatkan akhlak Rasullulah, al-Quraan pegangan hidup, dan hanya ALLAH yang wajib kau sembah. Semoga Allah menyayangi anak-anak AYAH...

Posted by Picasa

Monday, November 9, 2009

MAWAR Di mata HATI Seorang WANITA


Mawar Di Mata HATI Seorang WANITA


Wanita sering digambarkan sebagai sekuntum mawar. Indah, cantik, beraneka warna, membuat indah dimana ia berada, dan menyenangkan bagi sesiapa pun yang melihatnya.


Ada kebanggaan tersendiri bagi kaum wanita bila dirinya diidentitikan dengan sekuntum mawar. Terasa romantis dan membuat perasaan melambung tinggi ketika mendengarnya.


Meneliti sebuah puisi yang disembahkan oleh Zurinah Hassan, mawar yang mempunyai kelopak-kelopak yang berwarna cantik dan berbau harum sudah pasti wangiannya akan semerbak menghiasi taman. Kumbang-kumbang atau rama-rama akan mendekati dan bertahta di kelopaknya, begitulah ia digilai dan cintai TETAPI apakah disebalik puisi Tiba-tiba Kau Datang dan Pergi:

Kau datang ke kamarku

dengan sejambak mawar

dan membenarkan aku

menciumnya dari tanganmu

betapa harum dan lembut





Gembira kau pun bermohon diri

dan pergi tanpa ketahui

yang duri-duri dari mawarmu

telah menikam bibirku

(Di Sini Tiada Perhentian: 9)


Apakah perempuan yang menerima mawar itu sedar bahawa suatu masa nanti mawar itu pula akan menikamnya?


Apakah mawar itu sedar akan tujuan keberadaannya dan membentengi diri dengan duri di sebalik keharumannya?


Apakah lelaki itu dayus sehingga meninggalkan diri tanpa pesan?


Hanya MEREKA yang sanggup mengatasi rintangan duri itulah yang mampu menikmati keindahannya dan kebahagiaannya.


Apakah erti-erti ini menggambarkan yang SEBENARNYA:


  • Mawar merah adalah media untuk menyatakan perasaan cinta kepada pasangan Hal ini kerana merah merupakan lambang dari kecantikan dan ghairah cinta yang bererti cinta yang mendalam. Selain itu, mawar merah juga melambangkan penghargaan dan keberanian.

  • Mawar putih melambangkan kemurnian, kesucian dan kerendahan hati. Lambang tersebut diertikan sebagai cinta yang suci dan meneduhkan, bukan cinta berlandas hawa nafsu.

  • Mawar kuning diidentitikan dengan keakraban, persahabatan, kesederhanaan, kesenangan dan kegembiraan.

  • Mawar merah muda menunjukan kebahagiaan. Mawar ini diberikan sebagai ucapan terima kasih atau syukur dan juga sebagai simbol kekaguman atau simpati kepada seseorang yang dituju.

Tuesday, October 27, 2009

Satu Perjalanan SEJUTA PENGORBANAN

Satu Perjalanan SEJUTA Pengorbanan


Saban minggu berulang alik dari Pengkalan Chepa ke Serdang satu pengalaman yang cukup meletihkan dan memenatkan. Namun demi cita-cita dan sebuah perjuangan ia perlu diisi, perlu direalisasikan. Kesukaran dalam mengejar cita-cita adalah satu rentak yang mengubah rutin kehidupan. Anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang dari seorang ayah perlu jua mengubah kosmogoni itu. Pengharapan yang paling besar tentunya ayah serahkan buat abang long, yang kini telah cuba mengerti dan memahami situasi ini. Terima kasih anakku. Moga suatu hari nanti kau jua bisa memperolehkan keberkatan dan kesabaran dalam pencarian segulung ilmu ini. Buat anak-anakku, tentunya keterlangsungan hidup ini, sebenarnya adalah sebuah ketirisan dan kesusahan sewaktu bergelar pelajar suatu waktu dulu. Kesusahan hidup sekeluarga menyebabkan cepat-cepat beralih arah untuk memperolehi pendapatan sendiri. Apatah lagi ketika zaman kemelesetan ekonomi ketika itu.


Keputusan dan atas desakan keluarga terpaksa tunduk untuk menerima dan memasukki maktab perguruan (MP Kota Bharu) walaupun berkesempatan tentunya untuk terlebih dahulu menduduki STPM dan sereterunya berpeluang cerah untuk menduduki tangga universiti. Namun dalam hati sering berjanji dan mengingati bahawa suatu masa nanti akan kujejaki jua gedung ilmu itu. Akhirnya aku dipostingkan di kawasan yang agak pedalaman di Terengganu, walau sukar sekali pun aku mengambil peperiksaan STPM secara persendirian. Aduh siapakah yang mahu mengajarku...jauh dari pusat bandar tentunya sukar untuk mendapat kejayaan ini. Tekad tetap ada, BEBERAPA kali mencuba akhirnya hasil cukup manis jua mendapat 5 prinspal dalam peperiksaan itu. Ya. Allah... lembah kesyukuran kupanjatkan. Ku diterima masuk ke USM melalui pengajian jarak jauh. USM kampus hijau cukup mendamaikan. Cukup indah. Cukup mengerti hasrat lelaki ini untuk mencintaimu. Perjalanan ilmu ini, cukup menyedarkan bahawa terlalu kurang ilmu disisiku. Ku hela nafas panjang-panjang dan dalam daif ku harungi liku-liku perjuangan seorang pelajar dan tidak lupa kerjaya seorang guru harus ku pikul dan kutambat dalam hatiku. Dua-dua serentak dan tentunya lagi memerlukan pengorbanan dan pemahaman seorang isteri. Terima kasih isteriku, walau ku tahu banyak hatimu terluka namun dengan kesabaran dan keinginan suami mendaki dan memilikki segulung ijazah kau reda. Akhirnya cita-cita dan impian itu direalisiasikan dengan kuntuman kejayaan.


Namun, semangat dan cita-cita jua keperitan itu mengiringi untuk sekali lagi berkorban memperolehi ijazah sarjana. Nekad daripada itu, UPSI adalah ibu kandung suluh budiman memberi titik cahaya menerangi kegelapan. Berjayakah aku.....Jua aku mohon pengertian buat anak-anak yang ayahmu masih dahagakan ilmu, masih cintakan ilmu, atau masih berdendam untuk melupakan kegagalan lalu....Pasti situasi sekeliling memandang satu pandangan yang berbeza buatku...Kata ibu...dahlah tu belajarnya...anak-anak pula memerlukan didikan dan asuhan...biar mereka teruskan cita-cita itu. Aku mohon ampun pada mak, pada ayah dan pada kakak yang ketika dulu sanggup berkorban dan mengeluarkan segala perbelanjaan untuk diriku...aku tidak berhenti di sini...ya..memang sukar terutama pengorbanan wang ringgit untuk diri dan perbelanjaan pengajiaan. Akhirnya setelah berhempas pulas, Ijazah Sarjana Pendidikan (M.Ed) telah kuperolehi..Alhamdulilah...Allah memudahkan segala perjalanan hidupku yang pada dasarnya kurasakan terlalu sukar untuk dimiliki....


Walaupun usia hampir menginjak ke 40, tekad dan semangat mahu menyambung ke peringkat PHD tidak pernah terpadam walau sekelumit pun. Yang penting mana nak ku cari duit lagi untuk menampung pengajianku.................menjadi perjalanan usia itu terbuang begitu...Ya....Allah telah mengabulkan doaku...tanpa persiapan apa-apa untuk menghadiri temuduga HLP aku berjaya memperolehi BIASISWA. Ku percaya bukan sedikit perbelanjaan yang harus ditanggungi oleh KPM. Allah Maha Besar, Allah Maha Agung, Allah Maha Kaya, Allah Maha Pengampun, Allah Maha Kasih, Allah Maha Mendengar, Allah Maha Mengetahui hasrat dan isi hati hambamu yang hina ini.


Dalam kedaifan itu dan KETERUJAAN yang amat sangat Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi destinasi arah untuk ku menimba, menggali, mempratikkannya dan melunasi segala hasrat dan cita-cita selama ini. Tiada gambaran dan pastinya air mata SEBAK mengiringiku sebaik sahaja aku menjejakkan kaki dan mendaftar sebagai salah seorang calon PHD di UPM...satu rahmat yang paling BESAR yang kuterima. Terima Kasih Allah, ku syukuri nikmatMu yang diberikan ini, mengabuli hasrat dan inspirasi ini.....





Saturday, October 24, 2009

BUNGA AWAN

Bunga Awan


Seputih kasih

Meniti pelangi

Mengegar rasa

Meneduh pancaran

Menutup duka

Menerbit hujan

Menyejuk laman


Sesejuk Rindu

Mencari khilaf

Menitis aksara

Menguji makna

Menali langit

Membeza malam

Merimbun azam


Seranjang Cinta

Meriwayat citra

Merawat dosa

Menyimpan waham

Memilih diam

Mewangi semerbak

Sekuntum bunga awan

Monday, October 12, 2009

Masih Aku Menanti

Sekadar Hiasan

Masih Aku Menanti

(Buat suami yang ditinggalkan isteri)



Ketika musim itu

sebutir rindu membelai

melagukan irama suci

dan kita bertemu

dalam pintu hati

bersaksi jendela setia

lenanya mengulit mimpi

manisnya waktu bersama

yang tidak terpadam

biar berkurun lama


Tanpa kudrat aku berilusi

merenung lautan nan sepi

di danau kasihmu

melihat kau lari

dalam suram gerhana

tinggalkan teruji aku

menatap syahdu

mengunyah pedih

terasa tiada harga lagi

terpaku menunggu

jauh darimu


Aku semakin sebu

saratnya keberangkatan ini

tanpamu disisi

merintih sendiri

lalu kukucup sejenak potret janji

sebenarnya aku masih menanti

dan mahu kau tahu

kekuatan cinta mengatasi

utuh dan padu

tetap abadi

walau rohkan pergi

dari jasad ini

Sunday, October 4, 2009

Pembentangan Proposal/Seminar


Gambar: Perasmian oleh Timbalan Dekan Siswazah UPM


Alhamdulilah, pembentangan proposal untuk pengesahan tajuk PHDku berjalan lancar semalam (3 Oktober 2009). Perasmian dilaksanakan oleh Timbalan Dekan Siswazah UPM yang berlangsung di Dewan Za’aba. Kesemua yang mendaftar untuk Seminar baik PHD dan Master dengan tesis dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi turut membentangkan hasil kerja mereka.



Pembentangan proposal ini melibatkan kesemua calon PHD dan Master di bawah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Seramai 12 calon PHD dan 9 calon Master untuk pengkhususan Bahasa Melayu. Kesusasteraan Melayu 2 PHD 8 Master. Bahasa.Inggeris 9 PHD, 3 Master, Kesust. Inggeris 1 PHD, 7 Master, Kesust. Cina 6 Master, Bahasa Arab 1 PHD, 7 Master, dan Jabatan Komunikasi 5 PHD dan 4 Master.


Pembentangan ini dibuat di bilik khas dengan hampir kesemua pensyarah turut serta untuk mendengar, memberi komen dan membuat kesimpulan jua pemberian markah untuk proposal tersebut. Peserta-peserta yang hadir turut boleh memberi pandangan dan bertanya mengenai pembentangan tersebut.


Alhamdulilah walaupun ini hanyalah pembentangan proposal tetapi darah gemuruh dan debaran untuk pembentangan ini hanya Allah sahaja yang tahu. Sebelum pembentangan lagi asyik-asyik nak ke tandas sahaja dan terasa nak tercabut sendi lututku. Hehehe..walaupun aku dah biasa bercakap kat Perhimpunan Sekolah rupanya lain betul bezanya.. Syukur sebenarnya kepada Allah walaupun terdapat beberapa komen dari Dr. Zariat dan Dr. Fazilah, namun komen-komen itu rasanya cukup membina dan menyedarkanku dalam sesuatu pernyataan yang ingin dibuat mestilah berlandaskan kepada fakta yang tepat dan keesahan. Mujurlah tajuk yang aku kemukakan tidak meimbulkan perdebatan yang hebat. WOW pembentangan untuk tesis master begitu lantang diperkatakan dan aku rasa kekuatan minda untuk menangani permasalahan itu perlu kuat walaupun komen-komen itu sebenarnya untuk memberi teguran, pembetulan dan pemahaman kepada calon-calon.


Selepas pembentangan lapang selapangnya hatiku. Ya Allah hanya padaMu ku lafazkan syukur dan Terima kasih. Jua aku ucapan jutaan terima kasih buat penyelia tesis PHDku Dr. Samsina yang selama ini dan sehari sebelum itu memberi teguran, pembetulan terhadap hasil proposal yang ingin dibentangkan.


Walaupun dah kurang sibuknya, aku masih belum menyiapkan satu tugasan lagi dan seterusnya menghadapi pula peperiksaan.

Friday, September 18, 2009

Salam Aidil Fitri

Semoga detik yang tiba ini mewarnai seri Syawal. Jutaan kemaafan dilafaz agar tali yang kusut selama ini diurai dengan seribu senyuman. PERCAYAlah inilah kemenangan yang hakiki setelah dirempuh gelombang ujian. SALAM AIDIL FITRI BUAT INSAN-INSAN YANG SUDI SINGGAH DITERATAK BeLaiAn jiWa.

Saturday, September 5, 2009

MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA




Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniah puasa itu antara lain seperti berikut:


*Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah SWT


* Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria.

* Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan.


* Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci.


* Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.


* Hendaklah hati merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala

SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARIPADANYA


Friday, August 28, 2009

Buana Ramadhan



Dinginnya waktu ini menglingkari saat saat lena
sedangkan ranting ranting pepohon sujud bertafakur
sedangkan unggas unggas dan segalanya memuji kebesaran-Mu
menjunjung hikmah dan menghambat kemanisan seribu bulan
mencari keredaan
keampunan Ilahi
agar gemaan rahmat terhimpun diribaan
hingga buih buih yang tersirat bercantum
menjadi doa yang makbul


Kesunyian malam
mengajari erti ke-Esaan
menyapu jiwa dalam butiran tasbih
mengucap nur kasih yang abadi
dan ikatan takwa
moga moga sepertiga ini
datangnya sejuta anugerah
yang dilontarkan di kaki insaf


Embun yang menitis
adalah rebutan perkasihan lailatulqadar
adalah pelikuran saham yang mustajab
adalah petunjuk kebenaran penebus dosa
adalah kesejukan penghilang kehausan
dalam sinar lentera keletihan
menuntut wangian kesturi di syurga
kemenangan yang maha hebat
berulit sahur kasih
di buana Ramadan-Mu

Saturday, July 25, 2009

Pertemuan Dengan-Mu


Rab
Pertemukanku dengan cinta tauhid-Mu
Pertahankan kalbuku dari dilukai
Pudarkan jalan kesesatan
Suluhiku lorong keimanan
permudahkanku merempuh seribu halangan

Rab

berikanku
Rasa kudus dan suci mengairi taman hati
Menyegar dan menyuburi
Kehausan dan kekeringan selama ini
Menjadi benteng kekuatan
Dari nafsu yang membuak
Satu kemenangan memeluk cinta-Mu

Rab
Pertemuan ini menyedarkan

di saat rohku kan terkulai layu
ampunkanlah daku
setelah sejuta dosa
mengelilingi hidup

Rab
biarlah air mata ini menjadi saksi
sebuah keinsafan
ditali gantung penuh misteri



Sunday, July 19, 2009

Belajar Atau Mengajar


Belajar dan Mengajar, satu pengertian yang cukup berbeza.

Semasa MENGAJAR aku tidak pernah beri peluang kepada pelajarku buat hal sendiri. Mesti tumpu. Mesti selesai kerja rumah yang diberi. Mesti skor A. Mesti ulangkaji. Jangan Malas. Tanya kalau tidak faham. Tiada alasan untuk gagal. Mesti sempurna.

NAMUN...tiba pula giliranku bergelar PELAJAR.

Tugasan berlambak, kena baca itu, kena baca ini, makin baca makin tidak faham. Nak buat sesuatu, buka laptop berjam-jam, hanya beberapa perkataan yang ditulis atau tidak ada langsung perkataan. Hairan aku. Masuk pula perpustakaan, tidak sempat nak baca. Hanya sekadar memilih-milih buku-buku. Itu pun rasa-rasa semuanya tidak sesuai. Masa terbuang begitu sahaja. Tugasan tidak sempat nak disiapkan.

KINI...baru aku sedar HEBATnya jadi PELAJAR:

Yang sentiasa ditindas gurunya

Yang sentiasa mengharap untuk dikasihani

Yang sentiasa menjadi peminta sedekah

Yang sentiasa disuruh untuk buat entah apa-apa

Yang sentiasa menYESkan semuanya

Dan ....

LA NI baru aku tahu HEBATnya jadi GURU!!!

Thursday, July 16, 2009

Di Sebalik Diri

Umpama sebiji epal, zahirnya mempunyai kemanisan dan tersirat khasiatnya dan tiada sesiapa pun mengetahui disebaliknya . Mungkin ia berulat atau telah digigit sesuatu...Mungkin...Oleh itu nilailah sesuatu itu melalui akal fikir dan mata hati. Tidak semestinya apa yang kita lihat di depan mata kita adalah indah dan cukup sempurna...

Saturday, July 11, 2009

Kembali Sibuk





Semester Baru dah bermula...Semestinya aku mula kembali sibuk dengan pelbagai tugasan yang telah pun diserahkan. Namun itu semua adalah rentetan sebuah kehidupan yang semestinya dipikul oleh seorang yang bergelar mahasiswa seperti aku. Mahasiswakah aku...atau mahasistua. Itu semua tidak penting, usia bukan penghalang untuk seseorang menuntut ilmu. Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah ilmu harus dituntut. Pengorbanan sememangnya menuntut segala-galanya. Masa, tenaga, wang ringgit, kasih sayang, dan segala-galanya....BERJAYAKAH AKU MENGHADAPINYA?
Posted by Picasa

Sunday, June 28, 2009

Hujan dan Kesakitan

Hujan...adakalanya ia begitu kejam dan senjata pemusnah yang mengebom kehidupan alam. Menjunam turun menikam pada paksi kehidupan. Bumi menjerit kesakitan apabila direnjam besi-besi tajam yang berjuta jumlahnya. Siapakah yang sudi mendengar jeritan dan laungan bumi itu?

Wednesday, June 24, 2009

Memori Tercipta



Kenangan Terindah: MPKB 90/92 PM1

Lelaki: Ariffin, Sahimat, Nik Mawardi, Bakerya, Zakaria, Osman, Jefri, Azman, Radzi, Bakri, Hamid, Zamri.

Perempuan: Azma, Zaini, Noraini,Rusydah, Norzilawati, Rashidah, Ramlah, Sakina, Fairus, Nik Rugayah, Anida, Maziah, Zalini, Rapidah, Salmah

Tutor: Pn. Marinal Hussien dan Tn. Hj Mohd Ismail

Di mana kalian berada kini. Tetiba je memori ni datang menerpa, tidak sukar untuk mengingatkan nama-nama kalian kerana kalian tetap dihati ini. Betapa indahnya memori sepanjang perjalanan tersebut. Mungkin aku yang agak paling muda ketika itu tentunya mendatangkan banyak masalah kepada kalian. Maklumlah kata ko orang tak baligh lagi. Hahahaha. Banyak tunjukajar yang kalian berikan. Terima kasih, hanya Allah yang dapat membalasnya.

Ya, rupa-rupanya hampir 16 tahun kita tinggalkan dan kemungkinan juga hampir selama itu kita tidak bertemu. Masing-masing membawa haluan dan tuju arah menjadi guru yang berkaliber dan dedikasi. Berselerakkan seluruh tempat dan pelosok ini. Bergelombang dalam dunia pendidikan. Kita diajari dengan psikologi dan pedagogi untuk membentuk pelajar menjadi insan. Insan yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual (JERI). Lantas kita cuba mempratikkannya. BERJAYA? Tentulah, takkanlah ramai dikalangan anak didik kita berupaya menjejaki menara gading dan diharapkan menggunakan ilmu itu ke jalan yang diredai Allah.

Macammana sekarang? Tentu banyak perbezaannya ? Usia dah meningkat, raut wajah pun mungkin sedikit berbeza dari dahulu. Dulu bujang sekarang dah kahwin. Tak tahulah kalau jumpa mungkin tak cam kot? Harap-harap tidaklah. Syukurlah hingga ke hari ini kita masih mampu bernafas dan dapat melihat segala keindahan dan kecantikan di dunia ini. Allah Maha besar memberikan segala rezeki dan kemurahannya untuk kita sentiasa mengingati-NYA.

Sebenarnya banyak kenangan yang terbayang-bayang kat memori ni. Semuanya manis belaka...Yang pahit...terpaksa ditelan dan buatkan satu pengajaran dan ilmu yang cukup berharga. Jadikan ia sebagai tinta emas untuk dinilai yang mahal nilainya.

Buat Tutor Pn. Marinal Hussein dan Tn. Hj. Mohd Ismail sepanjang 2 ½ tahun menjaga dan memberi didikan bukan sahaja ilmu pendidikan tetapi jua soal hati dan perasaan. Terima kasih banyak-banyak. Segala ilmu yang kau curahkan tetap terpahat dan iringi doa dariku ” Semoga Kebahagian dan Kemanisan mengitari Alam Hidupmu”

Salam Manis.



Posted by Picasa

Monday, June 22, 2009

Istimewa Buat Mereka Yang Bergelar Insani

Nafas Seorang Ayah



Seorang ayah itu jantung kesedaran yang mengempan
kekuatan
denyutan nafas membekal keharmonian
bagai rangkap lagu meniup keasyikkan
meresap dalam akal
mereda uraian pertelingkahan
empang kesabaran

Seorang ayah itu limpa kehidupan yang mencaturkan
kemanusiaan
mengembali semangat kelunturan
menyelami gurindam menghargai budaya
bertahan dalam nafas keinsanan
dialiri kapilari kekuatan
mengatur diri dalam hayat plasma
injap ketulusan

Seorang ayah itu hempedu peradaban yang mencerna
kebenaran
enzim yang menghidrolisis ketakwaan
ubat penawar pemberi kesihatan
menghanyut nafsu nafsi
merembes iltizam walau sukar mengukir hakikat
lautan iktikaf

Seorang ayah itu hati keakraban yang menemukan makna
perjuangan
detoksifikasi yang menukar kejahilan
wayang mendalang citra perwatakan
meraut muhasabah menyusuri diri
menjunjung budi umarak
menyirami sirah rasulullah



Tanpamu Ayah...Tiada Nafasnya seorang anak yang bernama aku...
Selamat Hari Bapa.

Sunday, June 14, 2009

Keputusan Peperiksaan Semester

Alhamdulillah keputusan peperiksaan semester 1 telah keluar, biarpun banyak cabarannya namun ia cukup berbaloi buat diriku. Terima kasih buat Dr. Samsina Abd Rahman dan Prof Madya Lim Swee Tin yang tidak jemu-jemu memberi teguran dan tunjukajar. Paper yang diambil:

BBK5208 Struktur Analisis Puisi Melayu

BBK6401 Reka Bentuk Penyelidikan Kesusasteraan Melayu

Semua dapat A...Syukur sangat kepada Allah SWT

Pendaftaran semester baru akan bermula Jun ini. Untuk semester ini aku terpaksa bekerja lebih keras lagi. Mungkin paper ni aku kena ambil untuk mencukupkan 12 kredit.

BBK6201 Teori dan Falsafah Kesusasteraan

BBK6202 Filologi dan Kajian Manuskrip Melayu

SPS6999 Penyelidikan Doktor Falsafah (selagi tak selesai tesis kena la amik...)

SPS6903 Seminar ( Kena bentang proposal...InsyaAllah)

Yuran pengajian tidak perlu fikir lagi. Terima Kasih KPM. Yang pastinya menumpukan sepenuh perhatian terhadap subjek-subjek ini. Semoga Allah mengiringiku dengan jalan-jalan yang terang dan bersuluh menuju sebuah kejayaan walaupun di usia sebegini. Amin

Saturday, May 30, 2009

Sajak


PENITIR DUKA
(Buat mereka yang bergelar guru)

Dalam menyusun menjadi perkasa
mengenal huruf dan angka
mengenal warna dan bangsa
mengenal indah dan budi
agar dirimu terarah
teguh dan agam
menjadi pendeta.

Dalam memugar ilmu di jiwa
kaunyalakan lilin
mewitirkan doa
mewarna dan menggarap cita
mengisi dan mencerna peradaban.


Dalam rebah membenih rasa
kausirami penawar
dari pohon kasih bertunjangkan iman
mencoretkan makna dan ketulusan
erti sebuah kehidupan.

Dalam sukar membina warga
kausemai peribadi bangsa
cermin luhur budaya diri
memintal rasa cinta
menjunjung kemuliaan
mendaulat roh bahasamu.
Namun
dalam leka mencipta gemilang
kauterduduk terdiam
walau air mata pedih mengalir
anak didikmu lupa janji
mengikut serakah berahi
bersalut nafsu
di pentas keintelektualan
yang kauajari.

Muhfad Yusoff
Pengkalan Chepa, Kelantan

sumber: Berita Harian 16 Mei 2009

Tuesday, May 26, 2009

Penyelia PHDku: Dr Samsina Abd Rahman

Anismas Ar atau nama sebenarnya Dr. Hajah Samsina Hj. Abd Rahman dilahirkan pada 19 Januari 1962 di Desa Serom 5, Sg. Mati, Muar, Johor Darul Takzim. Beliau bersekolah di sekolah Rendah (Inggeris) Abdullah, Sg, Mati, Muar, Johor iaitu di Sek. Men. Pei Hwa, Sg, Mati, Muar, Johor, di Sek. Men. Convent, Muar, Johor dan Maktab Adabi Maharani, Muar sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor pada tahun 1982. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Kelas Dua Atas) pada tahun 1986, Ijazah Sarjana Persuratan pada tahun 1990. dan Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1998 dari UKM.

Bidang kepakaran beliau adalah Kesusasteraan Melayu khususnya Puisi Melayu, Falsafah dan Pemikiran dalam Kesusasteraan Melayu dan Kesusasteraan Melayu Islam (tasawuf). Dalam tesis Ph.Dnya, beliau telah menggunakan teori Takmilah (sastera Islam) yang dikemukakan oleh Dr. Shafie Abu Bakar (UKM) dalam menganalisis unsur-unsur tasawuf dalam puisi-puisi Melayu moden di Malaysia dan Indonesia sepanjang dekad 1970 hingga 1990.

Sewaktu menuntut di UKM, beliau aktif dalam persatuan dan penulisan puisi. Misalnya, menjadi ahli grupemuisi sejak tahun 1982 hingga 1990 dan menjadi setiausaha penerbitan dan publisiti, Persatuan Antropologi dan Sosiologi, UKM malah pernah menjadi editor buletin IBKKM, UKM sewaktu diterajui oleh Prof. Ismail Hussein. Anismas Ar mula melibatkan diri dalam penulisan puisi Melayu sejak di tingkatan tiga lagi dan puisinya disiarkan dalam majalah sekolah. Sepanjang penglibatannya dalam penulisan puisi, puisi-puisinya pernah tersiar dalam Majalah Kamsis Aminudin Baki, UKM, Majalah Aspirasi (majalah tahunan PMUKM), majalah al-Islam, majalah Suria dan majalah Dewan Sastera. Kumpulan puisi yang pernah dihasilkan oleh beliau berjudul Pelayaran (1984), Anggur Kehidupan (2002), Melepasi Aksara Usia itu (2006) dan Puncak Jihad (2008). Beliau mendapat ilham untuk menulis puisi semasa beliau pergi bercuti bersama keluarga serta di mana sahaja beliau berada tidak kira masa.

Anismas Ar pernah memenangi hadiah utama Sayembara Penulisan Kreatif dan Kritikan Sastera peringkat Inter-varsiti anjuran UKM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan pustaka pada tahun 1986 di samping memenangi beberapa hadiah penghargaan dan tempat ketiga dalam sayembara penulisan puisi dan esei kritikan di peringkat UKM. Pada tahun 2001, 2003, 2005 dan 2007 beliau telah memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim ke-3, ke-4, ke-5 dan ke-6 untuk kategori Esei dan Kritikan Sastera, Puisi Eceran dan Kumpulan Puisi Perseorangan. Seterusnya pada tahun 2002, beliau dianugerahi dengan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001 dalam kategori Esei dan Kritikan Sastera. Sepanjang berkhidmat di Universiti Putra Malaysia sebagai seorang pensyarah beliau memperolehi Anugarah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2000, 2001, 2002, 2003, 2004, 2005 dan 2007 dan berjaya memperolehi Anugarah Pengajaran Putra tahun 2007.

Manakala idola beliau yang banyak membantu sehingga berjaya pada hari ini adalah arwah ayahnya iaitu Abd Rahman Hj. Bakri yang merupakan seorang ustaz. Arwah ayah beliaulah yang menjadi pendorong kepada kejayaannya pada hari ini. Beliau mula mengajar di UPM pada 15 Oktober 1990. Penglibatan beliau dalam penulisan puisi adalah bertujuan untuk menyampaikan wadah dakwat dan meluahkan apa yang terpendam melalui penulisan puisi.

Sebagai pengkaji, peminat, pencinta dan penghasil karya kesusasteraan khususnya puisi dan esei kritikan sastera, beliau sering menghadiri aktiviti-aktiviti sastera tanah air dan luar negara dan membentang kertas kerja seperti pada pertemuan Hari Sastera, Majlis Diskusi-diskusi sastera, Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu, Seminar Teori dan Kesusasteraan Bandingan, Seminar Pemikiran Hamka dan Syeikh Daud al- Patani, Nadwah Kesusasteraan Islam, Seminar Teater Rakyat, Seminar Serantau Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu dan Pertemuan Dunia Melayu. Selain itu, beliau juga menjadi AJK untuk sebarang aktiviti yang diadakan di UPM. Antaranya, AJK untuk Malam Pelita Mutiara Bahasa, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi pada tahun 2003 dan AJK pelaksana sebagai wakil dari FBMK untuk Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan dan Sayembara Penulisan Esei Interkolej sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat UPM.
sumber: dilangit Chenta

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...