Friday, June 29, 2012

MAHALNYA UCAPAN TERIMA KASIH!



MAHALNYA TERIMA KASIH
Begitu mahalnya ucapan itu, sehingga adakalanya perlu diingatkan terlebih dahulu untuk berbuat demikian dan ia adalah satu keadaan yang sangat 'menyedihkan'.
Sebagai masyarakat timur, ia bukanlah satu senario 'asing' pengamalan budi bahasa dan nilai-nilai murni termasuklah pengucapan terima kasih kerana ia menjadi kebanggaan warisan masyarakat terdahulu.
Namun, cabaran globalisasi dan peralihan sikap yang memperlihatkan kepada penjurusan sahsiah individualistik, materialisme, menyebabkan segelintir daripada kita 'lupa' atau sengaja membuat lupa akan kepentingan penggunaan nilai itu.
Walhal, nilainya tidak pernah lapuk dek zaman malah diguna seluruh dunia. Ia dituturkan oleh semua bangsa dari dahulu sehinggalah sekarang. Yang membezakannya, hanyalah bunyi ucapan itu sahaja.
Bagi orang Cina, ia disebut 'xie xie', bangsa Arab, 'syukran jazilan', bahasa Inggeris, 'thank you' dan bangsa France pula menyebutnya 'merci'.
Biar apa pun sebutannya, namun tujuannya tetap sama, yakni sebagai lambang penghargaan betapa kita menghargai apa yang dilakukan oleh orang itu kepada kita.
Ucapannya mudah, namun nilai di sebalik perkataan ini sangat bermakna kepada seseorang dan boleh memberikan kebahagiaan, kegembiraan kepada si penerima.
Dalam Islam juga, terima kasih turut disesuaikan dengan kalimah 'syukur', yakni diucapkan bagi menyatakan perasaan gembira sebaik menerima sesuatu nikmat, rezeki sebagai menghargai anugerah pemberian Allah.
TIADA SALAHNYA, WALAU DI JALAN RAYA
Biarpun keperibadian pemandu dan penunggang motosikal di sini dikatakan lebih berbudi daripada negara luar, namun hakikatnya terdapat juga segelintir komuniti ini membentuk senario 'kurang hormat' di jalan raya.
Perilakunya itu, mungkin berpunca daripada keperibadian diri (bukan semua), selain alasan hendak cepat sampai ke destinasi, tekanan jalan sesak, sekali gus membentuk senario negatif itu.
Realitinya, tidak kiralah apa alasannya sekali pun ia bukanlah jaminan 'hak eksklusif' kepada mereka untuk berbuat demikian kerana 'jalan raya' dikongsi bersama.
Justeru, ringankan tangan sebagai tanda, isyarat terima kasih kepada pemandu lain kerana bersabar apabila anda melakukan kesilapan semasa memandu, memberi laluan di jalan yang sempit dan sebagainya.
Itu bukan sekadar menunjukkan tanda hormat, malah akan mengelakkan pemandu lain memarahi anda dan mengeluarkan perkataan kesat yang tidak sedap didengar.
MOTIF, TERIMA KASIH?
Secara jujurnya, berapa ramai antara kita mempratikkan pengucapan kalimah itu kepada pemandu bas, teksi, petugas tol, kaunter dan seumpamanya? Berapa ramai juga yang mengucapkan terima kasih kepada pengawal keselamatan yang membuka pintu untuk anda?
Pernahkah anda menuturkan perkataan itu kepada pembantu kafeteria yang menolong mengutip pinggan atau gelas kotor yang kita gunakan? Dan terucapkah anda terima kasih kepada pencuci pejabat apabila meja tempat kerja anda dibersih dan dikemaskan?
Ambil masa dan fikir sejenak.
Itu hanya sebahagian sahaja kerana masih banyak lagi senario yang memerlukan pengucapan terima kasih itu dilontarkan namun dipandang 'remeh' oleh segelintir manusia.
Paling tidak dimasuk akal apabila ada bermentalitikan pekerja-pekerja ini tidak sewajarnya menerima ucapan terima kasih kerana sudah menjadi kewajipan mereka.
Biar apa alasannya sekali pun, tiada salahnya untuk menzahirkan terima kasih kerana ia menandakan seseorang itu mempunyai nilai-nilai serta moral yang tinggi dalam dirinya.
TERIMA KASIH CIKGU!
Menariknya, budaya menzahirkan perkataan itu kepada golongan pendidik bermula sejak usia tujuh tahun lagi sehinggalah pelajar itu melangkaui umur 17 tahun.
Selama 12 tahun kalimah itu bergema di halwa telinga pelajar, namun ia berubah sebaik sahaja menjejakkan kaki ke menara gading.
Tiada lagi ucapan kebiasaannya dizahirkan kepada golongan pensyarah sebaik sahaja habis kelas. Senario yang menjadi kebiasaan sejak zaman persekolahan itu dilihat seolah-olah tiada lagi nilainya untuk dipraktikkan.
Ucapan terima kasih hanya diberikan kepada pensyarah sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan mahupun lulus subjek itu, itu pun kalau jumpa dengan pensyarah itu.
Mungkin bukan semua, namun amalan berterima kasih dalam pengucapan yang sempurna dan berakhlak seharusnya menjadi pakaian lidah mahasiswa kerana ia akan menambahkan lagi keberkatan serta memudahkan proses pembelajaran.
KADANG-KALA KITA LUPA
Terlalu menjaga hati orang lain, rakan, pihak atasan, adakalanya kita 'lupa' untuk menghargai ahli keluarga, walhal ibu bapalah yang bertungkus-lumus tanpa mengira perih dan sukarnya membesarkan anak.
Bagaimanapun, anak (bukan semua) merasakan pemberian berbentuk 'kebendaan' sudah cukup sebagai erti kasih, hormat dan lambang balasan terhadap masa, wang dan sayang yang dicurahkan oleh orang tua mereka.
Hakikatnya, ucapan terima kasih itu sangat bererti dan merupakan hadiah paling mahal, bermakna bagi seseorang berstatus ibu dan ayah. Untuk itu, keluarga merupakan 'kunci' dalam proses penyemaian nilai-nilai murni dalam keperibadian anak.
Didik sejak kecil, ringankan mulut untuk menuturkan ucapan terima kasih kepada anak biarpun ia hanyalah sekadar menolong mencuci kereta, mengambil surat khabar kerana ini juga boleh mengeratkan silaturahim antara keluarga.
Tidak mustahil, pengucapan terima kasih akan sentiasa terucap di bibir anak mereka biarpun sudah melangkaui dewasa.
TINGKAT MOTIVASI
Tidak salah bagi seorang 'ketua' menzahirkan perkataan itu kepada pekerjanya di atas tugasan yang telah disiapkannya.
Biarpun ketua, tidak semestinya ucapan terima kasih itu tidak perlu dipraktikkan kerana selagi anda menghormati pekerja, sejuta kali mereka akan menghormati anda.
Selain mewujudkan atmosfera harmoni di tempat kerja, ia juga psikologi terbaik untuk menghargai pekerja anda, kata Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, Pakar Perunding Psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kepada Bernama. Ia sebutan mudah lagi ringkas, yang dapat menambah rasa hendak memberi dan menghulur sesuatu berulang kali malah lebih baik daripada sebelumnya, sekali gus meningkatkan lagi produktiviti pekerja.
"Dalam sesuatu organisasi, budaya apresiasi penting kerana akan membuatkan mereka lebih bersemangat, bermotivasi untuk bekerja dengan lebih kuat sekali gus akan meningkatkan lagi kecemerlangan organisasi," katanya.
Namun, pekerja pula jangan sekadar mengharap 'ketua' sahaja mengalunkan ucapan itu kerana diri anda juga seharusnya menjadikan kalimah itu sebagai pakaian lidah dalam kehidupan seharian.
Walaupun ia hanyalah sekadar dua patah perkataan, namun nilai tersembunyi di sebalik ucapan 'terima kasih' itu tidak patut dipandang remeh kerana ia lebih berharga daripada wang ringgit! -BERNAMA

Wednesday, June 6, 2012

DI BAWAH RIMBUNAN KBTC (AKHIR)


Jabatan Pengajian Melayu ini begitu sunyi. Aku sendirian. Merenung sekeliling. Terasing sekali. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Suasana begitu dingin sekali. Penghawa dingin yang menjalankan tugasnya hampir membuatkan tubuhku yang mengigil. Aku mengambil kesempatan untuk keluar dari jabatan.

Aku turun ke tingkat bawah. Merenung dan memerhati sekeliling. Mencari dan cuba mengutip memori.

“Di mana kelas PM 1 dulu?”

“Ya, diblok kayu dihadapan sekali!”

Aku mencari-cari. Tidak kutemui blok yang tersebut. Masih kuingat blok ini mengandungi 6 kelas, bermula PM1 hingga PM6. Blok kayu yang penuh dengan memori. Ya, PM 1, yang terhuni dengan pelbagai cerita suka dan duka. Tiba-tiba satu-satu nama muncul dalam mindaku. Gelak senda mereka muncul satu persatu. (Ariffin, Sahimat, Nik Mawardi, Bakerya, Zakaria, Osman, Jefri, Azman, Radzi,Rashid, Bakri, Hamid, Zamri, Azma, Zaini, Noraini,Rusydah, Norzilawati, Rashidah, Ramlah, Sakina, Fairus, Nik Rugayah, Anida, Maziah, Zalini, Raziah, Rapidah dan Salmah) dan tutor bagai ayahanda dan bonda Tn HJ Mohd Ismail dan Pn Marinal Hussien bagai terdengar ucapan nasihat dan kata-kata perangsang. Senyuman dan gerak laku jelas terbayang di kotak fikiran. Moga mereka berdua sihat dan diberkati.

"Oh, di mana mereka semua!”

Alangkah rinduku pada mereka. Jalinan sahabat itu begitu kuat sekali. Aku mengharapkan mereka bahagia dengan kerjaya ini. Menjadi insan sempurna bergelar pendidik. Taburilah ilmu itu walau di mana kau berada. Cekalkan hatimu dengan ketabahan. Jadilah insan yang GIGIH, ILTIZAM, CEMERLANG.


Aku terpana seketika. Blok yang kucari tidak kutemui. Di mana blok tu. Aku rasa yang tersergam dihadapan ini, inilah tempatnya.




(Blok batu menggantikan blok kayu: PM 1 : hanya tinggal memori)



Namun, bukan blok kayu. Blok batu bertingkat dua ini telah mengambil alih blok kayu tersebut. Ya, hampir 20 tahun. Tentunya bangunan zaman penjajah ini sudah tidak sesuai lagi. Ya, Allah semuanya telah berubah. Berubah dan berubah. Begitu juga hati dan perasaan. Sekiranya tiada ketetapan dan kesetiaan di jiwa membuatkan hati dan jiwa hancur. Berderai.


Tiba-tiba sebak mendatangi. Percintaan yang hadir di sini hanyalah sebuah persinggahan. Persinggahan yang hanya seketika cuma. Benih cinta itu rupanya hanyalah benih-benih hampa yang tidak menunaskan harapan dan cita-cita.. Dulu aku sering bertanya di mana silapku, di mana kasihmu, di mana sayangmu, di mana janjimu. Kini aku redha dan sedar bahawa : JODOH itu rahsia Allah, SEKUAT mana kita setia, SEHEBAT mana kita merancang, SELAMA mana kita menunggu, SEKERAS mana kita bersabar, SEJUJUR mana kita menerima, Jika Allah tidak menulis JODOH bersama. Aku tetap mensyukuri nikmat itu. Hikmah yang cukup besar sebagai panduan kehidupan sehinggalah menjadi aku sebagaimana hari ini. "Segalanya Mungkin" mungkin menitipkan isi hati yang tersirat selama itu.


Malam siang ku lalui
Dengan debaran di hati
Pengalaman teman-teman
Membuat ku rasa bimbang
Di dalam kehidupan
Segalanya berkemungkinan

Hari ini aku tahu
Ku tak meraguimu
Kerna telah jadi bukti
Kau setia pada janji
Tetapi esok hari
Tak tahu apa 'kan terjadi

Ku ingin pertahankan
Sebuah kejujuran
Ingin ku bersamamu
Ke akhir hayatku

Namun ku tak berani
Berjanji dengan pasti
Kita hanya merancang
Tuhan yang menentukan

Jangan kau salah mengerti
Dengan pengakuan ini
Usah disalah tafsirkan
Bukan ku tak sayang

Ku mahu kau menginsafi
Dengan kehidupan ini
Segala berkemungkinan
Untuk terjadi

(Lagu nyanyian HEADWIND)


Ya, segalanya mungkin dan ia telah berlalu menjadi sebuah memori untuk dikenangi. Aku Pasrah segala ketentuannya:


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

YA ALLAH…
Seandainya telah Engkau takdirkan
Dia BUKAN milikku…
Bawalah dia JAUH daripada PANDANGANku…
LUPUTkanlah dia dari INGATANku…
Dan PELIHARAlah aku dari KEKECEWAAN…

Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti…
Berikanlah aku kekuatan…
Menolak BAYANGANnya JAUH ke dada langit…
Hilang bersama senja yang merah…
Agarku sentiasa tenang…
Walaupun TANPA bersama dengannya…

Ya Allah yang tercinta…
Pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu…
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terBAIK untukku…
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui…
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini…

Ya Allah…
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku…
Di dunia dan akhirat…
Dengarkanlah rintihan daripada hamba-Mu yang daif ini…
Jangan Engkau biarkan aku sendirian…
Di dunia ini mahupun di akhirat…
Menjuruskan aku ke arah kamaksiatan dan kemungkaran…
Maka kurniakanlah aku seorang PASANGAN yang beriman…
Agar aku dan dia sama-sama dapat membina KESEJAHTERAAN hidup…
Ke jalan yang Engkau redhai…
Dan kurniakanlah kepadaku KETURUNAN yang soleh dan solehah…
(Catatan dari sebuah blog)

Aduh…,kata-kata ini mungkin yang terbaik untuk kugambarkan perasaanku ketika ini. Kata-kataku hilang... dan iringan doa dari jauh buatmu, semoga kau bahagia dan jagailah hatinya sebagaimana kau pernah menjaga hatiku dikala aku terhimpit kelemasan.  Terima kasih cinta, mengajarku erti sebuah kepayahan...Ah, betapa kenangan itu datang bagai angin. Memberikan ku nafas dalam menghirup kehidupan pada hari ini. Kehidupan hari ini, yang menjejak kaki kukembali di arena ini. Mana mungkin ku menafikan segala memori itu. Tolol dan bodohlah aku untuk mengelaknya.  Perjalanan pertama ini kurakamkan dalam sudut hatiku, bahawa di sinilah segalanya bermula.  Kutelan kemanisan, kumamah kepahitan, kuadunkan seribu rasa agar dapat kurasakan rencah kenikmatan sebuah kehidupan bergelar lelaki yang cuma kelulusan SPM.


(Biasanya kami akan berjalan kaki sahaja menuju ke Blok Asrama tetapi kini hampir semua Guru Pelatih sudah mempunyai kenderaan sendiri (kereta/motosikal: Hebatkan mereka)


(Kantin:  Tempat lepak dan kadangkala tempat meluahkan perasaan)



(Koperasi:  Masih kekal di sini)


Ya, kini REALITI, aku telah berdiri di Kampus ini, menjadi warga yang akan memberikan segalas ilmu. InsyaAllah, semoga Allah permudahkan urusan duniaku ini. Urusan dunia ini, mungkin menjadi sebutir mutiara yang dapat kubawa ke mahsyar nanti. Dan akan kutemui kebahagiaan hakiki sebagaimana mereka ini yang pernah menjadi adiguruku dan kini rakan seperjuanganku…terima kasih pensyarahku:

 
                                                                                                                                                                                                                                                      





                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       


Semoga rasa cinta dalam bidang perguruan ini akan menjadi ubat kekuatan dan ketahanan dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.  Semoga CINTA ini mekar dan mewangi dalam jambangan kasih dan sayang mereka. InsyaAllah suatu hari nanti, aku pula bakal dikenang sebagai seorang guru yang berdedikasi untuk mendidik bakal guru.


YA....satu harapan dan semerak kuning yang sedang berkembang dihadapanku membuatkan kusedar inilah cabaran yang terpaksa kupikul dan kutanggung kerana memilih profesion ini sebagai satu KERJAYA hidupku. Moga Allah merestui perjalanan hidupku.....amin.



Monday, June 4, 2012

JANGAN KAU ENGKARI KATA-KATA INI






(Catatan Seorang Suami)

Jangan kauengkari kata-kata ini
yang elok untuk diteladani
demi ketenangan dan wasilahnya
demi kemesraan dan senyuman
kaulayak disisiku
setelah memeterai janji
bersulam bersama setanggi
bersaksikan Allahurrabi

Jangan kauengkari kata-kata ini
kerana ruangnya telah terkunci
dalam hati
kerana ruangnya telah tertutup
dalam diri
kerana kau seorang isteri
perlu menjaga memelihara maruah peribadi

Jangan kauhancurkan semaian kasih ini
yang keringatnya membasahi bumi
mencari halal sesuap rezeki
kerana getir derita meniti hari
untuk kauajari permata hati
walau taufan menyongsong datang

Dengari nasihat ini
fasihkan bibir dengan tasbih rindu
hafazkan gurindam dengan kalam suci
mengalun memahat kekosongan silam
hidangkanku dengan sumur zam zam
ubatiku dengan penawar luhur
dan selimutkanku dengan kandil kasihmu


MENJANA PEMIKIRAN PEMUDA



  (Sekadar Hiasan: Setiap orang memerlukan perubahan dalam kehidupannya)

SEJAK zaman-berzaman, kegemilangan sesebuah tamadun adalah bergantung kepada kekuatan pemuda yang hidup pada zaman mereka.

Pemuda digambarkan sebagai satu golongan yang bersemangat untuk merealisasikan apa yang terbuku dalam hati mereka dan merekalah golongan yang beridealisme tinggi.

Adalah silap apabila wujud suara yang menghadang idealisme kerana kadang-kala idealisme harus dikembangkan untuk mewujudkan satu impian dan plan bertindak yang realistik dan sistemik.

Perjuangan Rasulullah SAW yang tampak idealis didokong oleh golongan pemuda di saat golongan tua menolak baginda SAW. Pemuda berada di celah-celah kegilaan dan apabila mereka inginkan sesuatu, mereka akan lakukan dengan semangat 'kegilaan' yang ada pada diri mereka. Saya suka istilahkan kegilaan itu sebagai semangat 'ekstasi'.

Ekstasi ialah satu saat kemuncak dalam hidup seseorang yang mana ketika itu ia akan berasa satu kekuatan yang entah dari mana muncul dalam diri mereka dan mendorong mereka untuk bertindak di luar kemampuan mereka. Ini digambarkan oleh Zaid bin Harithah yang hanya mengambil masa selama tujuh hari untuk mempelajari dan menguasai bahasa Yahudi. Imam Al-Syafie sendiri mempamerkan ekstasi beliau apabila mula menjadi guru kecil sewaktu berumur 10 tahun dan dilantik sebagai mufti muda ketika usianya mencecah 15 tahun.

Ekstasi melahirkan satu perubahan, atau kita menyebutnya sebagai reformasi. Perubahan merupakan satu perkara yang tidak tetap, dan setiap zaman memerlukan perubahan.

Hal ini digambarkan oleh seorang ulama yang memelihara anjing dan beliau telah dikritik oleh para pendokong mazhab anutan beliau. Beliau lantas menjawab: "Sekiranya guru kita berada dalam lingkungan kita pada masa sekarang, nescaya bukan sekadar anjing, bahkan singa pun boleh kita pelihara".

Setiap manusia, bahkan negara dan bangsa memerlukan kepada perubahan. Bangsa yang tidak berani berubah adalah bangsa yang lemah dan dayus dalam berijtihad. Negara yang tidak berubah adalah negara yang kekal mundur dan tidak akan maju selamanya.

Pemikiran lama akan ditenggelamkan oleh pemikiran baru.
Albert Einstein berkata:

"Masalah zaman kita tidak mampu untuk diselesaikan oleh pemikiran pada zaman kita". Perubahan menuntut kecekalan dan keberanian, bukannya jiwa-jiwa yang dayus dan lemah. Orang yang penakut akan kekal berada di tampuk yang lama kerana mereka sudah hidup dalam zon acuh tidak acuh, namun orang yang berani akan melakukan perubahan dari masa ke masa tanpa mengira cercaan dan gugatan terhadap mereka.

Hanya pemuda dan kepemudaan mampu mendokong perubahan. Tatkala para malaikat tidak sabar untuk menghumbankan bukit-bukau ke atas penguni Thaif yang mencerca Rasulullah SAW, baginda lantas menghalang niat para malaikat. Pandangan baginda ternyata jauh dan analitikal: "Boleh jadi lahir daripada sulbi mereka, zuriat yang akan mengimani risalahku ini".

Ya, generasi baru harus dibentuk mulai sekarang. Generasi yang tidak hanya melihat dengan pandangan singkat dan dekat, tetapi generasi berpandangan jauh dan meluas, seolah-seolah sayap matahari yang tidak hanya melimpah di satu tempat tetapi menerangi seluruh alam.

Kita boleh perhatikan riak-riak perubahan yang sedang berlaku di Turkey. Sepanjang mereka berpayungkan sistem sekularisme, ekonomi mereka tidak berkembang dan mereka hidup dalam suasana yang kucar-kacir. Nama mereka tidak disebut-sebut sebagai sebuah negara yang maju setelah kejatuhan Turki Uthmaniah. Tetapi setelah wujudnya generasi baru yang membawa pemikiran dan budaya hidup yang menongkah arus, maka kita dapati gelombang perubahan berlaku dengan pesat.

Malah, Turkey merupakan negara ke-6 termaju dalam Eropah dan negara ke-16 di dunia yang mempunyai kuasa ekonomi terbesar. Apa yang menarik juga Turkey merupakan negara dunia ke-13 yang paling menarik dan berdaya saing.

Umat Islam harus memiliki jiwa kepemudaan yang tinggi. Jiwa kepemudaan tidak hanya dimiliki oleh pemuda, malah semua orang berhak untuk memiliki jiwa dan semangat kepemudaan ini. Jiwa yang sentiasa meronta-ronta untuk membuahkan pembaharuan dari semasa ke semasa supaya ummah tidak ketinggalan dan hanya mengikut dari belakang.

Jiwa kepemudaan juga perlu supaya kita tidak hanya memasang angan-angan seperti Mat Jenin, atau hanya berperilaku seperti Luncai dengan labu-labunya. Cukuplah, kita sudah tidak tahan dan sanggup didendangkan dengan cerita-cerita yang melembapkan pemikiran kita seperti Pak Pandir, Lebai Malang, Awang Kecil, Sang Luncai sebagaimana negara Arab yang mempopularkan kisah Juha, Abu Nawas dan 1001 Malam, sedangkan Barat sudah meluaskan empayar penguasaan mereka hingga ke angkasa lepas.

Orang kita melihat udara lalu terciptalah layang-layang sedangkan Barat mencipta kapal terbang. Orang kita melihat sungai untuk berenang, sedangkan Barat mencipta kapal. Malah saya ingin menambah lagi, orang kita melihat bulan untuk menentukan waktu Ramadhan dan Syawal, sedangkan Barat melihat bulan lalu dijelajahnya. Tepuk dada, tanyalah DIRI.


SUMBER: iluvislam.com