Friday, December 14, 2012

BENGKEL PENULISAN DAN TEKNIK MENDEKLAMASI PUISI

Berkesempatan menyertai Bengkel Penulisan dan Teknik Mendeklamasi Puisi yang dianjurkan oleh DBP Wilayah Timur dan PPK pada 6-7 Disember 2012, bertempat di Hotel Crown Garden.    Kota Bharu. Sememangnya bengkel ini dapat dimanfaatkan untuk diri dan insyaAllah dapat diaplikasikan pula untuk pelajar-pelajar.

Peserta Bengkel, bergambar bersama Fasilitator (Salman Sulaiman, Wadi Leta S.A.,Abdul Hadi Yusoff dan Pegawai DBP Wilayah Timur En Sharul Rizal)


...Mencipta dan Mencuba....Jangan Marah Pak Wadi

Pelajar saya cukup hebat (Tuah Sujana): Saya perlu belajar daripadanya

Semoga bengkel ini memotivasi diri saya untuk turut berasa hebat, menciptakan sesuatu yang dapat membenihkan sesuatu yang baharu dalam dunia puisi.  Puisi ialah kata keilmuan dan keintelektual yang padat dan bermakna. Selamat Berpuisi.

Gambar Ihsan: DBPWT

Friday, December 7, 2012

WASIAT SEORANG AYAH



                                                      (Gambar Hiasan)

Tanah ini tanahmu
pelihara bersama maruah merentas sempadan
berselirat belenggu kedaifan setiap inci diperoleh
sungai, gunung, bukit, dan belantara
dibina atas keringat dan air mata
biar berpanjangan untuk generasi
pusaka halaman menunjang keagungan
yang dicanang sebuah kedaulatan
menjulang nama mengukir wawasan
Melayu bangsamu
jangan kaugadai ia

Rumah ini rumahmu
khazanah berharga yang dipasak
tiang berbatang cengal kekuatan
perabungnya dari kemuning ketulusan
dinding seraya ketabahan
balai berlapikkan merbau penghormatan
tangga tualang kesetiaan yang kaubina untuk kukuhkan peradaban
mengungkap rasa kesyukuran dari panas dan hujan
semangat merimbun menanti siang kembali
menyanggah angin dan taufan
tidak terucap
tidak ternilai
warisan perkasihan

Tanah dan rumah ini adalah rohmu
utuh dan kukuh berumbikan akal
ikrarkan janji
bertahun berkurun kekalkan di situ
selagi hayat masih bersama
ini asal usulmu

Muhfad Yusoff
Sanggar Bahasa. UPM. Serdang

Sumber:  Jendela Timur, Ogos 2012