Sunday, October 31, 2010

Edisi 5: Reka Bentuk Penyelidikan

TUJUAN PENYELIDIKAN

Menurut Asmah Hj. Omar(1991:74) ada tiga tujuan sesuatu penyelidikan itu dibuat, iaitu (i) untuk menyelesaikan masalah, (ii) mendapatkan huraian dan perincian terhadap sesuatu gejala dan (iii) menguji teori/hipotesis yang sedia ada. Namum begitu tujuan penyelidikan ialah:

a. Penerokaan. Penyelidikan untuk meneroka dijalankan apabila penyelidik berhasrat mengetahui atau memahami masalah, keperihalan dan pendekatan dengan lebih mendalam, terutamanya skop penyelidikan yang pernah diteroka oleh penyelidik lain yang belum berhasil menunjukkan dapatan.

b. Penjelasan dan Pengelasan. Penyelidikan berusaha untuk menjelaskan maksud, di samping memperlihatkan mengelaskan fenomena tertentu menurut bidang. Penekanan di sini ialah ketetapan terhadap kebolehpercayaan dan kesahihan. Sifat dan ciri-ciri fenomena yang diselidiki perlulah tepat dan dikelaskan dengan tuntas.

c. Penetapan Perkaitan. Penyelidikan untuk menetapkan atau menentukan perkaitan ini melibatkan dua atau lebih variabel. Perkaitan antara variabel berlaku apabila perubahan pada variabel berkenaan terjadi serentak. Contohnya, dalam bidang bahasa Melayu , lebih banyak kosa kata dan istilah baru dibentuk dan digunakan maka lebih mantap dan dinamik Bahasa Melayu.

d. Penentuan Perkaitan Sebab-Akibat. Penyelidikan untuk menentukan perkaitan sebab-akibat pula merupakan usaha untuk menjelaskan mengapa fenomena tertentu yang hendak dikaji berlaku. Seandainya penyelidik dapat memastikan fakta mengapa fenomena tertentu terjadi dengan tepat dan menyeluruh maka sudah tentu mampu membuat ramalan tentang fenomena tersebut. Sebaliknya, sekiranya penjelasan tidak tepat dan lengkap, maka ramalan yang dibuat tidak mungkin terjadi.

Sunday, October 10, 2010

Sembuhkah Luka Hati


Betapa hari ini bukan kelmarin

yang mencatatkan segala pengalaman

liku sebuah perjalanan

tercalit pedih hingga tak keruan

rebah tak bernafas dalam kerinduan


Betapa hari kelmarin hadirnya sebuah penipuan

yang menangisi setiap kegelapan

di atas terjahan tikaman

menusuk menghiris jantung dan perasaan

terburai dengan lelehan

pedih dalam tangisan

di atas sebuah kepercayaan


Betapa hari ini lelahnya satu penantian

yang menjerat dengan sebuah panahan

yang kugantung pada dinding harapan

yang kau tutur seribu perjanjian

tanda sebuah ketulusan

yang kau hancurkan sebuah pengertian

tanda sebuah kecurangan


Betapa malangnya sebuah kenangan

yang terselak di luar pandangan

di atas sebuah keterlanjuran

mencintaimu...

di atas sebuah kepalsuan

menyayangimu...

dan hamba sebuah keabadian

mengasihimu...

Thursday, October 7, 2010

Seribu Mimpi Tidak Terlerai Dengan Air Mata: Terima Kasih Di Atas Sebuah Pertemuan

LEWAT meniti usia ini, ingin sekali mengundur bait-bait manis dan suka duka sebuah perjalanan kehidupan. Lantas dengan keizinan Allah, putaran itu disemadikan dengan pertemuan yang cukup bererti. Rasanya terlalu lama kita dipisahkan dengan ruang dan kesibukan masa. Cukup tidak mengizinkan.

Merealitikan Impian

Mengimbau NOSTALGIA, kadangkala cukup meyakitkan dan kadangkala cukup indah di lukiskan di kanvas hati. Ketika masih bergelar seorang pelajar. Bertungkus lumus menghadapi segala cabaran dan dugaan. Realitinya SM Sultan Ibrahim (1) adalah tempat kita menimba dan mencari titik-titik ilmu untuk kita bawa sehingga ke hari ini. Terima kasih buat guru-guruku yang cukup sabar dalam menitipkan setiap ilmu. Percayalah setiap yang kau curahkan telah menguntum bebunga dan hasilnya kau lihat sahaja, buah-buah yang ranum dan cukup manis. Pelajar-pelajar kau telah mencipta gemilang di persada ini.

Selamat Datang

PERTEMUAN yang singkat ini cukup memberi makna dan pengertian. Apatah lagi kita dipisahkan 23 tahun yang lalu. Mampukah kubendung takungan air mata ini? Mampukah kuucapkan rasa kerinduan dan kesyahduan di hari ini? Mampukah kuberbicara dengan rasa sebak ini?

Guru dan Bekas Pelajar...Yang Mana Satu?

Meriahnya Hari ini

YA...sebenarnya tiada kata-kata yang mampu diukirkan. Cukuplah sekadar senyuman seikhlas hati, tanda kita dipertemukan. DAN...moga pertemuan ini bukanlah yang terakhir. Terima Kasih buat rakan-rakan yang cukup KUAT untuk menyatukan kami di REUNION ini. Moga Ukhwah dan persaudaraan ini tetap berkekalan.

Masih Kekal Jelita

Masih Tetap Kacak

Kutitipkan sebuah puisi: Dengarilah...

Tak Dok Aroh Nok Royat Guano

(Sukarnya Untuk Melafazkan)

Bakpo weh tibo-tibo

mataku berair jupo

denganmu

Mu bukae gewe ku

Mu bukae kamcingku

Mu cumo hadir didiariku


Bakpo weh pinar mataku

Lihat puok-puok mu pakat mari

Dah lamo aku tunggu

23 tahun dok sebeak sini

Tak dok seore pun tanyo

Aku tunggu gapo...


Mari peluk aku

Aku rindu ko mu

Aku sayae ko mu

Aku ingat sokmo

Berasa to sir lepas


Bakpo weh tibo-tibo

Seboknyo dado

Tok leh nok royat cerito

Bilo bertemu muko

Bagai rasa di surgo


Bakpo weh tibo-tibo

Rasa sesak nafas

Bak po mu nak gi dah

Kae baru sekejap kito jupo

Tok leh lamo ko???


Ah...tak dok aroh nak royak guano

Berpisah milik kito

Dan ada mase kito kenae lagi

Detik2 itu...


Kehadiranmu ku nanti...Mengisi ruang sebuah kehidupan



Sunday, October 3, 2010

Edisi 4: Reka Bentuk Penyelidikan

CIRI-CIRI PENYELIDIKAN

Penyelidikan ialah aktiviti ilmiah yang mengumpulkan pengetahuan baru daripada sumber primer atau utama, dengan penekanan pada prinsisp-prinsip umum, dan ramalan keumuman atau generalisasi di luar sampel yang diselidiki. Sehubungan itu, penyelidikan menggunakan cara-cara yang rapi, teliti dan sistematik. Antara ciri-ciri penyelidikan yang baik ialah:

a. Penjelasan (Explanation) & Ramalan (Prediciton). Matlamat unggul sesuatu penyelidikan dijalankan ialah untuk memajukan penjelasan dan ramalan tentang sesuatu fenomena fizikal atau sosial. Dengan kata-kata lain, tujuan atau pernyataan masalah penyelidikan tentang apa yang ingin dijelas atau diramalkan mestilah amat jelas. Angkubah-angkubah yang ingin dijelaskan serta hubungan antara satu sama lain dalam suatu fenomena yang ingin dikaji mesti dinyatakan secara eksplisit. Justeru itu, hipotesis sama ada dalam bentuk diskriptif mestilah spesifik, nyata dan boleh diuji.

b. Fenomena Yang Bercorak Dan Berulang (Patterned and Repetitious Phenomena). Sehubungan dengan ciri penjelasan dan ramalan, fenomena yang dikaji dalam sesuatu penyelidikan haruslah mempunyai corak yang berulang-ulang. Jika sesuatu fenomena kajian itu tidak berstruktur, tidak mempunyai ciri-ciri sistematik dan tidak mempunyai hubungan yang tekal, sudah tentunya penjelasan dan ramalan tidak boleh dibuat dengan kepastian yang tinggi. Peristiwa yang wujud hanya sekali sahaja tidak boleh dijelaskan dengan darjah verifikasi yang kuat. Pendek kata, fenomena kajian yang baik mesti manpu dikaji oleh pengkaji lain kerana fenomena berkenaan mempunyai corak yang boleh diramal dan dijelaskan serta wujud dalam keadaan lain dan berulangan.

c. Replikasi (Replication). Supaya sesuatu kajian itu dianggap baik, kajian tersebut mesti mampu direplikasikan oleh pengkaji sendiri dan pengkaji lain. Hanya selepas sesuatu pemerhatian dikesan berulang kali, barulah kita menganggap kajian itu saintifik dan boleh dipercayai. Justeru itu, kajian yang baik menetap dan menerangkan spesifikasi metodologinya agar dapat dijalankan semula oleh pengkaji-pengkaji lain. Sifat ini mempunyai kaitan dengan ciri empiris iaitu sesuatu kajian sama ada metodologi atau fenomena yang ingin dikaji boleh diulangi oleh pengkaji yang lain. Ini memastikan bahawa penemuannya boleh disahkan semula atau ditolak.

d. Kuantifikasi (Quantification). Mengikut Forcese & Richer, ‘Quantification refers to the assignment of numerical values to the phenomena under investigation’ (11973:10). Kajian yang baik mengkaji fenomena yang dapat dihuraikan; apa yang boleh dihuraikan sebaik-baiknya boleh diukur. Lantaran itu, fenomena kajian yang baik dapat kuantifikasikan melalui angkubah-angkubahnya. Semakin halus ukuran angkubahnya, semakin tinggi kekuatan hubungan statistikal yang mampu dibuktikan. Hipotesis yang dibentuk berasaskan angkubah-angkubah yang measureable lebih mantap dan boleh dianalisa dengan pelbagai kaedah statistik. Contohnya sekiranya pengkaji ingin menghurai dan mengklasifikasikan motivasi pekerja, maka mesti adanya instrumen untuk mengukur konstruk tersebut dan hasilnya dalam data yang boleh diuji.

e. Konseptualisasi : Abstrak Dan Operasi. Selanjut daripada ciri kuantifikasi, konsep-konsep dalam sesuatu kajian yang wujud dalam bentuk abstrak mestilah boleh dioperasikan secara validnya. Apabila kita operasikan sesuatu konsep, kita menetapkan unsur-unsur konsep tersebut dalam bentuk yang boleh ditanggap dan diukur atau angkubah-angkubahnya. Pengoperasian konsep abstrak atau konstruk yang valid merupakan pengoperasian yang mempunyai keesahan konstruk yang tinggi. Dengan kata-kata lain, angkubah-angkubah yang dibentuk untuk mewakili konstruk betul-betul menepati had dan spesifikasi konstruk tersebut. Mengikut Zetterberg, terdapat tiga kemungkinan kesilapan dalam proses pengoperasian konstruk. Yang pertamanya, angkubah yang dipilih tidak merangkumi pengertian konstruk. Contohnya jika secara konsepsinya, kelas sosial diertikan sebagai pendapatan bulanan dan kesedaran seseorang tentang keanggotaannya dalam sesuatu hirarki manakala angkubah yang dipilih untuk kelas sosial hanya mengambil kira pendapatan bulana sahaja. Kesilapan yang kedua yang mungkin timbul ialah di mana pengoperasiannya mempunyai ruang lingkup yang lebih luas daripada konstruknya. Contohnya angkubah-angkubah yang dipilih untuk mengoperasikan kelas sosial tadi termasuk pendapatan, kesedaran dan tahap pendidikan. Akhirnya, kesilapan ketiga ialah pengoperasian yang tidak menepati langsung konstruk yang dimaksudkan. Contohnya angkubah untuk kelas sosial ialah warna kulit di mana orang berkulit putih dianggap kelas tinggi manakala orang berkulit hitam dianggap kelas bawahan.(Zetterberg, 1965:114)

f. Model, Hipotesis Dan Teori. Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa penyelidikan yang baik biasanya menggunakan pendekatan deduksi berdasarkan model, hipotesis dan teori. (Gay & Diehl, 1996: 77) Penyelidikan yang memaju dan mencabar model, hipotesis dan teori yang sedia wujud akan menganjakkan paradigma dan menghasilkan model, hipotesis dan teori baru. Justeru itu, mengikut Newman, ‘There is no evidence… that a single scientific discovery ever was made by induction as conceived by Bacon. On the contrary it is quite clear that to engage in research without the stimulus and guidance of hypotheses, rules, preconceptions, anticipations, control criteria and the like is a hopeless if not indeed frivolous activity (Newman, 1961, Vol. 1, 91). Jelasnya, satu ciri penyelidikan yang baik ialah ianya berasaskan paradigma teori dan model yang sedia ada.

g. Objektiviti/Keobjektifan. Objektiviti merupakan sifat penganggapan yang tidak dipengaruhi oleh emosi atau prasangka seseorang. Dalam pernyataan masalah, pengkaji mestilah memastikan bahawa fahamannya terhadap masalah adalah sama dengan fahaman pengkaji-pengkaji lain. Begitu juga dalam pemilihan kaedah, teori dan rujukan literaturnya. Sekiranya terdapat bukti bahawa terdapat kaedah yang lebih baik daripada kaedah yang ingin dijalankannya, maka dia mesti sedia menerimanya.Supaya data yang diperolehi mempunyai keesahan yang tinggi, soalan-soalan atau item-item dalam instrumen (soal selidik) mesti mempunyai objektifan yang tinggi. Ini bererti soalan itu tidak berbentuk ambiguous tetapi memberi interpretasi yang sama kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Bagi peringkat pungutan, analisa dan laporan data, emosi dan kepentingan pengkaji dan sponsornya harus diketepikan agar laporan dapat dibuat dengan objektifnya. Begitu juga dalam pemilihan sampel atau subjek kajian pengkaji mestilah mematuhi rancangan yang telah ditetapkan dan tidak mengubahnya untuk menyesuaikan sampel agar dapat memenuhi kepentingan diri.(Forcese & Richer, 1973:16) Untuk memastikan bahawa sampel yang dipungut adalah objektif dan tidak bias, maka terdapat berbagai-bagai kaedah persampelan seperti persampelan rawak, persampelan kluster, persampelan sistematik dan persampelan rawak berstrata. (Gay & Diehl, 1996: 128)

h. Kebolehpercayaan & Keesahan. Pengukuran Aras pengukuran data dalam sesuatu penyelidikan boleh berbentuk nominal, ordinal, interval atau ratio. Penyelidikan yang baik akan seboleh-bolehnya menggunakan aras ukuran yang tinggi iaitu data interval atau ratio. Ini adalah kerana analisa statistik seperti ujian paramatriks yang lebih teliti dan rapi boleh dilakukan terhadap data interval atau ratio. Justeru itu, sekiranya perhubungan causal dikaji, adalah pentingnya data interval atau ratio dipungut. Sehubungan dengan itu, ciri kebolehpercayaan dan keesahan pengukuran amat perlu diamati oleh pengkaji. Semakin tinggi sifat kebolehanpercayaan dan keesahan sesuatu analisa dan pungutan data, semakin tepat dan baik sesuatu penyelidikan. (Forcese & Richer, 1973:73).

i. Faktor Etika. Setiap penyelidikan mestilah memastikan kaedah, kandungan dan tujuan tidak melanggar kod etika pengkaji, norma dan nilai-nilai sejagat seperti agama. Sekira sesuatu kajian memenuhi semua ciri dan prinsip saintifik tetapi tidak beretika mana sudah tentunya penyelidikan demikian dianggap kurang baik. Contohnya penyelidikan yang memanipulasi manusia klon manusia dan sebagainya. Isu yang berkaitan dengan isu etika ialah kejujuran pengkaji. Pengkaji mesti menunjukkan segala usahanya untuk memastikan bahawa setiap langkah penyelidikan dilaksanakan dengan jujur dan segala data yang diperolehi adalah tepat.