Wednesday, February 18, 2009

Citra Manusia Dalam Kumpulan Puisi Salasilah Oleh Zurinah Hassan: Aplikasi Teori Pengkaedahan Melayu

1. PENGENALAN

Teori Pengkaedahan Melayu adalah sebuah teori yang mempunyai keutuhan yang tersendiri. Teori ini mula diketengahkan oleh Profesor Dato Dr. Hashim Awang dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu 1 di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 29 Oktober hingga 1 November 1989. Teori ini berdasarkan realiti kehidupan dan persekitaran bangsa penglahir karya. Hampir keseluruhan aspek keberadaan dan kehidupan zahir dan batin bangsa Melayu dilihat dan diambil untuk dijadikan dasar pembentukkannya. Selain daripada itu, keseluruhan aspek karya iaitu aspek dalaman dan luaran dapat dijadikan subjek atau persoalan untuk dikaji, dikritik dan dinilai.

Menurut Mana Sikana(1991:58) teori ini merupakan satu pendekatan kajian sastera Melayu yang bertunjangkan daya cipta kreatif, penghasilan sastera yang kaya, keakraban dengan gejala alam dan kehalusan budi orang Melayu. Kaedah ini jelas berasaskan sikap hidup, kepercayaan, dan keagamaan orang Melayu dan berteraskan pegangan hidup Islam.

Bagi Mohd Affandi Hassan (1991:31) Teori Pengkaedahan Melayu ini, sama seperti teori yang dibawa oleh Plato iaitu mimesis. Unsur moral yang terdapat dalam Pengkaedahan Melayu begitu kuat dan ini merupakan satu percubaan ikhlas Hashim Awang untuk mengkonkritkan worid view Islam dalam Kritikan Sastera Melayu.

Oleh yang demikian, jati diri Melayu yang dikenali melalui rupa dan parasnya, akal dan budinya, gerak dan rasanya, adat dan adabnya, jasad dan semangatnya, zahir dan batinnya perlu diungkai dan dicanai untuk melahirkan khalayak sastera Malaysia. Pengkaedahan Melayu yang tentunya berteraskan falsafah hubungan akrab orang Melayu dengan alam persekitaran dalam konteks penghasilan karya sastera, seharusnya berpaksikan jati diri Melayu zahir dan batinnya yang mencangkupi dasar, prinsip dan falsafahnya.

2. TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU

Dalam Kolokium Membina Teori Sastera Sendiri, Hashim Awang(1999) memperjelaskan terdapat dua hakikat utama iaitu: hakikat keberadaan bangsa Melayu sebagai warga dunia. Bangsa Melayu adalah bangsa yang berdaulat, iaitu bangsa yang memiliki ciri-ciri keistimewaan dan keutuhan tersendiri:

1. Ia mampu membentuk corak tamadun dan sistem kepercayaan yang berlandaskan kepada agama Islam, ia adalah bangsa yang berbudaya, berteknologi, beradab, berilmu, dan berdaya cipta atau kreatif.

2. Ia bergerak atas dasar cara hidup dan pandangan dunia yang jelas; kehidupannya tersusun dalam sistem-sistem pemerintahan, perundangan, perekonomian, pendidikan dan pergaulan serta sosial yang bertunjangkan tradisi dan agama.

3. Ia memiliki tanggapan dan teori alam semesta atau kosmologi tertentu yang khusus. Kehidupannya menjadi amat erat dan intim dengan alam semesta; daya fikir dan daya ciptanya sering menyingkap rahsia keadaan, keteraturan dan kesatuan alam tersebut.

4. Ia adalah bangsa yang berbudi bahasa; pergerakan dan pengucapannya dan mengutamakan ketertiban dan kehalusan.

Wujudnya keistimewaan bangsa Melayu sebagai suatu bangsa besar di dunia melahirkan pula hakikat kedua yang turut menjadi penyumbang dalam pengukuhan rasional tadi. Hakikat kedua yang dimaksudkan ini adalah hakikat bahawa kesusasteraan Melayu sebagai satu antara penghasilan daya fikir dan daya cipta terpenting bangsa Melayu; memiliki teori ciptaannya yang tersendiri dan khusus; ciptaanya adalah berlandaskan kepada aqidah Islam dan budaya Melayu. Landasan tersebut menghasilkan tiga bentuk kesusasteraan Melayu yang ditunjangi tiga teras utama iaitu teras kebajikan, teras ketakwaan, dan teras ketatasusilaan:

i. Teras kebajikan, menimbulkan karya-karya kesuasteraan Melayu yang kebanyakannya bersifat didaktik, iaitu kesusasteraan yang memaparkan persoalan-persoalan moral dan didikan ke arah pembinaan kemajuan dan peningkatan taraf hidup serta budi pekerti bersama-sama semangat nasionalisme bangsa Melayu.

ii. Teras ketakwaan, menggerakkan karya-karya kesusasteraan Melayu untuk membangkitkan persoalan-persoalan tentang pemupukan rasa kemanusiaan dan kasih sayang antara sesama manusia, sama ada yang berlainan atau pun bersamaan agama dan bangsa. Semua perasaan ini dikaitkan pula dengan kecintaan terhadap bangsa, agama dan watan. Tumbuhnya kecintaan ini pula memperkukuhkan ketaatan dan ketakwaan kepada Tuhan, yang memang turut tergarap sebagai antara persoalan-persoalan terpenting dalam kesusasteraan Melayu. Di sini juga ditimbulkan soalan-soalan kepentingan bangsa Melayu dan Islam memahami serta mendalami ilmu agama dengan baik dan betul; ini ditekankan untuk memperlihatkan keindahan dan keunggulan agama Islam di samping dapat menggambarkan citra umat Islam yang tulen.

iii. Teras ketatasusilaan pula membawa maksud bahawa penciptaan kesusasteraan Melayu amat mementingkan adab atau teknik penulisan khusus yang dapat melahirkan nilai keindahan atau nilai seni dalam penciptaan ini, lazimnya pengarang Melayu memulakan penulisan dengan memuji kebesaran dan kekuasaan Allah. Ini diikuti dengan ucapan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, lalu kemudiannya dijelaskan niat dan tujuan murninya menghasilkan karya. Selepas itu, barulah penulisan teks atau penulisan karya sebenar terlaksana, manakala pada pengakhiran teks dinyatakan secara ringkas antara pengajaran atau moral yang diperolehi daripada karya. Dalam ketatasusilaan ini ditekankan juga aspek penggunaan bahasa yang indah serta jelas dengan penyelitan dan penyerian dalam bentuk puisi yang bernilai; selalunya pengarang Melayu dituntut supaya tidak menggunakan kata-kata atau menyusun ayat yang boleh mengelirukan pembaca. Niat yang tersirat dalam penulisan haruslah ikhlas seta baik seingga boleh terhindar dari segala fitnah atau tersinggung pada pihak-pihak tertentu.

Bertolak dari itu, lahirlah Pengkaedahan Melayu yang dimaksudkan sebagai teori sastera Melayu yang terbentuk berasaskan sepenuhya kepada budaya dan sikap hidup(weltanschauung), pandangan dunia(world view), perspektif alam semesta(kosmologi), dan agama (Islam) orang-orang Melayu yang memiliki ciptaan-ciptaan karya mereka yang tinggi dan unik.

Berdasarkan inilah, dua pengkaedahan yang dianggap paling bersesuaian dan bermakna yang telah diterokai oleh Hashim Awang, iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan. Kedua-dua kaedah ini saling berkaitan di antara satu dengan yang lain.

1. Pengkaedahan Alamiah

Menurut Hashim Awang(1998:8) sesebuah karya yang hendak dikaji, dikritik atau dinilai sepertimana kita melihat alam yang memberi segala kebaikan, hikmah, teladan atau rasa keajaiban dan keindahan kepada manusia. Oleh itu, hasil sastera juga diumpamakan sedemikian rupa.

Pengkaedahan Alamiah ini dapat dicirikan seperti berikut:

i. Alam semesta dijadikan sebahagian daripada diri dan kehidupan mereka.

ii. Pegangan agama Islam diperkukuhkan dengan alam semesta adalah ciptaan Allah dan ciptaan itu berada dalam keadaan yang indah, berimbang dan bersukatan, baik pada kuantiti mahupun kualitinya.

iii. Allah mencipta alam semesta dengan penuh kebijaksaan, nilai dan matlamat.

iv. Manusia pula merupakan sebahagian daripada alam semesta ciptaan Allah, manusia dicipta untuk menjadi khalifah yang diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memelihara dan memanfaatkan alam semesta dengan sebaik mungkin.

Berdasarkan tanggapan –tanggapan tersebut, Pengkaedahan Alamiah terbentuk kepada tiga pendekatan iaitu: Pendekatan Gunaan, Pendekatan Moral dan Pendekatan Firasat.

1.1 Pendekatan Gunaan

Pendekatan Gunaan memberikan penekanan besar dan luas terhadap kegunaan dan kebajikan sastera, baik dari aspek isi atau bentuknya yang berteraskan kebajikan dan ketatasusilaan.

Hashim Awang(1999) melihat atau mengandaikan sastera dengan Pendekataan Gunaan dalam ciri-ciri berikut:

i. Sastera satu antara objek-objek daripada ciptaan alam; ciptaan berlaku dengan keizinan atau restu Allah.

ii. Ciptaan sastera adalah bersebab, berhikmah dan berfungsi tertentu. Ia dilihat melalui unsur intrinsik dan ekstrinsik yang merangkumi latar belakang penciptaan, masyarakat, pembaca, pengarang dan ideologi.

iii. Ciptaan sastera harus dilihat sebagai alat yang boleh memberi manfaat atau kegunaan besar kepada manusia dan kehidupan luaran dan dalamannya.

1.2 Pendekatan Moral

Pendekatan Moral pula didasari daripada Pendekatan Gunaan iaitu sastera berupa kejadian dan objek, namun kejadiannya berdasarkan Pendekatan Moral, bukan lagi berbentuk sesuatu kewujudan yang menyamai alat atau benda yang memberi kegunaan, tetapi kejadian yang bersifat pengalaman hidup manusia. Iaitu pengalaman yang dilalui manusia tertentu dan maklumat yang berkaitan dengan manusia serta dunianya termasuklah kejiwaan, kepercayaan(agama), kebudayaan, kemasyarakatan, kebangsaan dan persekitaran.

Ciri-ciri Pendekatan Moral seperti berikut:

i. Ia dapat memberi kemanfaatnya yang lebih jauh dan besar daripada fungsinya sebagai suatu alat, iaitu kemanfaat yang berkaitan dengan kebatinan dan keperibadian manusia.

ii. Sastera dalam konteks ini bukan lagi berfungsi untuk menumbangkan sesuatu faedah, tetapi menyingkapkan dan menyatakan pengalaman.

iii. Sastera sebagai penyingkapan dan pernyataan pengalaman boleh mengambil bentuk-bentuk peristiwa yang dilalui oleh manusia tertentu dan juga segala maklumat yang berkaitan dengan mereka serta suasana persekitaran.

iv. Sastera dilihat sebagai perakam peristiwa, perbuatan dan perilaku manusia. Semua yang terakam ini dapat ditinjau sebagai pengibaratan atau pengiktibaran kepada pembaca dan pengguna sastera.

v. Sastera juga dalam konteks ini perlu dikaji sebagai sumber maklumat dan ilmu pengetahuan.

1.3 Pendekatan Firasat

Pendekatan Firasat berlandaskan kepada tanggapan bahawa sastera adalah satu kejadian alam semesta yang memberikan dan memperkayakan pengalaman hidup. Mengikut Hashim Awang(1989:63) kejadian itu dikaitkan dengan mimpi, iaitu suatu pengalaman hidup masyarakat Melayu sering dianggap bermakna kepada kehidupan untuk ditemukan pengertian atau pencarian makna mimpi, dikenali sebagai takbir, iaitu proses menemukan makna menerusi tafsiran lambang atau alamat tertentu.

Hashim Awang mencirikan Pendekatan Firasat seperti berikut:

i. Sastera perlu dilihat sebagai memiliki sifat-sifat zahir dan batin atau yang sering disebut sebagai yang tersurat dan yang tersirat. Sifat zahir menjadi PENANDA, atau dalam masyarakat Melayu diistilah sebagai ALAMAT, untuk mendapatkan makna yang tersirat atau PENANDA.

ii. Satera dianggap sebagai wacana berlapis atau berkias yang memerlukan kerja-kerja penafsiran untuk menentukan makna atau isi dan tujuan sebenar yang mahu disampaikan oleh pengarang.

iii. Dalam sastera terkandung makna atau isi yang tersembunyi; makna atau sisinya perlu dianalisis serta ditemukan melalui penafsiran sifat-sifat luarannya atau melalui sistem tanda dan lambang yang ternukil.

iv. Sastera dalam koneks ini juga harus dilihat dan dikaji sebagai pembentukan wacana yang berperlambangan.

2. Pengkaedahan Keagamaan

Pengkaedahan Keagamaan yang dimaksudkan oleh Hashim Awang sebagai pendekatan yang bersandarkan keimanan yang bersendikan akidah agama Islam. Sumber yang paling besar dan utama yang menjadi rujukan ialah Al Quraan dan Hadis. Sumber pembentukkannya pula bersandarkan tujuan menonjolkan sifat-sifat keagungan Allah dan mempertingkatkan ketakwaan terhadapNya.

Pengkaedahan ini, bersendikan nilai-nilai estetika dan moral yang bersandarkan kepada pegangan yang benar dan kudus iaitu kepercayaan kepada kewujudan Allah dan keyakinan kepada sifat-sifat kebesaran, kekuasaan, kekayaan, dan kesempurnaanNya.

Pengkaedahan Keagamaan diutarakan melalui tiga pendekatan: Pendekatan Seni, Pendekatan Kemasyarakatan dan Pendekatan Dakwah.

2.1 Pendekatan Seni

Pendekatan seni digunakan untuk meneliti nilai-nilai estetika yang ada padanya. Pendekatan ini menilai aspek unsur keindahan dalam karya sastera. Ia menjadikan karya sastera sebagai persoalan pokok.

Menurut Hashim Awang(1994:13) hakikat seni Islam, juga seni persuratannya bukanlah peniruan(mimesis) sepi dalam seni Barat, tetapi berasaskan bentuk (constructional atau structural: al –nazam). Dengan itu seni Islam memberi keutamaan kepada pemikiran dan makna itu diberi bentuk sehabis indah dan unik melalui stylization.

Ciri-ciri Pendekatan Seni:

i. Keindahan dalam sastera adalah keindahan yang melandaskan dirinya kepada nilai-nilai estetika Islam dan tidak bertentangan dengan akidah serta ajaran Islam.

ii. Keindahan itu dapat dikenalpasti menerusi pelbagai aspek atau unsur pembinaannya: yang berbentuk harafiah dan dalaman, gaya penceritaan, kaedah pendedahan tema dan watak, pemakaian sudut pandangan dan gaya bahasanya.

iii. Keindahan itu dipentingkan adalah penggunaannya, iaitu penelitian sastera bagi menemukan dan kemudiannya menghasilkan kembali kepada memperkukuhkan tapak-tapak asas yang murni lagi suci iaitu keimanan, ketakwaan, dan kecintaan kepada Allah.

2.2 Pendekatan Kemasyarakatan

Pendekatan ini dianggap sebagai alat pendedahan segala macam persoalan yang bertujuan untuk mencari kebaikan dan keadilan dalam masyarakat seperti yang dituntut oleh agama Islam. Dalam konteks ini, sastera Islam diangap sebagai pencipta yang berfungsi khusus dengan membawa perutusan besar untuk mensejahterakan dan membahagiakan umat manusia.

Ciri-ciri Pendekatan Kemasyarakatan:

i. Sastera dianggap lumrah untuk mendedahkan dengan jelas, benar dan berani permasalahan mengenai kemungkaran, ketidakadilan, penipuan, kepuraan, rasuah dan segala permasalahan yang dianggap punca kepada kepincangan masyarakat dan keimanan insan.

ii. Persoalan kemasyarakatan dilihat daripada kaca mata Islam dan tidak digunakan sebagai bahan propaganda yang membohongi kenyataan realiti melainkan adalah untuk mencari kesejahteraan hidup bermasyarakat dan pengukuhan keimanan serta ketakwaaan insan.

iii. Pendekatan ini menumpukan kepada soal-soal isi dan tema yang memancarkan permasalahan dalam masyarakat dan kajian juga wajar terarah kepada latar belakang hidup pengarang untuk melihat keselarian dengan persoalan kebajikan masyarakat yang dipaparkan dalam karyanya.

iv. Pendekatan ini juga memungkinkan kajian ke arah soal-soal syariah, ibadat, moral, ekonomi, sosial dan politik dari sudut keIslaman.

2.3 Pendekatan Dakwah

Pendekatan Dakwah menekankan aspek-aspek yang menyentuh segala persoalan yang berkaitan dengan penonjolan kebesaran dan sifat-sifat keagungan Allah dalam hasil kesusasteraan Islam. Sastera juga dilihat sebagai satu wadah untuk mempertingkatkan nilai ketakwaan sesorang insan terhadap Allah.

Ciri-ciri Pendekatan Dakwah:

i. Pendekatan ini juga dilihat sebagai mengandungi persoalan yang memaparkan tentang sifat-sifat kemuliaan dan ketinggian Allah, serta sastera dapat dijadikan sebagai ‘kitab’ yang darinya insan dapat mengenali dengan lebih dekat dan khusyuk terhadapNya. Seterusnya, menimbulkan rasa kecintaan dan kehormatan yang lebih besar dan suci kepada Allah.

ii. Pendekatan ini, mempunyai persoalan tentang kemurnian dan kelebihan agama Islam, yang daripadanya akan dapat menimbulkan daya tarikan yang lebih mendalam terhadap kesucian agama Islam, baik daripada kalangan insan muslim mahupun bukan muslim.

iii. Pendekatan ini banyak bertumpu kepada aspek-aspek tema dan amanat yang mengarah kepada penyerahan permasalahan tersebut.

iv. Aspek watak dan perlakuan serta peribadi watak juga menjadi daya penarik untuk dikaji dengan kaitannya dengan sifat-sifat mulia seorang insan muslim.

3. KUMPULAN PUISI SALASILAH OLEH ZURINAH HASSAN

Kajian akan dilakukan ke atas Kumpulan Puisi Salasilah oleh Zurinah Hassan, yang diterbitkan pada 2005 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Jumlah puisi yang terdapat didalamnya mengandungi 100 buah puisi yang dibahagikan kepada:

Bahagian 1: Mukadimah Selat Melaka(39 buah puisi)

Bahagian 2: Bergurau Senda(17 buah puisi)

Bahagian 3: Tun Sri Lanang Kedua( 42 buah puisi)

Secara umumnya, puisi-puisi dalam kumpulan ini berupa catatan rasa dan pancaran minda seorang penyair wanita tersohor tanah air, Zurinah Hassan yang berasa terharu terhadap segala peristiwa yang menimpa bangsa Melayu dari zaman dahulu sehingga sekarang. Bersumberkan teks Sejarah Melayu, pelbagai cerita rakyat, cerita jenaka, kisah lagenda, hikayat, buku sejarah, akhbar dan majalah, Zurinah cuba mengutip mutiara makna daripada keindahan bahasa daripada para pujangga Melayu, lalu dicernakan ke dalam puisi-puisi yang cukup mengusik perasaan.

Puisi-puisi ini berfokus dengan tema khusus , iaitu tentang perjuangan dan pemikiran bangsa Melayu zaman dahulu, yang telah diberi pentafsiran baru sesuai dengan perkembangan dunia moden. Bagi Zurinah sejarah bukan sekadar kenangan, tetapi ia boleh menjadi iktibar dan teladan. Ini sesuai dengan kata-kata Dr. Abdul Rahman Napiah, iaitu “Menyusur masa lalu untuk menyisir makna baharu”.

Pengkajian akan dilakukan menerusi citra manusia dalam kumpulan puisi Salasilah melalui Teori Pengkaedahan Melayu dengan menggunakan Pendekatan Moral.

4. CITRA MANUSIA DALAM KUMPULAN PUISI SALASILAH: APLIKASI TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU

Kajian ini berdasarkan Teori Pengkaedahan Melayu melalui Pendekatan Moral. Kajian berfokus untuk melihat citra manusia dalam sistem pemerintahan feudal. Kedudukan susunlapis masyarakat yang terdiri daripada; golongan pemerintah(sultan/raja, wanita/permaisuri, bendahara, laksamana) dan golongan yang diperintah(rakyat) terpampang dalam Salasilah. Pendekatan Moral yang dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman hidup manusia seharusnya dijadikan iktibar, panduan dan cermin perbandingan dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Tegasnya, daripada pengalaman-pengalaman hidup manusia dapat disalurkan aspek pengajaran dan pengetahuan yang berguna.

4.1 Golongan Pemerintah

4.1.1 Sultan/Raja

Kegemilangan sesuatu tamadun bangsa mempunyai hubungkait yang sangat rapat dengan sistem pemerintahan yang menerajui bangsa berkenaaan. Raja yang adil akan sentiasa memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya. Raja yang adil akan sentiasa mendapat rahmat Allah sama ada dalam kehidupan di dunia atau pun akhirat. Bagaimana pula dengan raja yang zalim? Zurinah memberi jawapan melalui puisi:

Tangisan Bonda Sultan Mahmud

Setelah melakukan pembunuhan

ke atas Bendahara Seri Maharaja

dan ahli-ahli keluarga

Sultan Mahmud kebingungan

melihat bondanya Tun Senaja menangis berhari-hari

menangis tidak berhenti-henti

menghempas-hempas bagai tidak sedarkan diri

….………………….

Sudahkah anakanda lupa,

siapa bendahara sebenarnya?

bukankah bendahara Seri Maharaja itu

saudara kandungku?

sudah pasti bapa saudaramu

dalam negeri kau mungkin melebihi

tetapi dalam hukum keluarga

tempatnya lebih mulia

………………………

Dengan penuh kesedaran Zurinah cuba membongkar sikap keterlaluan raja yang menurut hawa nafsu tanpa pertimbangan akal yang wajar. Menurut Jelani Harun(2003 :133) Raja yang menggunakan akal dengan betul akan sentiasa berada dalam garis panduan kepimpinan yang benar. Sebaliknya raja yang tidak berakal atau tidak menggunakan akal akan membawa bala dan bencana terhadap kehidupan manusia. Jelas dalam puisi ini Sultan Mahmud tentunya tidak menggunakan akal sehingga sanggup membunuh seorang bendahara yang cekap, apatah lagi bendahara tersebut merupakan bapa saudaranya. Kekejaman seorang raja Zurinah mengungkaikan lagi menerusi:

Jujurnya Seorang Hamba

………………………

Pada suatu pagi yang amat hiba

Wan Anum yang sarat mengandung

merayu belas datuk penghulu

meminta seulas nangka

yang sedang dibawa menghadap raja

………………………

Dikoyaknya perut isteri laksamana

hanya kerana seulas nangka

dipancungnya rakyat sesedap rasa

hanya untuk menjamu selera

………………………

Sekiranya raja sanggup membunuh bendahara, yang mempunyai pertalian keluarga apatah lagi sebagai rakyat. Puisi ini jelas mengambarkan ketidakperimanusiaan seorang raja, sebagi peneraju negara sanggup dikoyaknya perut isteri laksamana/hanya kerana seulas nangka. Menurut S. Othman Kelantan(1993:49) segala hukuman dan perbuatan raja itu harus dan pasti mengambil kira dirinya sendiri. Kalau orang atau rakyat disakiti, apakah raja tidak peka terhadap kesakitan begitu kalau dilakukan ke atasnya?

Begitu juga dalam puisi:

Episod Tun Kudu

………………………

Muzaffar merelakan

caranya mendamaikan Melaka

agar kuasa tidak tergugat oleh sengketa

Muzaffar menyayangi Tun Kudu

manis Tun Kudu manisnya cinta

enaklah lagi sebuah takhta

nikmat wanita di hujung rasa

manakan sama nikmat berkuasa

………………………

Sultan Muzaffar dan Tun Ali

mencari persetujuan

dimeja rundingan

dengan semangat kelelakian

bertukar habuan kedudukan

bertukar barangan

yang bernama seorang perempuan

…………………..…..

Zurinah mengungkapkan dayusnya seorang suami yang bergelar sultan, sanggup menyerahkan isteri kepada lelaki lain semata-semata untuk kepentingan diri dan kegilaan untuk sebuah kuasa, sedangkan sebagai seorang sultan, mempunyai kuasa, kedudukan dan martabat yang tinggi untuk membuat segala keputusan. Akhirnya menerusi puisi Mimpi Paduka Maharaja:

………………..…….

Paduka Maharaja menghempaskan kekesalannya

“Maafkan beta Nadim

suara rajaku telah menyetujui kekejaman

suara raja tak semestinya suara hati

kerana raja juga hamba

kepada aturan yang merajakannya.”

aturan yang tegak atas kebodohan

tak boleh memberi ruang kepada kepintaran.

………………………

Zurinah terus memperlihatkan lagi kekesalan raja melalui, Selamat Tinggal Melaka:

………………………

Melaka menjadi empayar terkenal

seperti diramal

teguh dan perkasa

aku adalah raja dipuncaknya

tinggi dan mulia

seperti pucuk pada pohon sasa

kukuh dan angkuh

meremehkan segala yang dibawah

membiarkan akar tak berbaja

tersiram segala racun dendam

Kutinggalkan Melaka negeriku

ketika kelam malam dan asap hitam

jatuh ke bahu

kubu terakhir telah runtuh oleh hujan peluru

dan, menangis segala anak Melayu

Namun penyesalan itu tiada gunanya, kerana yang terjadi telah pun berlaku tidak boleh kembali lagi. Hang Nadim telah dibunuh di atas kecerdikannya namun dosa raja tidak akan terampun kepada bangsanya kerana menolak ilmu(kemajuan) untuk keperluan bangsa dan negara pada masa akan datang. Akhirnya, negara dijajah oleh kuasa asing akibat leka dan lalai dalam menunaikan tanggungjawab. Maruah seorang raja juga turut tercalar.

Puisi-puisi ini jelas menggunakan pendekatan moral untuk melihat kedudukan raja yang diistilahkan sebagai “bayangan tuhan di dunia” sepatutnya mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap rakyat yang berada dibawah kekuasaannya. Setiap perkara yang dilakukan ke atas rakyat sama ada baik atau buruk, terletak dibawah tanggungjawab raja. Seorang raja berkuasa penuh dalam menentukan arah tuju untuk kesejahteraan hidup rakyatnya. Adil dan saksama dalam menjalankan segala urusan dan pentadbiran. Sebagaimana firman Allah:

“Sesungguh Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman…” (Surah al-Nahl:90)

4.1.2 Bendahara

Menurut S. Othman Kelantan(1993:50) Menteri dalam sesebuah kerajaan merupakan “otak” kepada pentadbiran atau “menteri yang berbudi itu taulan raja-raja” untuk mentadbir dan memajukan negara. Zurinah mengangkat watak bendahara Tun Perak yang memainkan peranan penting dalam mengatur urus pentadbiran di Melaka. Katanya dalam puisinya Pulang Tun Perak:

……………………...

Namanya Tun Perak

Muda, gagah dan segak

Dihantar ke Klang

Jadi penghulu terbilang sebutan

Apabila Siam menggertak

Tun Perak dipanggil pulang

Kerana diyakini bijak dan layak

Untuk menyusun gerak

…………………..…..

Gagahnya Tun Perak

Tangkas dan garang

Menghapuskan segala jejak

Musuh dihalau Melaka terlindung

Tun Perak disanjung.

……………………….

Kebijaksanaan dan keberanian Tun Perak adalah pelengkap untuk mewujudkan kemakmuran, kesentosaan, dan kesejahteraan di bumi Melaka. Mengikut Aboebakar Atjeh(1988:19) keberanian ialah satu sikap tidak ragu-ragu untuk mengambil sesuatu tindakan walaupun dalam keadaan berbahaya dan berisiko tinggi. Dalam konteks ini, kesanggupan bendahara untuk menghadapi cabaran dan tentangan akhirnya Musuh dihalau Melaka Terlindung/Tun Perak disanjung.

Kebijaksanaan seorang bendahara bukan sahaja dalam pentadbiran tetapi dalam menguruskan rumahtangga. Tanggungjawab sebagai seorang ayah tidak pernah diabaikan olehnya. Zurinah cuba mencari sesuatu makna dalam puisi:

Episod Tun Fatimah

………………………

Bendahara yang tegas pendirian

Ikhlas menjelaskan

Puteri yang seorang telah ditunangkan

Tun Ali sepupu adalah pilihan

Biarlah duduk sama padan

Bagai sesusun sirih di puan

Jauh di sudut hatinya

Bendahara yang bijaksana

Sudah mengerti keadaan

Tidak dihajati bermenantukan sultan

Tidak diimpikan Fatimah menjadi Raja Perempuan

Ayah yang luas pengalaman tajam perasaan

Mengenal nafsu dan cinta

Mendoakan untuk anakanda

Sebuah rumah yang bahagia

Biarlah menjadi isteri yang berjasa

Bukan boneka di istana

………………………

Pendekatan Moral jelas diberikan kepada bendahara yang bijaksana bukan hanya memiliki akal yang cerdik tetapi pintar menggunakan ketinggian akal dalam penampilan peribadi. Kehalusan budi, ketelitian pemikiran, kesabaran hati, kecekalan usaha adalah aset penting untuk menyempurnakan sesuatu tugasan. Bendahara Maharaja sedar dan tahu siapa Sultan Melaka. Oleh yang demikian, beliau tidak ingin bermenantukannya. Cukuplah dengan Tun Ali yang sesuai, Biarlah duduk sama padan/Bagai sesusun sirih di puan .Sebagaimana Awang Had Salleh(1985:3) yang menyebut masyarakat Melayu terkenal dengan nilai merendah diri. Nilai ini menurutnya, telah memperkayakan budi bahasa mereka serta dijelmakan dalam semua kehidupan seperti tutur kata, pakaian, dan semua tindakan orang yang bersopan sentiasa merendah diri.

4.1.3 Laksamana

Laksamana turut memainkan peranan utama dalam memajukan sesebuah negara. Tugasnya menjaga keamanan dan keselamatan negara daripada dicerobohi musuh. Pekerjaannya merupakan satu tugas yang mulia. Laksamana adalah satu jawatan tertinggi dalam sistem ketenteraan Kerajaan Melayu Melaka (1400-1511). Dalam sistem Kerajaan Melayu Melaka tentera laut adalah yang paling utama iaitu berasaskan bahawa masyarakat Melayu ketika itu adalah pelaut dan ahli dalam pelayaran. Mereka yang berpangkat Laksamana dalam Kerajaan Melayu Melaka itu digelar Orang Kaya. Hang Tuah dikatakan antara pembesar Melayu pertama yang dikurniakan gelaran laksamana(http://ms.wikipedia.org/wiki/Laksamana). Zurinah cuba membawa watak laksamana Hang Tuah dalam puisinya:

Tak Melayu Hilang di Dunia

Kata Laksamana Hang Tuah

“Tak Melayu hilang di dunia”

kata-kata itu bermain dibibir

kata-kata itu diulang tafsir

maknanya dalam

maksudnya tajam

………………………

Hang Tuah mewakili bangsa Melayu yang hidupnya merentas dari lautan Hindi dan Lautan Pasifik dan nekad yang bangsanya ada di mana-mana, takkan hilang bangsanya di dunia, kerana percaya dan yakin bangsa, bahasa, dan budayanya telah tumbuh subur di seperempat di muka dunia.

Selain itu, Zurinah mencari makna yang tersendiri dalam puisi Keris Taming Sari dan Rintihan Taming Sari, kritikan sosial jelas dalam episod pertikaman Tuah dan Jebat , Tuah dan Taming Sari (pahlawan Majapahit) . Dalam puisi Keris Taming Sari:

Maka pertikaman itu berlanjutan

berjam-jam mungkin berhari-hari

sehingga Tuah memperdayakan lawan

dan merampas Taming Sari

Demikianlah yang diriwayatkan

Taming Sari membuat penentuan

siapa kecundang siapa terkorban

mematikan seorang pahlawan

lalu menghidupkan satu perdebatan

Manakala pertarungan Tuah dan Taming Sari dalam Rintihan Taming Sari:

Berkatalah Taming Sari

telah kudengar tentang kehandalanmu Tuah

kemungkinan aku akan mati ditanganmu

rajamu akan tersenyum riang

dan segala orang Melaka akan bersorak-sorak riang

ketika aku menggelupur kesakitan

Sesungguhnya perlawanan esok hari

bukan antara kita berdua

tetapi antara dua raja

kita yang bernama pahlawan

diturunkan ke tengah gelanggang

Kita yang bernama pahlawan

adalah haiwan pelagaan

peluh bersimbah terjelir lidah

akan terus berlawan

kerana nyawa kita

adalah barang permainan

………………………

Episod ini menjadi debat yang tidak berkesudahan. Siapakah yang harus dipersalahkan di dalam persoalan ini. Kedua-dua laksamana ini hanyalah menjalankan tugas dan perintah yang dibawa oleh sultan. Membawa nama atau sebagai duta negara negara-negara masing-masing, yang pastinya nyawa dan maruah menjadi pertaruhan.

Namun persoalan yang utama yang ingin disampaikan Zurinah bukanlah kerana ia telah membuktikan kehandalan Tuah tetapi kerana ia telah menunjukkan perangai orang ramai atau rakyat jelata yang digambarkan bersorak-sorak ketika Taming Sari menggelupur menghadapi maut. Ternyata mereka begitu terhibur melihat pertikaman dan sengketa malah telah menjadikan nyawa insan sebagai barang mainan. Sampai bilakah kita akan terus seronok dan terhibur melihat sengketa sesama bangsa. Disinilah Pendekatan Moral yang dimainkan dalam puisi-puisi ini.

Dalam puisi Jebat yang Tidak Jadi Menderhaka:

Sepanjang hidup Jebat

mendengar Tuah berkata:

pantang Melayu menderhaka

Kata-kata itu diulang-ulang

pantang Melayu menderhaka

pantang Melayu menderhaka

………………………

Dengan marah yang menggelegak

Jebat mahu memberontak

tetapi dia tergaman

terbayang wajah Tuah

bersungguh –sungguh meminta

agar tidak menderhaka

kata-kata orang yang disayangi

memang selalu dikenang

akan tetap dipegang

jika Jebat menderhaka

akan tercemar persaudaraan mereka.

………………………

Sebaliknya apa yang berlaku dalam puisi ini menjadi kontra dalam teks Sejarah Melayu, Zurinah cuba mengingatkan tiada gunanya Jebat untuk menderhaka. Jebat bagi Zurinah merupakan laksamana yang memegang amanah dan tanggungjawab. Inilah yang dikatakan oleh Johari Alias(2001:104) sifat yang tidak amanah boleh menimbulkan kemarahan orang lain yang akan membawa persengketaan dan pertengkaran. Oleh itu, amanah akan menjamin kesejahteraan manusia kerana amanah merangkumi seluruh aspek kehidupan sosial.

4.1.4 Wanita/Permaisuri

Kepenyairan Zurinah tidak sesama sesekali melupai wanita dalam menterjemahkan puisi-puisinya. Bermula daripada golongan wanita biasa, Salasilah mengangkat wanita menjadi golongan atasan atau permaisuri, biar pun pada dasarnya mereka dimanipulasi dan tidak berada di tempat yang sewajarnya. Puisi Surat Teja ke Inderapura :

………………………

Semua ini terjadi kerana kesilapanku

akulah yang tersilp langkah

lari mengikut Tuah

aku yang digoda kata-kata

lari mengejar cinta

kusangka diri kekasih idaman

rupa-rupanya seorang tawanan

……………………..

sejak pinangannya yang pertama

tidak kami terima

Sultan telah sedia dendam

sedikit rasa tercalar

seluruh negeri bergegar

baiklah aku menyerah kepada Sultan Melaka

agar Inderapura tidak ditimpa petaka

Kesilapan langkah seorang wanita, akibat memburu cinta dan meninggalkan orang yang disayangi, akhirnya terpaksa berkorban untuk negerinya. Begitu juga dengan nasib yang dialami oleh Tun Kudu. Tun Kudu dijadikan alat oleh suaminya, yang terpaksa turun dari kerusi permaisuri untuk menjadi suami kepada Tun Ali. Adakah ini yang dikatakan pengorbanan. Zurinah memperjelaskan dalam Setelah Mengahwini Tun Ali:

………………………

Sehinggalah terjadi peristiwa itu

Tun Ali menyembah keinginan

dan Sultan pun berkenan

dengan sedikit rundingan

Tun Kudu bertukar tangan

dalam episod yang dipersoalkan

makna cinta dan pengorbanan

Tun Kudu mengerti

Muzaffar adalah raja dan suami

menimbang antara isteri dan negeri

dirinya disayangi

seperti pakaian penghias diri

tetapi cinta hanya perasaan

dan negeri adalah tanggungan

Peristiwa yang hampir sama berlaku dalam Tangisan Puteri Hang Li Po:

………………………

Apakan daya kita Li Po

kerana kita wanita

bernilai selagi diperguna

dan, ayahandamu Maharaja

tawa dan air matanya untuk negara

politik lebih penting daripada negara

kuasa lebih penting

daripada bahagia

………………………

Kecantikan yang dimiliki juga membawa padah dalam Episod Tun Fatimah:

Namun, bendahara yang bestari

Telah teraniaya

Fatimah menderita kerana jelita

Tertikam wajahnya sendiri

Dengan kaki berdarah

Fatimah melangkah

Melalui permaidani berkaca

Dan hamparan berduri

Menaiki singgahsana

Tun Fatimah yang jelita ditimpa bencana. Dia kehilangan ayah, suami, adik dan bapa mentua. Kesedihannya bukan alang kepalang. Namun dalam keadaan terpaksa beliau menjadi permaisuri. Puisi Perempuan Melaka Episod Terakhir mengungkaikan ceritera itu:

Akulah Fatimah

yang menyaksikan Melaka di penghujng hari

ketika langit dicalar senja dan negeri dicalar luka

………………………

perkahwinan bagi kami

bukan soal hati

kehidupan bagi kami

bukan soal peribadi

semuanya untuk negeri

kami tidak berjiwa

kerana jiwa kami hanya untuk Melaka

Ternyata para raja atau pembesar tidak menghayati ajaran Islam walaupun mereka menjadi pemimpin di sebuah negara Islam ketika itu. Mereka melayani wanita hanya mengikut nafsu, hadiah, alat untuk megukuhkan kedudukan politik atau dijadikan punca pelbagai fitnah. Kedudukan yang mulia itu seakan-akan dinafikan .

4.2 Golongan Yang Di Perintah

4.2.1 Rakyat

Mengikut Ismail Hamid(1988) menjelaskan bahawa raja dianggap oleh masyarakat Melayu sebagai payung negeri. Justeru itu, mereka menghormati dan mematuhi titah perintah raja. Dalam sejarah masyarakat Melayu tradisional, rakyat sanggup berkorban jiwa raga kepada raja maka demi mendaulatkan sempadan negeri daripada pencerobohan. Pantang sesekali menderhaka. Kata Zurinah dalam Demang Lebar Daun:

Kata Hang Tuah kepada Jebat

pantang Melayu menderhaka

menderhaka melanggar waadat

atau ikrar janji

yang ditandatangani

oleh Demang Lebar Daun

dengan Sang Sapurba

di Bukit Siguntang Mahameru

pada masa dahulu’

Oleh yang demikian, rakyat sebagai golongan terbanyak dalam sesebuah negara harus mematuhi raja yang menerajui kepimpinan negara, agar perjalanan pentadbiran negara berjalan lancar, justeru membawa kebaikan kepada golongan pemerintah dan rakyat jelata. Apatah lagi setelah satu perjanjian sosial telah dilakukan di antara rakyat dengan pemerintah. Kerjasama kedua-dua pihak perlu untuk mengukuhkan kedudukan sesebuah negara. Aboebakar Atjeh(1988:77) persaudaraan Islam atau ukhwah Islamiah mewajibkan umatnya mengutamakan kepentingan umum lebih tinggi nilainya daripada kepentingan peribadi. Sifat menghargai persaudaraan Islam akan memberi perlindungan menyeluruh, disamping mewujudkan perdamaian dan ketenteraman dalam masyarakat.

Namun begitu, apabila pemerintah/pemimpin mempergunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri mengakibatkan rakyat rasa terhina dan tidak mempunyai apa-apa hak dalam menentukan hala tuju untuk memajukan diri. Zurinah mencari kebenarannya dalam puisi Pak Kaduk di Gelanggang Raja:

………………………

Aku mendengar mereka mengutuk

Pak Kaduk memalukan bangsa

tidak sedar ditipu raja

Itu tidak benar

kerana aku terlalu sedar

tetapi apabila raja berkata:

“mari kita bertukar ayam”

itu bukan satu cadangan tapi satu perintah

bagaimana aku membantah

apakah hakku untuk tidak setuju

Rela atau terpaksa tentu tak ada beza

seribu ayam boleh mengalahkan ayam raja

tetapi rakyat tidak akan menang sampai bila-bila

………………………

Oleh itu, perasaan taat setia, cinta, ikhlas dan hubungan kerjasama antara raja/pemimpin dengan rakyat menjadi sebaliknya. Sebaliknya, sifat menentang terhadap kepimpinan negara akan melahirkan peribadi rakyat yang suka memberontak, khianat, atau tidak menghormati undang-undang, hingga akhirnya membawa negara ke kancah kehidupan yang tidak stabil dan huru-hara. Perhatikan puisi:

Pesan Si Luncai

………………………

Ceritakan asal usulku

budak desa miskin dan hina

mengambil upah menumbuk padi

menjual kayu api

untuk mencari sesuap nasi

ke mana pergi diejek

kerana rupa yang jelik

perut buncit punggong tonggek

……………………..

Kalau lahir sebagai rakyat

sudah takdir hidup melarat

segala kemewahan jangan dihajati

hanya untuk orang berdarjat

jangan jadi seperti Mat Jenin

berangan-angan tinggi

terjatuh pokok lalu mati

sememang di kampung kami

Pak Belalang dibiarkan malang

Pak Pandir dilarang berfikir

………………………

dengan seni bercerita

aku memperdayakan raja

hingga dapat merampas takhta

dan puisi Pesan Pak Kaduk:

………………..…….

Tuan Yang Berhormat

jangan meniru cerdik raja memangsakan rakyat

jangan ulangi bodoh hamba

tamakkan habuan yang cepat

termakan pujuk terbelit muslihat

kurang ilmu buta hakikat

tumpul akal tidak melihat

kalah orang kalah mendapat

Silap Pak Kaduk bertukar ayam

maka tergadai kampung halaman

silap tuan bertolak ansur

maka tercagar nasib keturunan

………………………

Si Luncai dan Pak Kaduk mewakili suara rakyat yang cukup tertindas dan terseksa. Raja/pemimpin tidak pernah memperdulikan nasib rakyat. Rakyat dibiarkan tanpa sebarang bantuan walaupun hidup penuh dengan kemiskinan. Malahan harta rakyat mahu dikikis dan dirampas. Si Luncai bangkit dari dilema itu dan menggunakan tipu helah untuk memperoleh hajatnya. Namun Pak Kaduk, kehilangan tanah dan ayam; harta dan warisan.

Zurinah terus memperlihatkan sikap rakyat atau masyarakat yang juga mementingkan diri sendiri yang mengetahui kebenaran tetapi tidak mahu mengubahnya. Mereka cukup seronok untuk menyaksikan sesuatu yang dianggap jenaka tetapi tidak kepada mangsa yang menimpa. Menangislah Anak Pak Pandir menghuraikan:

………………………

Aku menangis meraung-raung

meminta tolong

maka datanglah orang-orang kampung

mereka pun ternganga

melihat perbuatan bapa

………………………

Semakin kuat aku menjerit

semakin kuat mereka ketawa

ini adegan jenaka

semakin aku berteriak

semakin mereka galak

gelak yang rancak

gelak yang galak

Tak siapa menghulurkan tangan

menyelamatkan aku daripada kematian

lalu aku mati

sebagai mangsa kebodohan

lalu aku mati

kerana keseronokan bangsa

mentertawakan kesilapan

tetapi tidak bertindak

untuk membetulkan kesilapan

Inilah yang dikatakan oleh Hashim Awang dalam pencirian Pendekatan Moral yang disingkap daripada pengalaman-pengalaman lalu untuk dijadikan pengiktibaran untuk manusia sejagat.

5. KESIMPULAN

Teori Pengkaedahan Melayu yang dibina oleh Hashim Awang, diharap dapat memberi sumbangan baru dalam memantapkan Kesusasteraan Melayu. Teori yang memperlihatkan sifat keistimewaan dan mempunyai jati diri Melayu yang dimiliki khususnya dalam era globalisasi yang amat mencabar ini adalah dari kesedaran dan kekreatifan bangsa Melayu terhadap kepentingan sastera sebagai alat yang membentuk jiwa, moral dan kemajuan bangsa serta masyarakatnya. Mengikut Samsina Abd Rahman dalam Pengkaedahan Melayu: Konsep dan Aplikasi dalam Genre Puisi, para pengkaji sastera dapat melihat falsafah pemikiran, kebijaksaaan, daya kreativiti dan lain-lain estetika yang terserlah sama ada secara tersurat mahu pun tersirat dalam teks-teks sastera yang dihasilkan khususnya puisi Melayu.

Melalui Pendekatan Moral yang dikaji menerusi Kumpulan Puisi Zurinah Hassan terdapat moral yang sarat tersirat dalam setiap puisi-puisi yang dihasilkan. Ia dapat memberi kemanfaatanya yang lebih jauh dan besar daripada fungsinya sebagai suatu alat, iaitu kemanfaat yang berkaitan dengan kebatinan dan keperibadian manusia. Puisi-puisinya menyingkap dan menyatakan pengalaman yang boleh diambil bentuk-bentuk peristiwa yang dilalui oleh manusia melalui sistem pemerintahan dan juga segala maklumat yang berkaitan dengan mereka serta suasana persekitaran dalam Salasilah. Puisi-puisi dalam Salasilah juga dilihat sebagai perakam peristiwa, perbuatan dan perilaku manusia. Semua yang terakam ini dapat ditinjau sebagai pengibaratan atau pengiktibaran kepada pembaca dan pengguna sastera dan juga sebagai sumber maklumat dan ilmu pengetahuan.

3 comments:

zurinah hassan said...

Syabas atas usaha dan kegigihan anda. Saya juga mengkaji Teori Pengkaedahan Melayu untuk ijazah Ph.D.Universiti Malaya. Baru konvo 4 Ogos 2008. SELAMAT MAJU JAYA

Aidil Fadzil said...

Terima kasih kesudian Dr.Zurinah kerana sudi bertandang diblog ini. sesungguhnya saya sangat berbesar hati dan teruja sekali.

Ain Zailey said...

boleh sy dptkn bibliografi utk "Citra Manusia Dalam Kumpulan Puisi Salasilah Oleh Zurinah Hassan: Aplikasi Teori Pengkaedahan Melayu" ni...