Thursday, April 26, 2012

BERBUDIKAH MELAYU KEPADA BAHASA?


                                            


Menurut Tenas Effendy di dalam bukunya Tunjuk Ajar Melayu (2006), masyarakat Melayu mempunyai tunjuk ajar yang mengandungi nilai-nilai luhur daripada ajaran agama Islam yang sesuai dengan budaya dan norma-norma sosial yang dianuti oleh masyarakatnya.

Salah satu tunjuk ajar Melayu yang sangat penting ialah berbudi. Banyak sudah tersemat di dalam lipatan budaya orang Melayu tentang budi.

Orang Melayu diminta untuk berbudi dengan manusia yang lain. Kita sering mengaitkan berbudi dengan hubungan manusia dengan manusia yang lain. Namun jarang kita mengaitkan berbudi dengan bahasa. Ungkapan “berbudi bahasa” perlu juga dilihat di dalam konteks berbudi kepada bahasa. Orang Melayu dituntut untuk berbudi kepada bahasa Melayu iaitu bahasa ibundanya. Jika orang Melayu boleh berbudi kepada orang lain mengapa tidak juga berbudi kepada bahasanya iaitu menjaga, memelihara, menghormati, menyanjungi dan menyayangi bahasa Melayu.

Baru-baru ini Persatuan Karyawan Pulau Pinang dan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM mengadakan satu seminar Mulia Bangsa Tinggi Bahasa. Seminar ini membincangkan tentang perlunya bangsa Melayu berbudi kepada bahasanya. Bangsa yang mulia akan cinta dan hormat kepada bahasanya. Hanya bangsa korup yang menghina bahasanya sendiri. Bangsa yang kecil akan memperkecilkan bahasanya dengan alasan tidak mampu menjadi bahasa ilmu.

Bangsa Melayu, kembalilah ke pangkal jalan untuk mencintai dan menghormati bahasa sendiri. Jika kita tidak menghormati bahasa sendiri, siapa lagi akan menghormatinya. Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang dan penutur yang cukup ramai.

Perjuangan meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang tinggi dan bermartabat perlu dikuatkan dengan iltizam dan pendekatan yang kreatif dan berani oleh kita semua khususnya pejuang-pejuang bahasa. Bahasa Melayu bukan sahaja milik orang Melayu sebalik milik rakyat Malaysia dan penduduk Nusantara.

Bahasa Melayu ialah bahasa ilmu dan hal ini telah terbukti kerana ramai graduan yang lahir berasaskan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan banyak buku yang telah diterbitkan di dalam bahasa Melayu.

Seminar Kebangsaan Mulia Bangsa dan Tinggi Bahasa sememangnya mengambil semangat dua perkara iaitu bangsa dan bahasa. Apabila mulia sesuatu bangsa maka tinggilah martabat bahasanya. Mulia bangsa membawa pelbagai konotasi yang menjurus kepada persoalan budi bahasa dan keimanan. Bangsa mencerminkan bahasanya. Keperibadiannya boleh dibaca melalui bahasa yang dipakai. Sikap hormat dan sayang kepada bahasanya ada kaitannya dengan keperibadiannya. Maka menghormati bahasa khususnya bahasa sendiri merupakan sebahagian daripada bangsa yang mulia.

Penting

Pada hari ini, bahasa Inggeris mendapat tempat yang penting di dalam pelbagai posisi kehidupan kita. Keperluan untuk menguasai bahasa Inggeris sangat kuat bukan bagi membentuk identiti baru tetapi lebih kepada kemahiran untuk menguasai dan menyebarkan ilmu serta menampilkan diri di arena antarabangsa.

Bahasa Melayu mengandungi unsur-unsur seperti sejarah, sosiobudaya dan kebijaksanaan yang membentuk kekuatan tersendiri. Hal ini tidak difahami sesetengah daripada kita. Mereka melihat bahasa sebagai satu unsur yang terpisah-pisah daripada pembentukan identiti sesuatu bangsa itu. Di dalam konteks memperkasakan bahasa Inggeris, kita perlu juga memartabatkan bahasa Melayu dengan rasa tanggungjawab dan ikhlas dan bukan kerana isu-isu sensasi.


                                         

Malangnya pada hari ini, ada sesetengah daripada kita tidak lagi memartabatkan bahasa Melayu kerana banyak sebab. Antaranya apabila keperluan untuk berbahasa Inggeris maka bahasa Melayu tidak lagi perlu diutamakan. Seterusnya, tidak ada rasa cinta dan hormat kepada bahasa sendiri. Ada yang lebih dahsyat lagi, ada yang menganggap bahasa Melayu bukan bahasa ilmu. Kalau diteliti kepada sebab-sebab yang saya sebut tadi, krisis yang dilalui oleh bahasa Melayu dan sikap penuturnya khususnya orang Melayu yang sedang mengalami krisis identiti. Mereka tidak mahu melihat adanya hubungan yang erat antara bangsa dan bahasa. Bangsa yang lupa diri adalah bangsa yang lupa kepada bahasanya. Jadi, Melayu yang lupa diri dan keperibadiannya akan lupa kepada kehebatan dan kehalusan bahasanya.

Dalam Bahasa Melayu Bahasa Dunia (2005), James T. Collins menulis bahawa hari ini terdapat lebih kurang 150 juta penutur bahasa Melayu di seluruh dunia. Angka ini cukup besar dan membanggakan orang Melayu. Namun bagi saya, kuantiti tidak menjamin kelestarian bahasa Melayu. Kita perlu penutur bahasa Melayu yang kuat dengan kesedaran tentang hakikat hubungan di antara bangsa dan bahasa. Bangsa Melayu harus berbudi kepada bahasanya iaitu tahu menghormati dan menghargai bahasanya. Jika ramai penutur yang lupa hakikat ini maka kuantiti ini tidak bermakna.

Melayu yang berbudi akan sayang kepada bahasanya dan Melayu yang kurang budinya akan memperlekehkan bahasanya sendiri. Melayu harus terhutang budi kepada bangsa dan bahasanya kerana ia mewarnai dan mengisi identitinya. Namun berapa ramai yang masih menaruh budi kepada bahasanya? Melayu masih berbudi untuk kepentingan sendiri, begitu sempit pengertian budi kepada mereka ini. Kita perlu ingat ada ungkapan penting iaitu ‘budi bahasa’. Kenapa perkataan budi ini dikaitkan dengan bahasa? Bukankah ini menunjukkan betapa pentingnya budi dan bahasa. Melayu yang meminggirkan bahasanya adalah mereka yang kurang berbudi.

Berbahasa lebih daripada satu wajar diamalkan oleh pelbagai etnik yang terdapat di Malaysia. Bahasa Inggeris memang penting dan perlu dikuasai. Namun kita jangan lupa kepada bahasa Melayu yang telah berakar jauh lebih lama sebelum Inggeris menjajah kita. Bahasa Inggeris bukan sahaja bahasa komunikasi tetapi juga bahasa ilmu. Bahasa Melayu juga begitu. Maka menjadi peranan setiap daripada kita untuk berbudi kepadanya. Ini kerana jika kita berbudi maka kita juga akan merasa betapa kayanya bahasa Melayu bukan sahaja keindahan tetapi juga keupayaannya untuk membentuk dunia ilmu, dahulu, hari ini dan masa depan. Maka berbudilah kepada bahasa Melayu khususnya orang Melayu itu sendiri.


PROFESOR DR. SOHAIMI ABDUL AZIZ 
Pensyarah Pusat pengajian Ilmu Kemanusian Universiti Sains Malaysia (USM).

Saturday, April 21, 2012

Taming Sari - Antara Mitos dan Realiti

Gambar: Hulu Taming Sari

Keris tersohor di alam Melayu lambang kebesaran Diraja Kesultanan Perak

KERIS iaitu sejenis senjata pendek yang digunakan untuk mempertahankan diri sejak lebih 600 tahun dulu tidak dapat dipisahkan daripada warisan galur bangsa.
Senjata unik di dunia Melayu ini boleh didapati di kawasan berpenduduk Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, selatan Thailand; Mindanao, Filipina serta Brunei dengan nama yang digunakan untuk senjata ini berbeza mengikut daerah.
Misalnya, di Mindanao ia dikenali sebagai sundang manakala di Bali dipanggil kedutan, Jawa Barat menggelarkannya kujang serta penduduk Sumatera merujuk keris sebagai kareh.

Dipercayai perkataan keris berasal daripada bahasa Jawa Kuno iaitu malang kerik yang bermaksud bercekak pinggang. Ini merujuk kepada figura orang bercekak pinggang pada hulu keris pada peringkat awal.

Selain digunakan untuk mempertahankan diri ketika bersilat, keris juga menjadi alat kebesaran diraja atau lambang kedaulatan Melayu. Dalam ratusan jenis senjata ini, keris tersohor yang paling dikenali ramai pastinya Taming Sari.

Sebut saja Taming Sari, rata-rata semua orang teringat kepada pahlawan Melayu Melaka, Hang Tuah, begitulah sebaliknya. Gabungan Taming Sari dengan Hang Tuah sangat sinonim dengan sejarah dan kebudayaan Melayu.
Apabila timbul isu bahawa pahlawan Melayu, Hang Tuah sebenarnya tidak wujud seperti yang dipertikaikan sesetengah pihak, maka timbul persoalan sama mengenai kewujudan keris Taming Sari.

Benarkah keris Taming Sari itu wujud atau sekadar mitos untuk mengukuhkan lagi kewujudan Hang Tuah? Rona minggu ini mendapatkan pandangan sejarahwan yang juga pakar keris dan Muzium Perak bagi merungkai persoalan itu.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Mohd Ramli Raman berkata, keris Taming Sari banyak diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu serta beberapa manuskrip alam Melayu yang lain.

Mohd Ramli berkata, apa yang jelas, keris Taming Sari memang wujud dan menjadi alat kebesaran Kesultanan Perak. Malah, berdasarkan rupa dan ciri yang ada pada keris Di Raja itu, senjata ini memang asli dan berasal dari abad ke-14 kerajaan Majapahit.

Malah, beliau berkata, beberapa manuskrip lama yang ditemui juga menceritakan mengenai keris berkenaan dan terbukti senjata itu memang wujud serta masih terus terpelihara sebagai peralatan Diraja Perak.

“Keris Taming Sari mendapat nama daripada hulu balang Jawa pada pemerintahan kerajaan Majapahit seperti yang ditulis dalam Sejarah Melayu mahupun Hikayat Hang Tuah serta manuskrip lain. Tidak kiralah sama ada benar wujudnya pendekar Taming Sari itu atau tidak, namun keris itu memang ada.

“Mengenai keaslian pula, mengapa perlu dipertikaikan kerana senjata berkenaan adalah alat kebesaran Diraja Perak. Ia benar wujud dan asli kerana ciri yang ada termasuk jenis logam yang digunakan memang terbukti sejak lebih 600 tahun dulu,” katanya.

Mohd Ramli berkata, banyak mitos dikaitkan dengan keris berkenaan, namun mitos itu adalah kepercayaan. Jadi, soalnya, mengapa perlu diketepikan kepercayaan itu.

Menceritakan sejarah keris tersohor itu, beliau berkata, mengikut Hikayat Hang Tuah, keris berkenaan mendapat nama daripada nama pemilik keris itu, hulubalang Majapahit, Taming Sari.

“Selepas pertarungan antara Majapahit dengan Hang Tuah, yang mana kemenangan berpihak kepada Hang Tuah, keris itu dihadiahkan Ratu Majapahit dengan Sultan Melaka dan kemudian diserahkan kepada Hang Tuah.

“Selepas kegagalan Hang Tuah meminang Puteri Gunung Ledang, beliau menyerahkan keris itu kepada Tun Mamat untuk diserahkan kembali kepada Paduka Raja.

“Namun, yang pastinya saya melihat keris Taming Sari adalah lambang kewibawaan, kekuasaan, darjat, rezeki dan mempunyai pengisian serta spiritual di dalamnya,” katanya.

Mohd Ramli berkata, selepas keris Taming Sari diserahkan kepada Hang Tuah, kerajaan Majapahit tumbang manakala Melaka menjadi lebih maju dan terkenal di mata dunia.

“Selepas keris diserahkan kepada Sultan Melaka tetapi dibawa Tun Mamat ke Riau, maka berlaku kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dan apabila ia dibawa ke Perak, ‘roh’ atau spiritual Taming Sari melonjakkan Kesultanan Perak sehingga hari ini,” katanya.


Pantang Larang Taming Sari


RIWAYAT dan kisah pertarungan hebat antara lagenda pendekar Melayu terulung, Hang Tuah dengan pahlawan Jawa dalam kerajaan Majapahit, Taming Sari akhirnya menzahirkan kewujudan keris teragung dalam sejarah ketamadunan Melayu iaitu Keris Taming Sari.

Mengambil nama sempena pahlawan hebat kerajaan Majapahit itu, Taming Sari dianggap keris sakti hingga menjadikan pemiliknya tidak lut ditujah senjata tajam. Malah, cerita silam mengisahkan pemilik asal keris itu, Taming Sari akhirnya mati di tangan Hang Tuah selepas ditikam keris berkenaan.

Kehebatan senjata itu tidak pernah terhenti diperkatakan sehingga kini, apatah lagi ia sering dikaitkan dengan Hang Tuah iaitu laksamana Melayu yang terkenal dengan ketaatan serta kesetiaannya kepada raja.

Namun, kebelakangan ini ada pula yang seakan menolak kewujudan Hang Tuah dan pada saat itu, Taming Sari yang tersimpan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, menjadi bukti kewujudan pahlawan Melayu tersohor itu. Masakan tidak, Hang Tuah dan Taming Sari begitu sebati dalam sejarah Melayu.

Sumber dari laman rasmi Pejabat Sultan Perak menyatakan keris berkenaan diselaputi dedaun emas manakala sarung atau hulunya juga diperbuat daripada emas serta dipercayai adunan daripada 20 jenis besi yang sebahagiannya adalah serpihan besi ganggang pintu Kaabah.

Pemiliknya bukan saja tidak lut senjata lawan, senjata dipercayai berusia lebih 500 tahun itu dikatakan berupaya berlegar di udara ketika mengejar musuh. Taming Sari juga dipercayai mempunyai kuasa untuk memberi petunjuk jika Perak bakal dilanda sebarang musibah atau bencana.

Kelebihan dan keistimewaan keris itu turut dibuktikan dengan kajian Muzium Perak yang mendapati keris Taming Sari memang wujud kerana senjata itu menepati ciri-ciri yang diperlukan, termasuk gambar rajah pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno mengandungi zikir dan amalan perang amalan Tariqat al-Shazilliah yang dipercayai ditulis pada abad ke-15.

Walaupun wujud pertikaian mengenai keaslian Keris Taming Sari yang kini tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Pengarah Muzium Perak, Nor Jannati Ibrahim memberitahu Rona bahawa keris itu asli dan bukan replika seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Keris Taming Sari yang sebelum ini pernah dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar adalah simpanan dan warisan Sultan Perak. Jadi ia menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja negeri ini. Malah, senjata itu hanya boleh dipamerkan kepada umum selepas mendapat perkenan daripada Baginda Sultan Perak sempena Hari Keputeraan baginda.

"Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah sejak 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I kepada Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah,” katanya.

Walaupun ketulenan atau keaslian keris berkenaan masih dalam kajian berterusan dilakukan pihak, tetapi Muzium Perak mempertahankan Keris Taming Sari itu adalah asli dan menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja Perak.

"Kebanyakan tohmahan timbul disebabkan generasi hari ini terlalu terdedah dengan maklumat atau fakta diperoleh daripada pelbagai sumber kurang tepat. Mereka hanya mendengar maklumat daripada sebelah pihak tanpa mengkaji sendiri sejarah sebenar Keris Taming Sari serta warisan alat kebesaran diraja itu.

"Disebabkan itu, muzium negeri secara berterusan akan mengadakan pameran berkaitan peralatan bersejarah seumpama itu untuk memberi penjelasan kepada rakyat," katanya.

Biarpun pelbagai dakwaan dan pandangan dikemukakan mengenai kewujudan keris sakti ini, Taming Sari yang juga keris kuasa atau bawar menjadi lambang kedaulatan Kesultanan Melayu Perak kini disimpan rapi bersama 26 alat kebesaran Perak lain dalam sebuah peti besi khas di istana berkenaan.

Berikutan senjata itu mempunyai 'kuasanya' tersendiri, beberapa 'penjaga' alat kebesaran Perak mendakwa ada pantang larang yang perlu dipatuhi sepanjang mengendalikan atau membawa Taming Sari.

Antaranya, keris keramat itu tidak dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar galeri secara bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.

Dikatakan, keris Seri Gading yang juga salah satu alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak itu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk terhadapnya.

Kesimpulan, walaupun ada pelbagai versi mengenai Taming Sari, rakyat Malaysia harus berbangga dengan memiliki seni warisan yang penuh dengan sejarah bahkan apa yang diwarisi adalah setanding dan diiktiraf negara luar.

Sumber:

Rohaniza Idris
bminggu@bharian.com.my
2012/02/05

Saturday, April 14, 2012

DI BAWAH RIMBUNAN KBTC




Hari itu (22 Mac 2012) cuacanya begitu cerah sekali. Kicauan burung menusuk lembut dalam sanubari. Bagaikan berkata-kata untuk menyambut seorang perantau yang ditinggalkan begitu lama. Hampir terpadam segala memori yang ditautkan. Setelah selesai berpakaian, kaki terus melangkah mencapai kunci kereta dan menghidupkannya.

“Eh, nak ke mana aku ni?” tiba-tiba timbul satu pertanyaan yang aku sendiri sudah mempunyai jawapannya. Ya. Hari ini, aku akan melaporkan diri. Bertugas di tempat baru. Ah…cepatnya masa berlalu. Cuti selama 3 tahun 3 bulan telah pun tamat. Cuti belajar sepenuh masa di UPM membuatkan rutin hidup telah bertukar. Hari ini ia akan bertukar sekali lagi. Bertukar dan bertukar dalam kehidupan adalah rutin. Itu hakikatnya. Perubahan dimensi itu harus kutelan dan hari ini aku akan memulakan langkah kembali.

Mengingatkan kembali, cuti belajar yang diberikan itu telah tamat tempohnya, namun sesi pengajian di UPM masih belum tamat. Aku kadang-kadang malu untuk bertemu dengan sesiapa pun.

“Dil, dah habis belajar? Tahniah Dil”, tiba-tiba ingatan seorang rakan menerpa dengan pertanyaan demikian.

“Belum lagi la…susah nak cakap. Tunggu kereta viva…” jawabku dengan senyuman agak pahit dan jenaka yang tidak lawak.

“Oh. Macam mana boleh tak selesai. Susah sangat ke? Rugilah KPM macam ni”.

Aku hanya mampu tersenyum dengan pernyataan sedemikian.

“Ya! Allah bagaimana aku nak terangkan kepada mereka ini. Berikanku kekuatan. Berikan aku ketabahan. Berikan aku kewarasan”.

Dalam melayari lamunan tiba-tiba kereta yang kupandu telah memasuki Kampus Memori ini.

“Oh, dah sampai rupanya”.



Ya, sememang perjalanan dari rumah ke kampus ini hanya memakan masa 7 minit sahaja. Aku mengangkat tangan pada pengawal. Tanda memberi penghormatan di atas laluan yang diberikan. Aku parkir kereta. Aku merenung kembali bangunan kampus ini. Tidak banyak berubah. Aku tarik nafas. Kuhembus kuat-kuat. Memori datang bertimpa-timpa.

11 Jun 1990, tarikh keramat yang tidak pernah terpadam dalam ingatan ini. Tarikh yang dinamakan bermulanya aku sebagai guru pelatih di Kampus KBTC ini. Mak dan ayah turut menghantar diriku walaupun aku menyatakan bahawa aku boleh hadir sendiri. Mungkin sikap dinginku untuk menerima tawaran itu menyebabkan ayah dan mak beria-ia mahu menghantarnya. Ayah menyewa teksi khas untuk menghantar aku. Aku enggan bukan kerana apa, aku mahu ke universiti. Universiti yang dapat menawarkan ijazah sarjana muda. Ah…bukan sekadar sijil...Apatah lagi aku dibebelkan oleh guru sejarah semasa di sekolah.

“Aidil, awak nak ke maktab? Jadi Cikgu? Rendahnya cita-cita awak!” Tegas Cikgu Sha.

“Cita-cita awak setinggi kemucup di jalanan. Ditiup angin entah ke mana. Dipijak orang, tumbang tak bernyawa”.

“Hanya sijil…Aidil. Saya yakin awak mampu melangkah ke universiti seandainya awak meneruskan sesi tingkatan enam ini”.

Aku hanya tunduk. Mengiakan dan memamah segala kata-kata walau hati pedih tertusuk sembilu.

“Saya yakin awak akan kecewa menjadi guru. Menjadi insan yang menerangi orang lain. Saya yakin awak akan menemui saya dan menyatakan kekesalan itu”.

“Balik nanti…awak fikir dan awak kena fikir, untuk masa depan awak!”

“Jumpa saya, jika awak sudah membuat keputusan”.

“Terima kasih, Cikgu”.

Hanya itu yang mampu kuluahkan. Aku pasrah pada ketentuan itu. Tangan Cikgu Sha kucium. Mohon maaf dan halalkan ilmu yang dicurahkan. Aku tahu luahan hatinya. Aku tahu dia mahu aku lebih berjaya. Aku tahu bahawa dia juga seorang guru tentunya tahu perit getirnya menjadi seorang guru.

Sebenarnya keputusan sudah ada. Sudah kulipatkan dalam hatiku. Atas nasihat kakak, kureda dan mengharapkan keputusan untuk menjadi guru adalah yang terbaik dalam rentak tari kehidupanku. Membantu keluarga meringankan beban perbelanjaan. Alasannya cukup mudah. Menjadi guru pelatih dibekalkan elaun. Elaun…bererti aku sudah memiliki wang sendiri tanpa menyusahkan sesiapa…

Tiba-tiba, ada debar di dada. Aku masih di kereta. Masih merenung Kampus KBTC yang kini digelar Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu. Aku mencari-cari surat penempatan semula. Ah, di mana? Oh, sudah kuletakkan di dalam fail.


…bersambung…

Friday, April 13, 2012

ROMANTIK ITU SUNNAH RASULLULLAH


SIAPA suami pilihan anda? Percaya atau tidak, antara kriteria suami pilihan para gadis ialah lelaki yang romantik. Bagi kebanyakan lelaki pula, romantik biasanya hanya ketika usaha memikat, tetapi bila si dia sudah menjadi miliknya, romantik terus hilang.

Apabila isteri bersuara, kerap lelaki ini memberi alasan: "Romantik apanya, tak perlu nak jadi orang Baratlah!".

Ini antara tanggapan kebanyakan lelaki Malaysia khususnya lelaki Melayu. Hakikatnya, romantik bukan sikap orang Barat, bukan juga budaya hero Hindi sebaliknya romantik, bersikap baik dan melayan isteri dengan lembut adalah sunnah Rasulullah SAW.

Isteri rasa dihargai

Malu memegang tangan isteri? Kenapa perlu malu? Saya akui, budaya ini memang agak asing bagi masyarakat kita. Kenapa jadi asing? Sebab kita tidak membiasakan diri kita melakukannya.

Setiap isteri mendambakan suami yang romantik. Tidak perlu berikan bunga setiap hari, bukan harapkan hadiah yang menghabiskan gaji. Memadailah cara anda membelai, tingkah anda merayu. Sikap anda memberi perhatian juga diinginkan selain pelukan dan ciuman kasih sayang malah luahan rasa cinta.

Pakar psikologi pernah mengatakan, pengucapan cinta satu kali sehari akan memanjangkan usia. Kenapa? Apakah kaitan pengucapan cinta dengan panjangnya usia?

Sebenarnya, maksud pendapat tersebut adalah ucapan cinta akan membuatkan diri orang yang menerimanya rasa disayangi dan dihargai lantas akan membuahkan seribu rasa kegembiraan dan kebahagiaan. Rasa gembira dan bahagia pula membuatkan seseorang ingin terus hidup bagi terus menikmati kebahagiaan tersebut.

Contoh Rasulullah

Menurut riwayat, Rasulullah SAW sering mengucup isteri baginda dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah SAW pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid. Aisyah RA berkata yang bermaksud: "Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk" - Hadis riwayat Abu Daud.

Walaupun hadis itu menjadi hujah atau perbincangan dalam hukum wuduk, namun tujuan saya mengemukakan hadis ini ialah untuk mengetengahkan kepada umum tentang sikap romantik Rasulullah SAW. Saya tahu, memang ramai yang mencium isteri tapi berapa kalikah anda mencium isteri anda dengan penuh kasih sayang, bukan sekadar ciuman selamba atau ciuman penuh ghairah?

Aisyah RA berkata: "Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah SAW menggunakan satu bekas air." - Hadis riwayat al-Bukhari.

Pernahkah anda berbuat demikian? Berapa kerap? Baginda juga sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah dan disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah RA dengan gelaran Humaira' yang bermaksud putih kemerah-merahan, bertujuan memuji kecantikannya. Rasulullah SAW juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah.

Lantas, ciumlah isterimu wahai para suami! Lafazkanlah kata-kata cinta. Panggillah isteri anda dengan panggilan disukainya. Berkongsilah makanan dan minuman anda.

Sentiasalah luangkan masa bersamanya malah banyak perkara lain yang boleh anda lakukan bagi membuktikan anda benar mencintai dan menghargai isteri anda. Apabila isteri rasa dihargai, dia bukan sahaja sanggup berikan layanan istimewa malah sanggup menggadaikan hidupnya demi suaminya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." - Hadis Riwayat al-Tirmizi.

Sebenarnya, cinta dan kasih sayang bukan sesuatu yang tegar dan keras seperti batu. Malah, batu juga boleh pecah dan hancur dek titisan air yang berulang kali. Sama juga dengan cinta dan kasih sayang. Seorang lelaki dan seorang perempuan perlukan cinta untuk bersama sebagai suami isteri. Untuk terus kekal sebagai suami isteri juga perlukan cinta.

Cinta bukan sekadar perasaan yang disimpan lama tetapi cinta perlu dihangatkan setiap masa dan ketika. Menjadi seorang suami malah isteri juga, rasa cinta perlu ditunjukkan setiap masa dan ketika.

Bersikap romantik merupakan antara cara meluahkan rasa cinta anda. Sebelum terfikir mahu melaksanakan sunnah Rasulullah SAW dengan poligami, apa kata usahakan untuk laksanakan sunnah baginda dengan bersikap romantik terlebih dahulu dengan isteri yang ada! Pasti boleh!

Sumber: Kosmo