Friday, May 4, 2012

DI BAWAH RIMBUNAN KBTC ( 2 )


Aku melangkah keluar. Memandang lagi kampus segar ini.  Dalam hati Allah SWT sahaja yang tahu. 

Betul ke keputusan ku ini? Aku masih sangsi dengan keputusan ku ini. Atau aku sahaja mencari nahas mengutip kembali memori  20 tahun yang lalu.  Pokok-pokok semerak kuning yang bunganya bertaburan dijalanan seolah-olah tersenyum untukku.  Masih sama.

“Engkau dahulu memayungiku, meneduhkan dengan rimbunan daun-daunmu.  Kini kau masih sama.  Masih memberi bakti”.

“Ya, Allah apa sudah jadi denganku, seolah-olah aku nampak diriku sendiri berjalan dan bergelak ketawa. Berlari untuk bersenam pagi di depan Dewan Bakti. Berdiri tegak menyanyikan lagu “Guru Malaysia”.   Wah, bangganya aku, menjadi seorang guru. Nikmatnya tidak dapat diceritakan. Lamunan aku terhenti seketika apabila aku disapa.

“Encik, nak jumpa siapa?” seorang wanita sebaya denganku bertanya. 

Anggapanku bahawa wanita yang murah senyuman ini tentunya seorang kerani atau pembantu am.

“Saya nak jumpa pengarah” jawabku, namun masih dalam keadaan yang terpinga-pinga.

“Oh, nak jumpa pengarah. Bukan pintu ini.  Pintunya di sebelah depan sana. Tetapi pengarah tidak ada hari ini”

“Jadi…”

“Tidak apalah, encik masuk dahulu di pintu sana”.

Aku melangkah keluar. Malunya aku.  Salah pintu rupanya.  Dahulu, aku paling takut nak jumpa pengetua (pengarah).  Salah sedikit pasti ditegurnya. Semuanya penuh protokol.  Ah,  ingatan datang menerjah tentang kelantangan Puan Hajah Rah.  Seorang pengetua yang penuh dedikasi dan tegas. 

“Aku…kalau lihat kelibatnya, tentu aku pusing ke arah lain”. Itu kata temanku Syah yang seolah-olah satu fobia apabila bertemu dengannya.

“Eh, apa nak ditakutkan.  Puan Hajah Rah, tidak makan oranglah.  Aku rasa itulah caranya nak disiplinkan guru pelatih macam kita ni,”.  Kataku seolah-olah bersetuju dengan tindakan beliau.
“Ikut kau lah Dil, aku nak tengok setakat mana hebatnya kau” kata Syah sambil ketawa yang dibuat-buat.

Aku hanya diam.  Berhenti. 

“Ya, nak jumpa siapa?”  sekali lagi aku diterpa dengan soalan yang sama.

“Pengarah” jawabku ringkas sambil mengerling pintu yang tertera nama pengarah.

Ada apa tu?”

“Saya nak lapor diri” pantas dan ringkas jawapanku.

“Oh, nak lapor diri.  Pekerja baharulah ni”

Aku hanya tersenyum.  Tidak mampu lagi untuk menjawab. Resah ada di mana-mana.  Aku tunjukkan Memo penempatan semula dari  Bahagian Sumber Manusia dan pengesahan daripada IPGM. 

“Oh…jumpa TP lah, pengarah tidak ada.  Mari ikut saya”.

Aku hanya menurut dan masuk ke bilik TP dengan ukiran senyum.  Senyum yang tentunya dibuat-buat.  Tanda sebuah penghormatan.  Aku menyalami dan menyerahkan beberapa kepingan Memo kepada TP.

“Ini hanya Memo sementara, tapi tidak apa.  Saya hanya catatkan di sini.” Kata TP sambil terus menandatangani dan menulis tarikh di Memo tersebut dan membuat catatan “ ditempatkan di Jabatan Pengajian Melayu”.

Seketika kemudian TP mengajak ke pejabat pentadbiran.  Mengambil borang maklumat diri dan menyerahkan kembali kepadaku.

“Isi borang ini kemudian hantar kepada KUP dan lepas ni boleh jumpa KJ JPM”.
“Tahu tak, JPM?  Jalan terus blok sebelah sana”.

Sekali aku hanya mengangguk.  Mengiakan segala kata-kata.  Macam murid pra sekolah.  Arahan kuterima.  Aku keluar, namun aku sempat memandang seorang wanita yang mula-mula kudatang tadi. Dia hanya tersenyum.

Suasana agak sunyi.  Seolah-olah hanya aku seorang sahaja di sini.  Aku memerhati dan mencari JPM. Aku mengingati kembali blok-blok yang kulalui 20 tahun lalu.  Bloknya dan situasinya sungguh berbeza. Apa tak bezanya, 20 tahun dahulu.  Kalau dah ada anak, tentunya dah jadi anak dara atau dah jadi isteri orang. Aku menghitung masa dan mengira-ngira sambil mengingatinya.

Sambil memandang, memerhati dan membaca papan-papan tanda. Tiba-tiba aku terjelepok di dalam longkang. Fail yang kupegang dan borang maklumat diri jatuh bertaburan.  Aku cepat-cepat bangun.  Mujur tidak ada orang.  Apasal pulak aku ni. Hish…buat malu je. Longkang sebesar itu, boleh tidak nampak. Aku membetulkan kedudukan seluar yang agak terlondeh. Mengemas dan merapikan kembali diri.

Aku menaiki tangga ke tingkat atas.  Tertera dengan jelas tulisan “Jabatan Pengajian Melayu”. Aku menghampiri dan menguak sedikit pintu.






“Assalamualaikum”.  Tiada jawapan kerana jabatan ini tiada orang.  Aku keluar dan menunggu di luar.

“Eh, Dr.  Masuklah. Sekarang ni tiada orang.  Ramai pensyarah keluar pratikum” jelas KJ dengan senyuman mesra. Seolah-olah kehadiranku sudah dimaklumkan.

Aku juga turut tersenyum.  Panggilan Dr., kutelan dalam hati dan mengaminkan segala harapan dan doa itu.  Moga-moga viva voce kunanti berjalan lancar.

“Selamat datang dan selamat menjadi warga kampus JPM”. Ucapnya.  Aku hanya tersenyum, tidak mampu untuk bersuara. Setelah diberi sedikit taklimat, aku menyalami beberapa pensyarah yang baru muncul.




Hahah…nanti kusambung lagi…