Sunday, October 31, 2010

Edisi 5: Reka Bentuk Penyelidikan

TUJUAN PENYELIDIKAN

Menurut Asmah Hj. Omar(1991:74) ada tiga tujuan sesuatu penyelidikan itu dibuat, iaitu (i) untuk menyelesaikan masalah, (ii) mendapatkan huraian dan perincian terhadap sesuatu gejala dan (iii) menguji teori/hipotesis yang sedia ada. Namum begitu tujuan penyelidikan ialah:

a. Penerokaan. Penyelidikan untuk meneroka dijalankan apabila penyelidik berhasrat mengetahui atau memahami masalah, keperihalan dan pendekatan dengan lebih mendalam, terutamanya skop penyelidikan yang pernah diteroka oleh penyelidik lain yang belum berhasil menunjukkan dapatan.

b. Penjelasan dan Pengelasan. Penyelidikan berusaha untuk menjelaskan maksud, di samping memperlihatkan mengelaskan fenomena tertentu menurut bidang. Penekanan di sini ialah ketetapan terhadap kebolehpercayaan dan kesahihan. Sifat dan ciri-ciri fenomena yang diselidiki perlulah tepat dan dikelaskan dengan tuntas.

c. Penetapan Perkaitan. Penyelidikan untuk menetapkan atau menentukan perkaitan ini melibatkan dua atau lebih variabel. Perkaitan antara variabel berlaku apabila perubahan pada variabel berkenaan terjadi serentak. Contohnya, dalam bidang bahasa Melayu , lebih banyak kosa kata dan istilah baru dibentuk dan digunakan maka lebih mantap dan dinamik Bahasa Melayu.

d. Penentuan Perkaitan Sebab-Akibat. Penyelidikan untuk menentukan perkaitan sebab-akibat pula merupakan usaha untuk menjelaskan mengapa fenomena tertentu yang hendak dikaji berlaku. Seandainya penyelidik dapat memastikan fakta mengapa fenomena tertentu terjadi dengan tepat dan menyeluruh maka sudah tentu mampu membuat ramalan tentang fenomena tersebut. Sebaliknya, sekiranya penjelasan tidak tepat dan lengkap, maka ramalan yang dibuat tidak mungkin terjadi.

No comments: