Monday, March 23, 2009

MOHD ZIZIE SETAPA :

MENJEJAKI DAN MENYINGKAP KEPENYAIRANNYA

Aku ingin kembali memaut

julai pengalaman

agar dapat kupetik manisnya

sari kehidupan

aku ingin kembali ke langit

keinsafan

agar dapat kusebut Ilahi

akhir kalam

(Mohd Ziziee Setapa: Mingguan Malaysia, Ahad 14 Ogos 2005)

AWAL KATA

Mohd Ziziee Setapa merupakan nama dalam dunia kesusasteraan di negeri Kelantan. Dilahirkan pada 11 Julai 1972 di Kota Bharu Kelantan. Mohd Ziziee merupakan seorang pendidik yang mendapat ijazah sarjana muda pendidikan di Universiti Putra Malaysia pada 1997.

Mohd Ziziee meminati genre puisi dan esei. Karya puisi pertama beliau ialah ‘Di Langit Doa’ yang disiarkan dalam Majalah Perempuan, Jun 1997. Sejak itu karya-karya beliau telah mendapat tempat di pelbagai akhbar dan majalah, antaranya ialah Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Majalah Perempuan, Majalah Novel, Jendela Timur dan dalam beberapa buah antologi. Anugerah yang diterima setakat ini ialah Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil (kategori puisi) 2006, Anugerah Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (2006) dan Anugerah Khidmat Cemerlang 2002 dan 2006.

Mohd Ziziee juga merupakan salah seorang penggerak sastera yang aktif di negeri Kelantan. Beliau adalah Penolong Setiausaha Majlis Teater Negeri Kelantan (TEMA Kelantan) Ketua Fasilitator di Kem PLKN Etnobotani, Gua Musang, dan Setiausaha 2 Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA).

WAWANCARA BERSAMA MOHD ZIZIEE SETAPA

Bersama penyair Mohd Ziziee Setapa di kediamannya

Tarikh : 9 Mach 2009

Masa : 5.30 petang

Tempat : Taman Jaya setia, Jalan Pantai Cahaya Bulan

15350 Kota Bharu. Kelantan.

Bolehkah saudara berikan sedikit latar belakang pendidikan, keluarga dan apa-apa yang berkaitan dengan saudara?

Mulakan sekolah rendah di Sek. Keb. Rambutan Rendang (kini Sek.Keb.Seri Cempaka) pada tahun 1979 hingga 1984. Kemudian bersekolah menengah di SMK.Pengkalan Chepa (1985 hingga 1989) serta tingkatan enam di SMK. Ismail Petra, Kota Bharu pada tahun 1990 hingga 1991. Kemudian diterima masuk ke maktab perguruan iaitu Institut Bahasa Kuala Lumpur (kini Institut Bahasa Melayu Malaysia), Lembah Pantai pada tahun 1994 dan tamat pada 1997. Pada tahun 1997 juga berjaya melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama.

Bolehkah saudara ceritakan bila dan bagaimana minat puisi, mula muncul dalam diri saudara?

Minat menulis bermula di sekolah menengah lagi. Saya teringat kata-kata seorang guru Bahasa Melayu saya yang pernah memberitahu bahawa saya berbakat dalam bidang penulisan setelah membaca hasil karangan saya setiap kali ujian bulanan. Mungkin itulah yang dikatakan bakat. Kemudian setelah bekerja sebelum masuk ke maktab perguruan saya ada menghasilkan sajak-sajak kemudian hantar ke akhbar dan beberapa karya saya disiarkan terutama ruangan remaja. Namun di maktab perguruanlah barulah proses pengkaryaan saya agak bercambah setelah mengikuti elektif penulisan . Kemudian apabila pulang mengajar di negeri kelahiran Kelantan saya mengikuti bengkel penulisan pertama anjuran Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA) pada tahun 1996 di Kompleks Belia Panji serta bengkel anjuran Persatuan Penulis-Penulis Kelantan (PPK). Pada bengkel pertama itu puisi saya berjaya tersiar di Majalah Perempuan (Di Langit Doa). Dan selepas itu saya tidak menoleh lagi terus menghasilkan karya meskipun agak lewat dari segi usia pengkaryaannya sehingga kini dan ternyata puisi adalah dunia kedua saya selepas dunia keguruan saya.

Mengapa genre puisi menjadi pilihan?

Genre puisi memang menjadi pilihan pengkaryaan saya. Namun demikian, saya juga banyak menghasilkan rencana di akhbar serta majalah. Genre puisi bagi saya cukup berkesan dalam menyampaikan idea serta kepuasannya lebih berbanding dengan genre lain, bagi saya. Saya akan berasa cukup puas apakala karya puisi saya berjaya dihasilkan dan disiarkan diakhbar atau majalah. Lagipun dengan puisi kita dapat mencipta unsur-unsur bahasa seperti metafora, anafora, simile, dan sebagainya yang baru dan segar, dan inilah yang menjadikan puisi-puisi kita menarik untuk dibaca.

Satu lagi ialah puisi itu sebuah karya yang ringkas untuk dibaca meskipun untuk menghasilkannya kekadang mengambil masa yang agak lama. Masa yang tidak lama diambil untuk menghayatinya menjadikan puisi bagi saya agak ramai peminatnya berbanding dengan genre lain seperti cerpen atau novel. Jadi, peratus orang membaca yang lebih ini menyumbang kepada keberkesanan karya kita untuk sampai kepada pembaca. Walau bagaimanapun genre lain seperti cerpen dan novel amat juga saya minati dan kini sedang usahakan karya cerpen dan insyaalah novel juga.

Bilakah tahun mula berkarya dan puisi pertama berjaya diterbitkan?

Sering soalan ini diutarakan kepada saya setiap kali ditemuramah atau disoal ketika diminta menyampaikan ceramah dibengkel penulisan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka atau Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara negeri Kelantan serta persatuan penulis. Saya suka menetapkan karya pertama saya ialah “Di Langit Doa” yang disiarkan di Majalah Perempuan keluaran Jun 1997, meskipun ada karya saya sebelum itu tetapi banyak remajanya yang berkisar tentang cinta dan perasaan ketika remaja. Saya lebih suka tetapkan karya yang di atas itu karya pertama saya.

Adakah saudara pernah megikuti sebarang kursus atau ceramah dalam bidang penulisan puisi?Manfaat daripada sesuatu bengkel penulisan puisi?

Bengkel pertama saya sebagaimana di atas tadi, iaitu anjuran GEMA pada tahun 1996, kemudian bengkel-bengkel lain anjuran persatuan penulis lain serta jabatan –jabatan lain termasuk anjuran kerajaan negeri saya ikuti. Ini kerana bagi saya bengkel sangat penting untuk kita pertajamkan daya penulisan kita serta mengaut sebanyak mungkin ilmu penulisan dari penceramah-penceramah yang dijemput. Sehingga kini saya masih mengikuti bengkel dan saya tidak menganggap bengkel itu cuma untuk penulis yang baru sahaja meskipun saya banyak terlibat dengan penyampaian ceramah tentang penulisan kini.

Terbaru saya dipilih mengikut Bengkel Penghasilan Karya Penulis Pantai Timur anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan diadakan sebanyak 3 peringkat yang matlamat akhirnya untuk menghasilkan antologi masing-masing. Antara penulis yang terlibat ialah Sasterawan Norhisham Mustafa, Abdul Hadi Yusoff, Leo AWS, Darma Mohamad, Chu E.Liang, Ezani Hj.Daud (Kelantan), Sdr.Shariff Putera, Azhar Muhamad (Terengganu), Shahrulnizam Abd.Talib, Masli NO, Husna Nazri (Pahang). Bengkel ini cukup bermakna kerana karya-karya kita dibedah oleh rakan-rakan serta pembimbing yang cukup berwibawa iaitu Prof. Dato’Dr. Mohd Salleh Yaapar, Prof. Dr.Rahman Shaari, Dr.Rahimah Abdul Hamid, dan Tuan Haji Hamdan Yahya. Dan kini saya sedang menghimpun puisi-puisi saya untuk tujuan penerbitan.

Selain itu, saya sering dijemput menyampaikan ceramah penulisan terutama kepada penulis-penulis baru sama ada anjuran DBPWT, Jabatan Kebudayaan, Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, persatuan penulis serta badan NGO yang lain.

Di negara kita sudah muncul beberapa orang penyair yang berkeliber dan cukup prolifik. Antara penyair yang boleh dikategorikan sebagai penyair yang baik, siapakah yang saudara kagumi?

Penyair yang berkaliber ramai. Bagi saya bapa penyair moden sudah tentu Allahyarham Sasterawan Negara Dato’ Dr.Usman Awang. SN Dato’ A. Samad Said juga tersenarai sebarisan dan mempunyai impak yang cukup besar kepada dunia kepuisian tanah air. Selain itu, saya turut mengagumi Kemala, Norhisham Mustafa, Wadi Leeta SA, Rosli K.Matari, Abdul Hadi Yusoff, serta Zurinah Hassan. Bagi penyair muda saya meminati Shahrulnizam Abd.Talib, Fahd Razy, Wan Marzuki Wan Ramli, Salman Sulaiman, serta beberapa orang rakan penulis yang lain.

Apakah yang dilakukan ketika ilham datang dan bila masa yang paling sesuai untuk berkarya?

Ilham datang tidak tentu masa dan tempat. Kekadang semasa memandu kereta pun ia datang dan saya akan sentiasa mengulangi frasa-frasa tersebut serta apabila sampai nanti saya akan mencatat di mana-mana helaian kertas atau di papan putih di bilik bacaan saya. Frasa-frasa yang baik ia datang dan bermain-main di minda kita sebelum ia menjadi sebuah puisi yang akan kita cantumkan nanti. Kekadang ia mengambil masa setengah jam dan kekadang frasa-frasa tersebut menjadi puisi sehingga seminggu atau sebulan, ia tak kira jarak masa.

Biasanya saya akan mencantum atau menulis balik puisi saya ketika waktu malam, ketika suasana agak sunyi kerana waktu demikian amat sesuai untuk fikiran kita bekerja terutama untuk memilih kata-kata yang sesuai dalam puisi kita. Namun, ada juga karya-karya saya dihasilkan pada siang hari terutama ketika frasa-frasa serta baris-baris puisi sudah ranum dalam fikiran kita dan hal ini biasanya puisi yang dihasilkan cukup senang sebagaimana air yang mengalir dan setengah jam puisi telah siap.

Apakah tema yang sering saudara utarakan melalui karya-karya yang saudara hasilkan?

Kebanyakkan karya puisi saya bertemakan kemanusiaan serta ke-Islaman, sesuai dengan tahap umur yang telah meningkat. Tema kemanusiaan terlalu dekat dengan kita terutama perihal suasana sekeliling kita. Puisi ini menariknya kerana ia mencatat segala cerita tentang kehidupan kita termasuk peristiwa, masa, dan tempat. Sebenarnya puisi itu adalah gambaran tentang kehidupan serta perasaan kita terhadap peristiwa tersebut. Kemanusiaan ini terlalu dekat dengan kita dan ia merupakan subjek yang sentiasa menyentuh naluri kita dan inilah yang menyumbang kepada puisi-puisi saya selama ini.

Manakala tema ke-Islaman atau kalau lebih tinggi lagi disebut puisi-puisi sufisme. Mungkin puisi saya tidak sampai ke tahap puisi sufisme seperti Chairil Anuar, namun tahap ke-Islamannya ada. Tema keislaman ini terdapat pada beberapa buah puisi saya terutama kebelakangan ini dan sebenarnya menulis puisi ke-Islaman ini adalah suatu hal yang perlu kerana puisi dan agama itu satu pautan yang pasti. Selain untuk muhassabah diri puisi keislaman ini untuk renungan pembaca juga.

Apakah puisi yang telah saudara hasilkan yang dianggap paling memuaskan hati. Apakah kepuasan itu dalam hubungan dengan pengkaryaan saudara?

Secara keseluruhannya tiada sebenarnya puisi yang saya hasilkan cukup memuaskan hati saya. Ini kerana setelah karya kita tersiar kita baca kembali dan akan rasa, “ Eh, aku patut guna perkataan ini, frasa ini, atau patut aku tambah lagi puisi ni”. Situasi ini sentiasa berlaku dalam diri saya. Namun, lama kelamaan perasaan sedemikian semakin berkurangan sekarang apabila sampai satu tahap kita mempunyai gaya penulisan yang tekal dan tersendiri. Lagipun komen dari rakan-rakan juga pengalaman kita telah menjadikan kita semakin matang dalam penulisan.

Kalaulah nak dikatakan agak puas hatilah ialah puisi “Angin Ogos Ini” yang mengambil masa agak lama untuk saya hantar ke Mingguan Malaysia. Puisi tersebut saya tulis dalam jangka masa setahun dan sering diubah frasa serta barisnya, kata-kata sering bertukar agar ia kelihatan lebih segar, dan unsur-unsur bahasa dalamnya. Namun, masih juga ada rasa tidak puas hati dan mungkin rasa sedemikian ada pada kebanyakkan penulis. Mungkin.

Selain itu, kebanyakkan puisi saya kebelakangan ini saya ada rasa agak puas hati. Mungkin proses kematangan sudah ada sedikit dalam diri saya.

Bagaimanakah saudara memilih judul untuk puisi saudara?

Biasanya saya akan menulis dulu puisi sampai siap. Kemudian saya akan mencari kata kunci dalam puisi saya. Tajuk puisi cukup penting kerana ia dapat memancing pembaca untuk membaca puisi kita. Kalau lihat puisi-puisi saya, kebanyakkanya tajuk-tajuknya agak menjadi tanda tanya dan bagi saya tajuk cukup penting.

Tegasnya apakah yang saudara cari daripada puisi dan adakah saudara sering mendapatnya?

Semua tindakan serta gerak kerja kita sebagai seorang Islam ialah untuk berdakwah kepada diri dan masyarakat. Itulah yang saya cari melalui karya-karya saya. Selain kita bercerita serta memasukkan unsur-unsur dakwah atau kesedaran dan anjuran kebaikan, supaya kita sama-sama dapat menjalani hidup dengan sebaiknya.

Ada beberapa puisi saya yang saya hasilkan cukup memberi kesan dari segi teladannya kepada pelaku. Puisi “Salam”, contohnya mengisahkan seorang kanak-kanak (anak murid saya) yang kematian ibu dan tinggal dengan kakak-kakaknya yang sulung tingkatan 3. Ayahnya kahwin lain dan tinggal di rumah isteri barunya. Pada suatu hari anak murid saya ini telah lemas ketika mandi di sungai. Mayatnya tidak ditemui sehingga kini. Murid saya ini cukup baik dengan saya mungkin kerana kekurangan kasih sayang. Selepas puisi saya tersiar ayahnya telah mengframekan puisi saya serta gambar allahyarhamah anaknya. Yang menariknya ayahnya telah berubah dan mereka suami isteri telah tinggal bersama anak-anaknya. Saya menerima beberapa panggilan telefon dari keluarganya yang cukup terharu membaca puisi saya.

Satu lagi ialah sajak “Rahsia”. Sajak ini disiarkan di majalah Novel di kulit belakang majalah ini. Menariknya ialah latar sajak ini terdapat seorang wanita yang duduk di hadapan pintu gerbang dan bagi saya seperti seorang wanita pelacur. Sajak ini agak Sufisme sikit. Saya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang cukup tersentuh dengan sajak saya. Katanya dia akan kembali ke pangkal jalan dan tidak akan melakukan kerja yang tidak baik itu lagi.

Peristiwa-peristiwa ini yang berlaku dalam hidup saya dan menjadikan bidang ini adalah pilihan saya yang tepat dan saya mendapat sesuatu kenikmatan darinya kurniaan Yang Maha Segala.

Yang mana satu bagi saudara menulis untuk nama dan wang atau sebaliknya?

Wang bukan keutamaan, sebab saya sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai sumbernya. Mungkin kerana minat dan kita perlu ke bidang kedua dalam hidup sebagai penampang agar tidak jemu hidup. Ada orang minat memancing, memelihara ayam serama, dan pelbagai lagi sebagai hobi sampingan. Dan saya menulis. Menulis ini memberi banyak kepuasan kepada saya serta menjadikan saya lebih bermotivasi untuk kerjaya saya.

Bagaimanakah tanggapan saudara tentang dorongan? Adakah sudara merasakan tanggungjawab terhadap khalayak sebagai suatu daya pendorong?

Dorongan cukup penting terutama waktu awal kita menulis. Ini kerana tanpa dorongan sudah tentu kita tidak akan lama dalam dunia penulisan ini. Saya sentiasa mendapat dorongan daripada rakan-rakan penulis terutama dari segi komen tentang hasil karya kita sebelum dihantar ke akhbar atau majalah. Saya ada rakan penulis seangkatan dengan saya iaitu Izani Zakaria dan Wan Marzuki Wan Ramli. Selain itu, saya juga sering mendapat dorongan serta tunjuk ajar daripada Abdul Hadi Yusoff serta Wadi Leeta SA. Mereka berdua merupakan antara penyair Kelantan yang giat penulis muda dan mereka membimbing saya ketika bengkel ataupun secara peribadi.

Suatu hal yang tentu ialah kita sebagai penulis perlu bertanggungjawab terhadap hasil karya kita. Untuk itu saya sentiasa memastikan karya saya tidak menyimpang dan sebagaimana saya katakan bahawa karya kita berfungsi sebagai dakwah kepada diri dan kepada masyarakat. Itulah dorongan yang kuat rasa saya.

Bagaiamanakah dengan keluarga saudara?

Sayalah satu-satunya di kalangan ahli keluarga yang minat menulis terutama puisi. Keluarga saya tahu saya menulis dan banyak terlibat dengan persatuan sastera dan budaya. Namun dari segi galakan secara langsung tiada. Tetapi saya pasti mereka menyokong minat saya terutama apabila nama serta gambar saya sering terpampang di akhbar dan majalah dan sering adik-adik serta jiran-jiran saya memberitahu mereka.

Galakan kuat saya terima daripada isteri saya yang beliau tahu minat saya yang terlalu kepada penulisan dan beliau mengenali saya melalui karya-karya saya dan beliau banyak memberikan idea sepanjang pengkaryaan saya selama ini. Tanpa sokongan serta timbang rasa isteri saya, sudah agak sukar untuk saya berkarya serta terlibat dalam NGO.

Apabila kita menyebut tentang puisi, kita akan sentiasa teringat kepada puisi Melayu Lama. Jadi, pada pendapat saudara, adakah puisi Melayu Lama itu penting untuk dihidupkan pada hari ini dan adakah ia mempunyai pengaruh pada karya-karya puisi saudara?

Dalam dunia sastera Melayu kita mempunyai bentuk puisi tradisional (saya lebih suka menggunakan istilah puisi tradisional untuk Puisi Melayu Lama) serta puisi moden. Puisi tradisonal seperti pantun, syair, gurindam, seloka, nazam, teromba, dan sebagainya mempunyai nilai khazanah yang tinggi dalam kesusasteraan Melayu kita. Contohnya pantun merupakan hak mutlak puisi masyarakat Melayu yang sangat tinggi nilainya.

Saya terlibat sebagai fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya di kem Program Latihan Khidmat Negara semenjak mula-mula modul ini dijalankan di kem-kem seluruh negara iaitu pada tahun 2005 lagi. Kini saya dilantik sebagai Ketua Fasilitator di Kem PLKN Etnobotani, Gua Musang. Antara kandungan modul PPSB ini ialah penghayatan puisi-puisi tradisional. Puisi-puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam dan seloka diajar kepada pelatih PLKN dan hal ini memperlihatkan minat yang mendalam di kalangan pelatih pelbagai kaum. Mereka ada yang tidak pernah mendengar gurindam, seloka atau nazam, tetapi kita mereka belajar melagukannya dengan baik. Inilah sesuatu yang patut kita rasa bangga dan apa yang kita dapat sepanjang program ini diadakan ialah cukup positif bukan sahaja di kalangan pelatih iaitu generasi muda tetapi pihak kem sendiri turut berminat.

Secara kesimpulannya, puisi tradisional patut terus dihidupkan dan cukup penting kepada khazanah kesusateraan Melayu kita. Manakala dari segi pengaruhnya kepada hasil karya saya, ada sedikit terutama dari segi penggunaan kata-kata lama yang jarang digunakan kini dan saya cuba gunakan kembali. Sekali lagi, puisi tradisional cukup penting dan menjadi harta yang tidak ternilai kepada dunia kesusasteraan kita.

Sebagai seorang yang aktif dalam persatuan dan gerakan sastera dan budaya negeri Kelantan, apakah pandangan saudara tentang peranan persatuan dalam pembinaan dan pengembangan bakat penulis?

Saya merupakan Setiausaha 2 Gabungan Penulis Muda Kelantan, Penolong Setiausaha Majlis Teater Negeri Kelantan (mempunyai 12 persatuan gabungan), serta ahli Persatuan Penulis-penulis Kelantan. Sebagai SU2 GEMA saya banyak terlibat dengan aktiviti persatuan dan merupakan persatuan penulis yang paling aktif di Kelantan (dalam setahun tidak kurang 13 aktiviti diadakan), banyak aktiviti bengkel penulisan diadakan. Beberapa tahun kebelakangan ini kita telah berjaya melahirkan beberapa orang penulis muda yang berbakat yang banyak karya terpampang di dada akhbar serta majalah utama di negara kita. Antara mereka ialah Nur Fadhilah Mohd Salleh, Nor Adnie Bahiah Zaaba, Sharifah Zulikha Syed Zulkarnain, Norshahida Ismail, dan beberapa orang penulis muda lain. Pada tahun ini dua orang penulis muda kita iaitu Nor Adnie Bahiah Zaaba dan Syarifah Zulikha Syed Zulkarnain berjaya terpilih menyertai Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Ini menjadi kebanggan kita kerana agak sukar untuk terpilih menyertai bengkel penulisan tersebut dan salah seorang daripadanya iaitu Syarifah Zulikha baru berusia 15 tahun dan mempunyai masa depan yang cerah dalam dunia penulisan. Hasil penulisan mereka telah berjaya menembusi akhbar serta majalah utama negara seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, majalah Wanita, Gemadotcom, Dewan Sastera, dan sebagainya.

Bagi saya yang lahir melalui bengkel anjuran persatuan penulis berpendapat bahawa peranan persatuan penulis penting dan bagi penulis yang baru, perlulah menyertai persatuan kerana ia membantu membimbing penulis baru dari segi teknik penulisan, cara menghantar karya, karya yang bagaimana sesuai dengan sesebuah akhbar atau majalah, dan sebagainya.

Berapakah jumlah karya yang dihasilkan setakat ini dan jumlah yang diterbitkan serta di mana?

Sekarang ini saya tengah mengumpul serta menyaring sajak-sajak saya untuk dihantar kepada pihak DBPWT untuk penerbitan. Kesemuanya hampir 150 buah puisi dan ada yang telah disiarkan dan ada yang belum serta tidak sesuai dihantar ke pihak akhbar atau majalah. Antaranya telah tersiar di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Berita Harian, Majalah Perempuan, Novel, Wanita, Jendela Timur, Gemadotcom, dan beberapa majalah yang lain. Selain itu, puisi saya terkandung dalam antologi bersama, “Bunga-Bunga Putih” (GEMA-1997),”Nyanyian Kembara” (DBP-1998), “Bulan Barakhah” (DBP-1997), “Warna Perang” (Utusan Publications - 2007)“Keris Bahasa” (DBP-2005) sebagai penyelenggara.

Anugerah yang saudara terima setakat ini?

Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil (kategori puisi) 2006, Anugerah Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (2006) dan Anugerah Khidmat Cemerlang 2002 dan 2006.

Apakah rancangan saudara seterusnya pada masa akan datang, serta harapan saudara?

Sudah tentu mengharapkan keluarnya antologi persendirian, yang sangat saya mengharapkan selewat-lewatnya tahun hadapan. Antologi persendirian ini penting sebagai tanda atau nesan bahawa kita ini pernah hadir dalam dunia kesusasteraan kita ini. Selain itu, ia sebagai titik tolak penghasilan karya kita selepas ini ke mana arah penulisan kita atau gaya penulisan mana yang akan kita layari selepas ini.

Selain itu, apa yang diharapkan ialah dunia kesusasteraan yang lebih memihak kepada penulis-penulis atau sasterawan kita terutama dari segi penghargan serta pandangan dan idea terutama dalam mencorakkan kesusasteraan Melayu kita. Hal ini perlu terutama oleh pihak kerajaan dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu kita yang semakin dipinggirkan sebagaimana bahasa Melayu kita yang saya rasa juga semakin hilang kepentingannya. Sesuatu yang kita bimbang ialah jika pandangan hanya diterima dari orang yang bukan ahlinya kerana kesilapan kita melantik bukan dari ahlinya. Dan inilah yang kita bimbangkan sangat. Maka akan hancurlah sastera, bahasa, dan budaya kita nanti.

Terima kasih kerana kerjasama erat melapangkan waktu mengemukakan idea dan pengalaman tentang segala-galanya. Insyaallah ia akan memberi manfaat untuk memajukan lagi bakat saudara pada masa akan datang dan memeriah lagi dunia sastera tanah air.

Sama-sama dan terima kasih juga kerana sudi mendengar kisah yang tidak seberapa ini.

AKHIR KATA

Demikianlah Mohd Ziziee Setapa. Dunia pendidik seolah-olah menjadi jiwanya dan penulisan merupakan hatinya. Kedua-duanya mengarah kepada usaha mendidik diri dan masyarakat sekitar. Seperti puisinya, Betapalah Seorang Guru Itu Adalah Pejulang Maruah Bangsa:

...

Betapalah seorang guru itu

adalah pembancuh warna kemanusiaan

adalah pembentur rebun kesetiaan

kuntum-kuntum ilmu mekar berkembang

harumnya telah memerbak warna buana

jangan biarkan anak didik kita

hanyut oleh gelombang kebendaan

rebah atas nama kedaifan

akan hilanglah arah, hilanglah sejarah

... (Mingguan Malaysia, Ahad 20 Mei 2001)

No comments: