Sunday, November 4, 2018

KOSMOLOGI ZURINAH HASSAN




MENGHASILKAN sesebuah buku memerlukan kesabaran dan kecekalan apatah lagi menghasilkan buku ilmiah yang memerlukan penelitian dengan sumber-sumber yang betul dan tepat. Beberapa kali membuat pembetulan itu adalah lumrah untuk melahirkan sesuatu yang berkualiti dan bermutu.

AH ... inilah hasilnya apabila sesebuah buku tersebut dapat diterbitkan. Rasa berbunga-bunga mengharum seluruh alam.  Buku ini sebenarnya merupakan tesis PhD yang telah pun disempurnakan pada tahun 2012.  HAH ... agak lamakan. Ya, sememang lama tetapi ia perlu pengubahsuaian dari tesis menjadi sebuah buku yang ditatap oleh semua orang. Dengan kata lain semua orang boleh menatapinya.

MANISnya apabila DBP sudi menerbitkannya. Buku ini sangat bermakna buat pelajar-pelajar ijazah sarjana muda, pelajar sarjana dan istimewanya untuk pelajar-pelajar Phd yang mengambil Kesusasteraan Melayu/Pengajian Melayu sebagai subjek utama.

SUDI-SUDIkanlah menjamah manisnya buah KEHIDUPAN ini.

DISINI diperturunkan sinopsis buku ini:

Buku ini melibatkan kajian tentang puisi-puisi Zurinah Hassan (1974-2005) dengan memberi tumpuan kepada unsur-unsur kosmologi yang terdapat di dalamnya.  Tumpuan diberikan kepada kosmologi biotik dan kosmologi abiotik. Kosmologi biotik (benda hidup) dilihat melalui alam semesta yang hidup di atas muka bumi ini yang memerlukan satu sama lain untuk hidup, yang dapat dipecahkan kepada alam flora dan alam fauna.  Manakala kosmologi abiotik iaitu benda bukan hidup yang dibahagikan kepada dua, iaitu alam semula jadi dan alam buatan manusia. Teori Pengkaedahan Melayu telah diaplikasikan untuk menganalisis unsur-unsur ini.  Hasil penemuan dalam kajian ini menunjukkan puisi-puisi Zurinah Hassan menepati dengan dua pengkaedahan yang digunakan iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan.  Melalui Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan puisi-puisi Zurinah Hassan menjadikan kosmologi sebahagian daripada diri dan kehidupannya yang bersandarkan kepada keimanan dan akidah Islam.   Ini dapat dilihat melalui unsur kosmologi yang menemukan falsafah serta pemikiran alam yang dapat dijadikan sebagai perlambangan, pengiktibaran, perbandingan, proses pembelajaran, sosiobudaya Melayu, pengerat kasih sayang, suara perjuangan untuk mendapatkan hak, maruah,  kekuasaan Allah SWT, meningkatkan diri dalam mengingati Allah SWT, medan perjuangan dan sebagai motivasi untuk membina kejayaan. Kajian ini berfokus kepada kumpulan-kumpulan perseorangan dan antologi puisi  Zurinah Hassan iaitu Kumpulan Puisi Sesayup Jalan (1974), Kumpulan Puisi Di Sini Tiada Perhentian (1977),  Kumpulan Puisi Keberangkatan (1985), Kumpulan Puisi Pujangga Tidak Bernama (1994), Antologi Nota waktu (bersama Lim Swee Tin) (2003), Kumpulan Puisi Pesanan dari Gunung Ledang (2004) dan yang terakhir Kumpulan Puisi Salasilah (2005).



Buku ini boleh didapati di:
https://bukudbp.com/products/kosmologi-zurinah-hassan

No comments:

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...