Monday, August 6, 2012

VIVA KAU HADIR JUA

Pusat Pengajian Siswazah, UPM

Detik itu akhirnya tiba jua.  Berbekalkan semangat yang hampir hilang dan sisa-sisa perjuangan yang masih ada, kugagahi jua langkah ini. Langkah yang bakal menentukan sebuah perjuangan itu masih utuh atau sebaliknya.  Ya, sebuah perjuangan. Perjuangan inilah antaranya untuk mengangkat martabat diri, agar ia terus bermaruah.  Maruah dan pembuktian bahawa peluang-peluang yang diberi ini tidak pernah sesaat pun dipersiakan.  Malahan dipergunakan dengan sebaik mungkin.  Moga-moga generasi selepasku(anak-anakku) nanti menghargai detik-detik ini.  Bagaimana lelah, resah, pedih dan ngilu melalui proses untuk mendapatkan sekeping kertas yang tertera ”Ijazah Kedoktoran”. Ya.  Cuma sekeping kertas tetapi nilainya hampir mengubah seluruh persepsi diri.  Bukan kebanggaan tetapi nikmat daripada sebuah kesyukuran.  Terima Kasih Ya, Allah.

Sehari sebelum viva, 17.7.2012, janji temu dengan Prof Madya Dr Hajah Samsina Ab Rahman  telah dibuat. Seorang penyelia yang sentiasa memberi nafas pada setiap pertemuan.  Banyak membantu dan membantu. Memberi tunjuk ajar dan motivasi dan setiap kali pertemuan pasti ditanya khabar keluarga. Sihatkah? Macama mana hari tu? dan tidak lupa bercerita suasana kampus UPM yang penuh pelbagai bentuk dan peristiwa. Tidak lupa membicarakan dunia puisi dan kesusasteraan. Jadi setiap kali hadir di kampus ini, ia memberikan satu input dan menyegarkan kembali semangat untuk terus menghabiskan tesis ini. Pertemuan kali ini, sebenarnya untuk melengkapkan slide power point yang akan dipersembahkan pada viva voce, keesokkan harinya.  Bermula jam 11.00 pagi dan tamat jam 1.30 petang.  Agak lama juga perbincangan dan pembetulan.  Maklumlah, sebagai penyelia beliau juga mahu persembahan itu nanti lengkap dan padat, walaupun pembentangan nanti cuma mengambil masa 15-20 minit sahaja.

Setelah selesai, ku mengambil keputusan untuk bermalam di rumah kakak di Sri Damansara. Bertanya khabar dan apatah lagi beliau baharu keluar wad akibat tumpahan darah. Masih perlu berehat. Semoga kakak tabah menghadapi dugaan hidup ini.

18.7.2012 hadir jua, dari stesen Kepong Sentral terus ke Serdang menaiki komuter. Dari situ terus mendapatkan teksi dan ke Pusat Pengajian Siswazah. Ada orang bertanya mengapa saya senang dengan kenderaan awam. Entahlah, mungkin jua sifat penakut untuk memandu seorang diri dari Kota Bharu ke Serdang itu yang mengakibatkan ku lebih senang dengan kenderaan awan ini. Atau mungkin senang nak melelapkan mata...hehehe....kaki tidur jugak lah ya...

Jam 9.00 pagi aku sudah sampai ke Pusat Pengajian Siswazah (GSO), bertanya pada cik adik kat kaunter dan hemmm....hati dah mula ada rasa dup dap dup dap...aku terus ke bilik viva 3. Hah, pemeriksa luar dah siap menunggu walaupun vivanya bermula pukul 9.30 pagi. Aku terus bersalam dan bertanya khabar? HATI...dup dap dup dap...Ya, Allah permudahkan urusanku...Aku keluar setelah selesai kuhidupkan komputer dan memastikan bahan yang akan kupersembahkan (power point) siap dipasang.



Derap langkah pertama

Seketika penyeliaku Prof Madya Dr Hajah Samsina sampai. Kami berbual sambil menunggu yang lainnya. Yang pastinya, Dr Nik Rafidah sebagai pemeriksa dalam tidak akan hadir. Beliau bercuti sabatikal di Leiden Belanda. Jadi memeriksa tesisku di Belandalah ya...hanya laporan pemeriksaan yang dihantar. Wah, tesisku dah sampai Belanda! Jam 9.30 pagi sebelum viva satu perbincangan diadakan. Aku dan penyelia tidak dibenarkan hadir.  Kami hanya menunggu di luar sahaja. Perasaan yang agak keruan....sudah tidak ada. Hilang. Muncul satu semangat baharu untuk membuktikan bahawa aku mampu melakukannya. Ya...1 hasrat 1 cita-cita 1 PhD....macam tidak percaya aje...

Bersama penyelia sebelum sesi viva

Empat puluh minit kemudian kami dipanggil. Prof Madya Dr Hajah Samsina yang mengiringiku memberiku dengan kata-kata semangat dan mengucapkan selamat berjaya. Aku memasukki Bilik Viva 3 dan  bersalaman. Prof Ahmad Mahmood Musanif memperkenalkan satu-satu ahli panel untuk pembentangan tesis ini. selaku pengerusi pemeriksaan viva kali ini memberikan tempoh 15 minit untuk pembentangan tesis. Memulakan pembentangan dan masing-masing tekun mendengar dan sesekali juga dicelah oleh ahli panel. Rasa-rasanya agak santai juga pembentangan ni. Namun setelah selesai pembentangan sesi soal jawab membuatkan aku kadang-kadang terkeliru dengan jawapanku sendiri. Yang kata A, yang kata B, yang kata C.  Terkesima dibuatnya. Alamak hancurlah aku. Akhirnya pengerusi panel bersuara.

 Tesis yang dihasilkan

Bilik Viva: Sunyi dan tenang

”Saudara Aidil, terima kasih. Kami telah pun mendengar beberapa hujahan, pendapat dan pandangan. Oleh itu, kita perlu mesyuarat seketika.”

”Minta saudara Aidil dan penyelia Prof Madya Dr, keluar seketika. Selepas ni kami akan panggil semula” sambung Prof Madya Ahmad sambil tersenyum.

Seketika, kami dipanggil. Entahlah masa yang diambil pun aku kurang pasti.

”Setelah bermesyuarat, kami dapati beberapa kekuatan dan kelemahan pada tesis ini. Oleh itu, kami sepakat menyatakan tesis ini harus diperbetulkan dengan PINDAAN yang besar dan diberi tempoh selama 2 bulan untuk tujuan pembetulan.  Dalam tempoh tujuh hari dari sekarang laporan pembentangan tesis ini akan dikeluarkan.  Sila Berhubung dengan Pusat Pengajian Siswazah.”

”Apa-apa pun kami mengucapkan TAHNIAH di atas KEJAYAAN ini”. Jelas dan terang penerangan Prof Ahmad.

Alhamdulilah. Pengorbanan selama hampir 3 tahun lebih menumpukan kepada tesis ini akhirnya, inilah pengucapan yang paling MAHAL dan berHARGA yang pernah kuperolehi. Terima Kasih, Ya Allah. Terima Kasih...Terima Kasih...Terima Kasih...Sujud syukur kepada-Mu.

Terima kasih buat penyelia Prof Madya Hj Samsina Ab Rahman, AJK Penyeliaan Prof Madya Dr Arba’ie Sujud dan Dr Kamariah Kamarudin, yang sentiasa memberikan bantuan dan dorongan motivasi untuk terus melangkah menuju kejayaan. Terima Kasih buat pemeriksa Prof Dr Mohammad Mokhtar Hassan, Prof Madya Dr Mohd Zariat Abd Rani dan Dr Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi yang setia membaca dan memberikan ulasan tentang tesis yang dihasilkan. Terima Kasih UPM dan teramat terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia yang menaja perjalananku ini. TERIMA KASIH.

Kini, masanya untuk memperbetulkan tesis digalas. ADUHAI...SATU LANGKAH LAGI....

Amin...

No comments:

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...