Saturday, April 14, 2012

DI BAWAH RIMBUNAN KBTC




Hari itu (22 Mac 2012) cuacanya begitu cerah sekali. Kicauan burung menusuk lembut dalam sanubari. Bagaikan berkata-kata untuk menyambut seorang perantau yang ditinggalkan begitu lama. Hampir terpadam segala memori yang ditautkan. Setelah selesai berpakaian, kaki terus melangkah mencapai kunci kereta dan menghidupkannya.

“Eh, nak ke mana aku ni?” tiba-tiba timbul satu pertanyaan yang aku sendiri sudah mempunyai jawapannya. Ya. Hari ini, aku akan melaporkan diri. Bertugas di tempat baru. Ah…cepatnya masa berlalu. Cuti selama 3 tahun 3 bulan telah pun tamat. Cuti belajar sepenuh masa di UPM membuatkan rutin hidup telah bertukar. Hari ini ia akan bertukar sekali lagi. Bertukar dan bertukar dalam kehidupan adalah rutin. Itu hakikatnya. Perubahan dimensi itu harus kutelan dan hari ini aku akan memulakan langkah kembali.

Mengingatkan kembali, cuti belajar yang diberikan itu telah tamat tempohnya, namun sesi pengajian di UPM masih belum tamat. Aku kadang-kadang malu untuk bertemu dengan sesiapa pun.

“Dil, dah habis belajar? Tahniah Dil”, tiba-tiba ingatan seorang rakan menerpa dengan pertanyaan demikian.

“Belum lagi la…susah nak cakap. Tunggu kereta viva…” jawabku dengan senyuman agak pahit dan jenaka yang tidak lawak.

“Oh. Macam mana boleh tak selesai. Susah sangat ke? Rugilah KPM macam ni”.

Aku hanya mampu tersenyum dengan pernyataan sedemikian.

“Ya! Allah bagaimana aku nak terangkan kepada mereka ini. Berikanku kekuatan. Berikan aku ketabahan. Berikan aku kewarasan”.

Dalam melayari lamunan tiba-tiba kereta yang kupandu telah memasuki Kampus Memori ini.

“Oh, dah sampai rupanya”.



Ya, sememang perjalanan dari rumah ke kampus ini hanya memakan masa 7 minit sahaja. Aku mengangkat tangan pada pengawal. Tanda memberi penghormatan di atas laluan yang diberikan. Aku parkir kereta. Aku merenung kembali bangunan kampus ini. Tidak banyak berubah. Aku tarik nafas. Kuhembus kuat-kuat. Memori datang bertimpa-timpa.

11 Jun 1990, tarikh keramat yang tidak pernah terpadam dalam ingatan ini. Tarikh yang dinamakan bermulanya aku sebagai guru pelatih di Kampus KBTC ini. Mak dan ayah turut menghantar diriku walaupun aku menyatakan bahawa aku boleh hadir sendiri. Mungkin sikap dinginku untuk menerima tawaran itu menyebabkan ayah dan mak beria-ia mahu menghantarnya. Ayah menyewa teksi khas untuk menghantar aku. Aku enggan bukan kerana apa, aku mahu ke universiti. Universiti yang dapat menawarkan ijazah sarjana muda. Ah…bukan sekadar sijil...Apatah lagi aku dibebelkan oleh guru sejarah semasa di sekolah.

“Aidil, awak nak ke maktab? Jadi Cikgu? Rendahnya cita-cita awak!” Tegas Cikgu Sha.

“Cita-cita awak setinggi kemucup di jalanan. Ditiup angin entah ke mana. Dipijak orang, tumbang tak bernyawa”.

“Hanya sijil…Aidil. Saya yakin awak mampu melangkah ke universiti seandainya awak meneruskan sesi tingkatan enam ini”.

Aku hanya tunduk. Mengiakan dan memamah segala kata-kata walau hati pedih tertusuk sembilu.

“Saya yakin awak akan kecewa menjadi guru. Menjadi insan yang menerangi orang lain. Saya yakin awak akan menemui saya dan menyatakan kekesalan itu”.

“Balik nanti…awak fikir dan awak kena fikir, untuk masa depan awak!”

“Jumpa saya, jika awak sudah membuat keputusan”.

“Terima kasih, Cikgu”.

Hanya itu yang mampu kuluahkan. Aku pasrah pada ketentuan itu. Tangan Cikgu Sha kucium. Mohon maaf dan halalkan ilmu yang dicurahkan. Aku tahu luahan hatinya. Aku tahu dia mahu aku lebih berjaya. Aku tahu bahawa dia juga seorang guru tentunya tahu perit getirnya menjadi seorang guru.

Sebenarnya keputusan sudah ada. Sudah kulipatkan dalam hatiku. Atas nasihat kakak, kureda dan mengharapkan keputusan untuk menjadi guru adalah yang terbaik dalam rentak tari kehidupanku. Membantu keluarga meringankan beban perbelanjaan. Alasannya cukup mudah. Menjadi guru pelatih dibekalkan elaun. Elaun…bererti aku sudah memiliki wang sendiri tanpa menyusahkan sesiapa…

Tiba-tiba, ada debar di dada. Aku masih di kereta. Masih merenung Kampus KBTC yang kini digelar Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu. Aku mencari-cari surat penempatan semula. Ah, di mana? Oh, sudah kuletakkan di dalam fail.


…bersambung…

4 comments:

Mohd Izam said...

Boleh kenal lagi blok asrama kita... tahniah dil..siri pulang ke gagang

Zul Sebli said...

Lipatan memoir yang sangat sukar dilupakan. Ada tikanya ia datang bertimpa-timpa. Sahabat bertuah kerana dalam golongan 'sirih yang pulang ke gagang'...

nuriezs a.m. said...

Tahniah Dil.....membaca catatan Dil mneyebabkan ada air jernih yang mengalir laju di dalam hati & keluar membasahi pelupok mata.

Aidil Fadzil said...

Kawan-Kawanku: Mohd Izam, Zul Sebli, dan Nurul...

Sesuatu perkara yang berlaku kadang kala ia tidak dirancang namun apabila sesuatu itu hadir dalam kehidupan kita menjadikan ia sangat bermakna dan segala palitan kenangan datang. Ini membuatkan kita sedar bahawa perjalanan hidup ini adalah ketentuan Allah dan semestinya Redhalah kita di atas ketentuan itu. ....Terima Kasih...kesudian berkongsi fantasi realiti ini...

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...