Saturday, March 26, 2011

Betalah Puteri Saadong Itu

(Sekadar Hiasan)

Betalah Puteri Saadong Itu

(Inspirasi untuk Wanita –Wanita Kelantan )


Betalah Puteri Saadong berbusana indah

berbaju bersulam halus permata manikam sipi terbelah

menghiasi diri di Gunung Chinta Wangsa dengan megah

sehingga digelar Puteri Wijaya Mala yang berhemah

kesayangan bonda Cik Siti Wan Kembang disembah

menghadiahi kijang teman sepermainan agar tidak gundah


Betalah Puteri Saadong yang mencatat sejarah

paras wajah bak purnama penuh

hingga pungguk Maharaja Siam, Raja Ligor tergoda parah

memaksa menyerang membawa padah

panglima perang Phraya Deco mencari helah

memaksa beta hingga rebah

tersungkur dan berdarah


Betalah Puteri Saadong yang menggalas sengsara

sanggup ke Siam meredakan luka

mengamankan sengketa

Tanah Serendah Sekebun Bunga mengharapkan beta

menjadi pendinding di setiap rasa

menjadi gelegar langit kuasa


Betalah Puteri Saadong yang menumpahkan setia

Raja Abdullah tetap disukmajiwa

terbukti Ligor tidak boleh mendekati dan merasa

tulah terkena merata-rata

pedih sekali azab sengsara

penawar pembasuh kaki beta cuma


Betalah Puteri Saadong yang tercalar hati sanubari

Raja Abdullah memungkiri janji

mengkhianati dan mengahwini lagi

apatah meragui kesucian isteri

cucuk sanggul alamat pemberi

mencatat keramat tertusuk suami

bukan dendam dan irihati

mempertahankan hak dan maruah diri

agar tidak dicalari

sesenang hati



1 comment:

Anonymous said...

Indah :) buat sendiri?