Monday, November 22, 2010

Edisi 6: Reka Bentuk Penyelidikan

PROSEDUR PENYELIDIKAN

a. Penyataan Masalah

Setiap kajian dimulakan dengan mengenalpasti masalah. Permasalahan merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada perkara kajian yang akan lakukan. Kehidupan sosial memang dipenuhi oleh berbagai-bagai perkara yang boleh dijadikan topik kajian. Dalam bidang pendidikan umpamanya, guru-guru berhadapan dengan bermacam-macam permasalahan yang melibatkan murid-murid.

Penyelidik misalannya boleh mengemukakan kajian untuk mengetahui punca-punca masalah pembelajaran murid, meninjau pandangan murid mengenai kemudahan-kemudahan di sekolah, membandingkan pencapaian berasaskan latar belakang keluarga murid-murid, melihat persepsi hubungan murid-murid dan sebagainya.

Dalam melaksanakan kajian, seseorang penyelidik tidak dapat mengkaji dan menyelesaikan banyak masalah dalam satu penyelidikan. Oleh itu adalah kebiasaan setiap penyelidikan memfokuskan kajian kepada suatu penyataan masalah yang khusus. Sebagai satu contoh penyelidikan mengenai kesan pemodenan ialah mengenai sekularisme. Penyelidikan mungkin ingin melihat bagaimana sekularisasi telah mengubah fikiran dan gaya hidup masyarakat Malaysia. Untuk melakukan penyelidikan di seluruh negara adalah sukar. Jadi kita mengecilkan skop kajian ke sebuah sekolah.

b. Membuat Rujukan Bahan

Pengetahuan asas berkenaan perkara yang dikaji perlu sebelum melaksanakan kajian. Penyataan masalah tidak sempurna, tidak lengkap dan kabur tanpa membuat rujukan. Rujukan bahan atau sorotan literatur merupakan aktiviti-aktiviti mencari maklumat berkaitan perkara yang dikaji berdasarkan bahan-bahan sedia ada. Rujukan bahan boleh didapati daripada tulisan-tulisan, gambar-gambar, filem-filem, dan lain-lain bahan yang berkenaan. Sekiranya kajian mengenai sekularisme, penyelidik mesti benar-benar faham sekularisasi. Untuk itu peyelidik perlu ke perpustakaan mencari bahan-bahan mengenainya. Kemudian akan mencari hasil-hasil kajian atau tulisan-tulisan yang sedia ada mengenai kesan sekularisasi terhadap masyarakat. Berdasarkan rujukan, pemahaman dalam menyatakan permasalahan kajian akan menjadi lengkap dan dapat dipertahankan. Seterusnya rujukan awal akan membantu untuk merangka hipotesis.

c. Mengemukakan Hipotesis

Hipotesis merupakan andaian-andaian penyelidik terhadap hasil penyelidikannya. Andaian itulah yang akan dibuktikan oleh penyelidikan yang bakal dijalankan. Untuk menghasilkan suatu hipotesis yang baik ia perlulah mempunyai sifat-sifat seperti berfokus, jelas, logik, difahami dan dapat diuji.

d. Menentukan Kaedah

Kaedah merupakan cara atau jalan menyelesaikan permasalahan penyelidikan. Kaedah penyelidikan merupakan segala langkah yang diambil untuk mencapai segala objektif penyelidikan(Ahmad Mahdzan Ayob 1995:44). Selepas menetapkan masalah yang hendak dikaji, barulah difikirkan kaedah penyelidikan yang sesuai digunakan. Adalah salah sekiranya kita menentukan kadah sebelum ada persoalan.

Secara umum kaedah utama penyelidikan untuk mendapatkan data terbahagi kepada dua, iaitu dengan menggunakan pendekatan kuantitatif dan pendekatan kualitatif. Kita boleh memilih salah satu pendekatan ataupun menggabungkan kedua-duanya. Dihubungkan dengan teori-teori yang berbentuk makro selalu akan menggunakan pendekatan kuantitatif sementara yang berbentuk mikro kebiasaannya menggunakan pendekatan kualitatif. Terdapat perbezaan antara penyelidikan kuantitatif dan penyelidikan kualitatif.

Pendekatan kuantitatif mengutamakan ‘kuantiti’. Penyelidikan kuantitatif melibatkan angka-angka, data-data numerikal atau statistik. Statistik melibatkan pengiraan-pengiraan seperti min, median, mod, peratusan, sisihan piawai, skor-Z, skor-T, varian, dan sebagainya. Pendekatan kuantitatif dikatakan lebih berstruktur, mempunyai darjah kekaburan yang minima, makna yang jelas, bercorak linear, mempunyai penjadualan yang jelas, dan menumpukan kepada hasil.
Dari segi skop kajian ia boleh melibatkan responden yang besar.

Pendekatan kualitatif pula berasaskan ‘kualiti’. Ianya bersifat deskriptif yang lebih kepada penghuraian ‘makna’ perkara-perkara yang dikaji. Ia tidak mengutamakan data-data berbentuk numerikal. Ia kurang berstruktur, terbuka dan lebih menumpukan kepada proses. Skop kajiannya pula meliputi bilangan responden yang kecil .

Sungguhpun terdapat perbezaan-perbezaan kualitatif dan kuantitatif, kedua-duanya merupakan kaedah penyelidikan yang empirikal. Semua penyelidikan empirikal mempunyai persamaan-persamaan asas seperti mempunyai matlamat, sistematik dalam prosedur, membuat perbandingan, membuat deskripsi, menguji hipotesis, membuat penjelasan sebab dan akibat dan membuat analisa kritikal. Kita boleh memilih salah satu daripada pendekatan terutamanya berdasarkan masalah dan keluasan skop kajian yang akan kita laksanakan. Sekiranya kajian melibatkan jumlah responden yang besar misalannya melebihi empat puluh orang, pendekatan kuantitatif lebih sesuai. Sekiranya cuma memilih bilangan responden yang kecil, misalnya lima orang, maka pendekatan kualitatif dipilih.

Harus diingat bahawa isu utama yang menjadi asas kepada kaedah penyelidikan adalah permasalahan, bukan kaedah menentukan penyelidikan. Dengan kata lain setiap penyelidikan bermula dengan masalah, bukan metodologi. Setelah ada permasalahan barulah data-data dicari melalui metodologi-metodologi dan strategi pilihan sesuai.

bersambung...

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...