Monday, August 23, 2010

Edisi 3: Reka Bentuk Penyelidikan

KEPERLUAN PENYELIDIKAN

Menjalankan penyelidikan menyeluruh melibatkan perancangan yang sistematis dan teratur supaya produser penyelidikan dapat dijalankan tanpa banyak halangan. Pada kebiasaannya terdapat beberapa prosedur yang mesti diikuti dalam membuat penyelidikan. Antaranya:

i. Masalah

Sebenarnya, segala lapangan penyelidikan mempunyai masalah yang banyak jumlahnya. Masalah merupakan setiap kesulitan yang menggerakkan manusia untuk menyelesaikannya. Masalah perlu dapat dirasakan sebagai satu halangan yang perlu dilalui supaya kita dapat berjalan terus. Sehubungan dengan itu, masalah dalam penyelidikan perlu memiliki ciri-ciri yang menggerakkan kita untuk membahaskannya bagi manfaat yang diperoleh daripadanya. Oleh sebab itu, mengenali masalah perlu disertai pandangan yang kritis dan selektif. Namun, tidak semua orang dapat melihat dan menyedari masalah tersebut. Banyak orang, terutama yang belum banyak berkecimpung dalam lapangan penyelidikan, berasa sangat sukar menemukan masalah yang tepat untuk diselidiki.

Punca utama orang tidak mampu menemukan masalah itu terletak pada bidang penguasaan lapangan penyelidikan. Seorang pelajar dalam bidang pendidikan mungkin sudah menemukan pendapat yang teoritis atau spekulatif tentang falsafah pendidikan tetapi lantaran kurang penguasaannya terhadap masalah dalam pendidikan, maka dia sukar untuk mengikuti perkembangan lapangan yang dipilihnya itu, secara praktis, dalam jangka masa yang singkat. Sebaliknya, apabila seseorang telah biasa dalam lapangannya yang khusus dan mengikuti perkembangan penyelidikan yang dilakukan oleh ahli-ahli dalam lapangan masalah-masalah yang masih tertinggal untuk diselidiki.

Masalah yang terpilih untuk dikaji perlu dinyatakan dengan tepat dan jelas. Masalah yang berkesan biasanya menjelaskan dengan sendiri apa yang hendak dikaji, bagaimana hendak mengkajinya dan setakat mana ia perlu dikaji. Kaedah yang digunakan untuk menyatakan masalah yang rumit dan besar adalah dengan menghadkan bidang kajian. Masalah yang besar boleh menyebabkan objektif kurang jelas dan seterusnya menyebabkan penggunaan kaedah, analisis, dan penafsiran yang tidak sesuai. Pemecahan masalah kepada bidang-bidang dan unsur-unsur yang kecil membolehkan penyelidik menyatakan sesuatu masalah dengan lebih jelas dan tepat.

ii. Pembentukan Objektif dan Hipotesis

Objektif berasal daripada perkataan objek. Mengikut Mohd. Majid Konting(2000: 35) objektif merupakan sasaran sebenar penyelidik. Objektif wujud di luar fikiran sebagai objek yang nyata, dan bukannya wujud di dalam fikiran sebagai satu idea, manakala Kamarudin Ngah(1990:8) objektif merujuk kepada apakah yang akan dilakukan dalam kajian yang boleh membantu pembentukan matlamat. Objektif berbeza dengan matlamat kerana matlamat merupakan jangkaan umum hasil daripada sesuatu aktiviti atau proses. Oleh itu, objektif sesuatu penyelidikan merupakan sasaran sebenar yang boleh dicerap.

Objektif penyelidikan merupakan tujuan khusus yang perlu dicapai bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Objektif yang jelas bukan sahaja menunjukkan apa yang hendak dicapai tetapi juga memandu penyelidik bagaimana dan bila hendak mencapainya. Tanpa objektif jelas, penyelidik mungkin akan kehilangan arah semasa menjalankan penyelidikannya. Bagi membentuk objektif yang jelas penyelidik hendaklah menggunakan perkataan yang tepat dan boleh dicerap. Antara perkataan untuk menyatakan objektif perlakuan; mengenal pasti, mengelas, mengukur, merekod, mengumpul, menyusun, memerhatikan, menjelaskan, membina, menyediakan, memeriksa dan mencari.

Dalam bidang penyelidikan, hipotesis sebagai perumusan jawapan yang sementara tentang permasalahan tertentu dan diusahakan untuk mencari jawapan yang sebenar. Hipotesis membolehkan penyelidik mengaitkan teori dengan cerapan. Hipotesis memberi jangkaan penyelidik mengenai hubungan antara pembolehubah-pembolehubah. Bukti-bukti daripada itu, penyelidikan akan menentukan sama ada sesuatu hipotesis itu perlu diterima atau diketepikan.

Seboleh-bolehnya hipotesis yang dipilih merupakan jawapan yang sebenar terhadap permasalahan penyelidikan. Dalam hal ini hipotesis sangat berguna untuk:

a. Hipotesis memberi jangkaan atau ramalan sementara tentang fenomena yang dikaji.

b. Hipoteisi memberi kenyataan hubungan yang boleh diuji secara langsung. kewujudan hubungan di antara pembolehubah-pemboleh ubah yang dikaji boleh dinyatakan dengan jelas dan dibuktikan dengan fakta.

c. Hipotesis dapat memberi panduan kepada penyelidikan kerana hipotesis mewakili satu objektif tertentu. Hipotesis menentukan apa yang harus dilakukan, jenis data yang perlu diperolehi, kesesuaian fakta-fakta yang terpilih serta menentukan kaedah penyelidikan yang harus digunakan.

d. Hipotesis memberi rangka laporan dapatan dan kesimpulan kajian. Hipotesis yang baik dapat memandu kesimpulan yang harus dibuat bagi menyelesaikan masalah. Hipotesis juga boleh memberi panduan bagaimana laporan dibuat dan disebarkan.

Sesuatu hipotesis estilah memenuhi ciri-ciri tertentu bagi membolehkannya dterima ebagai hipotesis penyelidikan. Ciri-ciri tersebut adalah:

a. Hipotesis hendaklah boleh dinyatakan dengan mudah, jelas dan tepat. Hipotesis yang mudah, jelas dan tepat bukan sahaja membolehkan penyelidikan dilakukan dengan sempurna malah memudahkan orang ramai memahami laporan sesuatu penyelidikan.

b. Hipotesis mestilah tekal dengan pengetahuan yang ada. Hipotesis seterusnya tidak bertentangan dengan teori dan hukum yang ada.

c. Hipotesis mestilah mempunyai kuasa penjelasan. Kuasa penjelasan adalah keupayaan hipotesis menerangkan fenomena yang dikaji dengan logik, tepat dan jelas.

d. Hipotesis hendaklah mempunyai jangkaan hubungan antara pembolehubah-pembolehubah.

e. Hipotesis mestilah diuji. Pengujian hipotesis membolehkan kepastian dibut sama ada bukti-bukti yang ada menyokong atau tidak menyokong hipotesis yang bersifat sementara.

iii. Data

Penyelidikan memerlukan sejumlah data. Jenis data yang perlu dikumpul bergantung pada jenis permasalahan. Dengan demikian, penyelidik perlu memahami permasalahan penyelidikan dengan sejelas-jelasnya supaya tidak menghadapi masalah besar untuk menentukan jenis dan jumlah dan jumlah data yang diperlukan.

Pengumpulan data boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Antaranya:

a. Pemerhatian

Salah satu kaedah kajian yang popular ialah membuat pemerhatian menggunakan berbagai-bagai cara catatan bergantung kepada objektif. Penyelidik akan membuat pemerhatian terhadap perlakuan dan tindak balas responden tanpa terlibat secara langsung untuk merangsangkan tindak balas tersebut. Seseorang itu mungkin membuat pemerhatian dari jauh atau berada bersama di alam kumpulan responden.

Catatan pemerhatian boleh dilaksanakan menggunakan kaedah rekod anekdot. Rekod ini memerlukan penyelidik mencatat sebarang pemerhatian dalam buku catatan. Seterusnya, penyelidik menjalankan analisis berdasarkan sesuatu kriteria, teori atau kajian-kajian lepas dan mungkin ini menjurus kepada kewujudan teori baru.

b. Temubual

Temubual merupakan kaedah bilamana responden dan penyelidik hadir sama di dalam proses memperolehi maklumat, menggunakan telefon atau sebarang alat komunikasi yang sesuai seperti email.

Kebaikan kaedah ini ia fleksibel di mana seseorang yang ditemubual boleh menerangkan perkara yang tidak difahami dengan lebih lanjut. Selain itu, penemubual boleh membuat pemerhatian terhadap orang yang ditemubual dan dengan ini boleh menentukan sesuatu perkara berdasarkan reaksi yang diberi.

Temubual sangat pratikal digunakan untuk mendapatkan maklumat yang tepat daripada populasi yang kecil, pendidikan rendah, buta huruf, populasi yang berumur dan kanak-kanak. Aspek terpentingnaya ialah muda suai. soalan boleh dikemukan oleh penyelidik mengikut situasi penyelidikan. Penyelidik boleh mengemukakan soalan dengan mudah sekiranya responden tidak bersedia untuk menjawab soalan yang memerlukan pemikiran yang tinggi. Soalan yang serius dan sukar boleh dikemukakan sekiranya responden telah bersedia untuk menjawab soalan demikian.

c. Soal selidik

Soal selidik digunakan untuk mendapatkan maklumat berkenaan fakta-fakta, kepercayaan, perasaan, kehendak, dan sebagainya. Soal selidik lebih pratikal dan berkesan digunakan untuk populasi yang besar.

Soal selidik juga dapat meningkatkan ketepatan dan kebenaran gerak balas responden terhadap rangsangan soalan yang diberi. Gerak balas atau jawapan yang diberi oleh responden tidak dipengaruhi oleh personaliti dan tingkah laku penyelidik serta cara penyelidikan kerana penyelidik tidak hadir sama semasa responden memberikan gerak balasnya. Ketidakhadiran penyelidik secara langsung mendorong responden memberikan jawapan yang lebih tepat dan benar. Responden juga terasa bahawa dirinya selamat untuk memberi jawapan yang tepat dan benar terhadap rangsangan.

d. Ujian dan Skala

Ujian merupakan satu set rangsangan yang terdiri daripada soalan atau kenyataan. Set rangsangan ini diberi kepada responden untuk mendapatkan gerak balas mereka berasaskan kepada pemarkatan. Markat yang menggambarkan sampel tingkah laku responden merupakan satu petunjuk sejauh mana responden mempunyai ciri-ciri yang diukur.

Ujian biasanya digunakan di dalam penyelidikan pendidikan. Penentuan pencapaian, kecerdasan dan bakat pelajar diperlukan untuk membolehkan penyelidik pendidikan menilai sejauh mana ciri-ciri tersebut ada pada seorang pelajar. Penyelidik pendidikan kerap kali menggunakan ciri-ciri pencapaian, kecerdasan, dan bakat pelajar sebagai petunjuk untuk hubungan dengan pembolehubah-pembolehubah tidak bersandar seperti jantina pelajar, status sosioekonomi penjaga pelajar, umur pelajar, kaedah pengajaran guru dan sikap pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran.

Keseluruhannya, penyelidik perlu berhati-hati supaya tidak hanya mengumpl data yang tertentu dengan tujuan untuk menerima atau membenarkan hipotesis kajian. Pengumpulan data hanya untuk mencari kebenaran. Oleh itu, pengumpulan data atau bahan yang relevan hendaklah dilakukan dengan menyeluruh, cermat, dan berhati-hati.

iv. Bantuan dan Peralatan

Penyelidik memerlukan pelbagai bentuk bantuan dan peralatan untuk melakukan penyelidikan. Antara keperluan penyelidikan ialah masa, tenaga terlatih serta alat bantu komputer dan elektronik yang canggih. Di atas semua bentuk kemudahan tersebut tentulah diperlukan bantuan kewangan yang mencukupi.

v. Kebebasan

Penyelidikan memerlukan kebebasan , iaitu kebebasan mental dan material. Ini bermaksud kebebasan berfikir, membuat perancangan, melaksanakan dan menjalankan penyelidikan, menarik kesimpulan serta menerbitkan hasil penyelidikan.

Apa yang dicari dalam penyelidikan ialah kebenaran iaitu bertitik tolak dan berakhir dengan kebenaran. Dengan demikian, penyelidik mesti bergerak dengan fikiran terbuka dan bebas untuk mencari kebenaran, bebas untuk menyusun hipotesis dan jangkaan dapatan untuk membuktikan ilmiahnya.


CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...