Saturday, July 10, 2010

Edisi 2: Reka Bentuk Penyelidikan

PERANAN TEORI DALAM PENYELIDIKAN

Kerlinger(Ahmad Mahdzan,1983:11) mentakrifkan teori sebagai himpunan konsep, definisi, dan saranan, yang saling berkait, yang memberi gambaran teratur tentang sesuatu fenomena dengan menyatakan hubungan antara angkubah-angkubah untuk menerangkan dan meramalkan fenomena itu.

Sabitha Marican (2005:49) menjelaskan teori ialah satu set pernyataan yang abstrak dan umum yang disokong oleh syor (atau hipotesis yang dibuktikan). Berdasarkan makna ini, beliau menegaskan bahawa teori dan hipotesis adalah dua hal yang tidak dapat dipisahkan kerana teori itu sendiri disokong melalui hipotesis. Beliau juga menjelaskan bahawa teori adalah satu set kenyataan mengenai perkaitan antara beberapa pembolehubah. Oleh yang demikian, sesuatu teori itu mestilah boleh diuji dan merupakan sesuatu yang benar atau sebaliknya sehinggalah ia dibuktikan.

Menurut Sulaiman Masri(2005:12) teori ialah dasar dan rangka suatu ilmu pengetahuan. Ia merupakan sekumpulan binaan konsep, definisi, dan dalil yang saling berkait yang menghadirkan suatu pandangan yang sistematis bagi maksud menjelaskan dan meramalkan fenomena. Pakar-pakar penyelidikan berpendapat bahawa teori yang dipandang ilmiah atau berguna untuk penyelidikan ilmiah, perlu berupaya menilai data yang sesuai atau yang bertentangan dengannya. Terdapat perbezaan antara teori yang berbentuk tak formal dan teori yang berbentuk formal. Teori tak formal, banyak diperhatikan pada teori-teori pendidikan yang menggunakan bahasa sehari-hari terutama dalam ilmu kemasyarakatan. Teori yang berbentuk formal pula membezakan postulat hipotesis, kesimpulan dan generalisasi dengan sesuatu masalah (atau pemboleh ubah/variabel) diperlihatkan dengan jelas, sehingga penyelidik mampu mengukur setiap pemboleh ubah untuk menguji kebenaran teori.

Oleh yang demikian, sesuatu teori yang baik dapat menjelaskan kepada kita tentang sesuatu fenomena. Ia memandu kita untuk mengisi jurang literatur yang dikenal pasti sama ada mendalami sesuatu fakta yang telah diketahui atau menjelaskan perkara-perkara yang masih kabur. Justeru, Sabitha Marican (2005:50) menyarankan 3 peranan utama teori: Pertama, mengorganisasikan pengetahuan dan menjelaskan hukum. Kedua, meramal hukum yang baru. Ketiga, menjadi panduan untuk penyelidikan.

Dengan yang demikian, sesuatu teori yang dapat digunakan sebagai landasan suatu penyelidikan hendaklah tidak perlu berbelit-belit. Teori yang baik hanya memiliki satu idea utama yang mudah difahami. Namun, terdapat teori yang kompleks. Sehinggakan jenis teori dan tingkat kompleksitinya juga pelbagai. Kesemua teori ini, sama ada teori berpostulat tunggal atau berpostulat banyak, dapat digunakan sebagai dasar penyelidikan. Pada teori yang berpostulat tunggal, membolehkan penyelidikan menumpu pada satu atau sejumlah kecil angkubah. Pada teori yang berpostulat banyak, membolehkan banyak lebih diutamakan. Walau bagaimanapun, teori berpostulat banyak bukanlah satu jaminan kesempurnaan teori dan bukan juga jaminan ia sesuai digunakan sebagai dasar penetapan ilmu pengetahuan, dan adakah semua angkubah sudah jelas dan dapat diselidik atau diukur? Dengan yang demikian, sebuah teori yang berguna ialah teori yang lebih sederhana dengan lebih mendasarkan diri pada tingkat kemajuan ilmu pengetahuan dan dengan mengurangi angkuhan yang kabur.

Jelas sekali, teori dapat menunjukkan bidang-bidang yang harus diselidiki sehingga hasil maksimun dapat dicapai. Selain daripada itu, penyelidikan juga dipergunakan sebagai dasar untuk membuat ringkasan mengenai sesuatu kajian, serta memberikan asas untuk memberi penjelasan yang lebih baik, dan nilai-nilai ramalan yang berguna untuk masa akan datang. Hasil-hasil penyelidikan juga dapat digunakan untuk menguji kebenaran teori yang telah ada, dapat menjelaskan konsep-konsepnya, serta dapat membantu dalam merumuskan teori yang baru atau memperluaskan teori yang lama. Ini bermaksud penyelidikan yang dilakukan sebagai asas membentuk sesuatu teori berkemungkinan melahirkan teori-teori baru, yang selanjutnya akan mendorong penyelidikan baru.

...Semoga dapat membantu...



No comments:

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...