Showing posts with label Reranting Luahan. Show all posts
Showing posts with label Reranting Luahan. Show all posts

Sunday, September 30, 2012

INI TITIK NOKTAHNYA


                                              ( Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi )

Jam itu cuma berdetik satu kali. Kupandang jam dinding itu. Baharu pukul 1.00 pagi.  Rutin biasa bagiku seorang pelajar dan sedikit waktu lagi akan kutinggalkan status itu.  Mungkin aku tidak sesibuk ini. Tidak lagi bergelar pelajar sepanjang hidup. Aku bersengkang mata, hanya untuk menyiapkan pembetulan tesisku. Ya, pembetulan tesis dengan pindaan besar memerlukan penelitian semula setiap patah perkataan, setiap rajah, setiap jadual,  setiap halaman dan setiap analisis yang ditulis.

Kurenungi, tesis setebal 507 muka surat itu.  Ada rona-rona kehidupan didalamnya. Rona-rona bagaimana seorang daif sepertiku berjuang untuk memperolehinya. Mengetepikan rasa cinta dan sebuah dendam.  Mengetepikan sebuah rindu dan kehidupan dan memilih sebuah kekejaman untuk melestarikan kehidupan. Ah.. Mengapa mahu sangat kudaki cita-cita ini. Tesis yang kurenung ini punya jaluran jawapannya. Aku mahu memperbetulkan secepat mungkin, bukan sebuah gelaran (Dr), tetapi ia sebuah maruah.  Maruah yang perlu kutebus dengan sebuah pengiktirafan. Oh...Sakitnya.

Ya...Allah, dalam derapan kesakitan langkah ini. Pastinya aku tetap menitip rasa berjuta kesyukuran, rasa keharuan dan rasa keupayaan diri hanya digerak dengan kehendak-Mu. 
Kekuatan diri yang hadir ini sebenarnya mampu mengubah satu sisi lain yang tidak pernah kuimpikan. 

Akhirnya, rasa resah, rasa bimbang, rasa sangsi dan pelbagai rasa telah menjadi sebati dalam diri.  Dalam rasa-rasa itulah kuyakini bahawa rasa itulah yang membawa titik-titik perubahan dalam diri dan kehidupan. Membentuk dan mencantum kembali menjadi rasa utuh, rasa cekal, rasa yakin dan rasa tanggungjawab. Yakin keupayaan diri untuk mencermin detik-detik lalu. Kini tiba masanya tanggungjawab itu digalas dengan penuh keikhlasan.  Ah, betapa sukarnya melalui denai-denai kehidupan ini...

Ku dengar suara-suara perangsang agar aku tidak terkulai di sini...

              Aidil...teruskan impianmu..
              Aidil...teruskan hasratmu...
              Aidil..aturkan langkah selangkahmu...
              Aidil...kau berhak untuk memperolehinya...

Dan atas perangsang dan rangsangan itu...aku mengukir senyuman, bahawa dendamku terbayar pabila menatap... sebuah kemenangan...

STUDY DETAILS
Study Status

COMPLETED 
No Of Registered Semester

8
Structure

With Thesis
Programme

Doctor Of Philosophy
Approved Field of Study

Malay Literature
Faculty

Faculty Of Modern Languages And Communication
Advisors

Samsina Bt Abd Rahman


Ya...Allah...



Sesungguhnya Engkau tahu bahawa hati ini telah berpadu, berhimpun dalam naungan sebuah cinta-Mu. Bertemu dalam ketaatan, bersatu dalam perjuangan menegakkan syariat dalam kehidupan. Kuatkanlah ikatannya, kekalkanlah cintanya, tunjukilah daku jalan-jalannya. Terangilah dengan cahaya-Mu yang tidak pernah padam. Ya, Rabb! bimbinglah diri yang naif ini. Lapangkanlah dadaku dengan kurnia iman dan indahnya tawakkal pada-Mu. Hidupkanlah dengan makrifat-Mu, matikan dalam syahid di jalan-Mu..............Terima Kasih Ya, Allah...



Friday, July 13, 2012

RINDU RESAH TERJAWAB JUA...viva



Kampus Hijau UPM



SEDANG asyik menyertai bengkel Analisis Data oleh Dr. Ting, tiba-tiba satu panggilan dari GSO mengetarkan perasaan yang selama ini kunanti. Ya, segalanya terjawab bahawa sesi yang kutunggu selama ini akhirnya terjawab.  RINDU dan RESAH dan sedikit GETAR menjawab segalanya.  Aduh...betapa tidak begitu lama saat penantian itu akhirnya tiba jua.  




Date of Thesis Submission for Examination (GS-15a) :   21-2-2012
Tentative Date of VIVA :    -
Final date of VIVA  :  18-7-2012
VIVA Venue :   BILIK VIVA 3, SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
VIVA Result :    -
Due Date for Submission of Thesis After VIVA (GS-16a) :    -
VIVA Report :    There is no report for First VIVA.
Examiners Info  :

 

 

No
Category
Date approved by The JKPS
Date Thesis sent
Date Reports Received by SGS
1
  Examiner Chairman
26-7-2011
27-2-2012

2
  Internal Examiner 1
26-7-2011
27-2-2012
27-3-2012
3
  Internal Examiner 2
26-7-2011
27-2-2012
15-6-2012
4
  External Examiner 1
26-7-2011
27-2-2012
15-5-2012


YA...sejak penghantaran tesis pada 26.7.2011, yang banyak melakukan rombakan dan perubahan, akhirnya 27.2.2012 baharulah tesis itu dihantar untuk peperiksaan...Aduh lamakan...Kalau dihitung-hitung tarikh tesis itu siap (26.7.2011) dan tarikh vivanya pada 18.7.2012, memakan masa 1 TAHUN lamanya. Ini baru vivanya.....belum lagi proses pembetulan selepas ini.

NAMUN begitu, moga pembentangan viva voce ini menunjukkan satu langkah ke depan, biarpun nasib belum ditentukan.  Harapan dan harapan itu sentiasa ada.  Moga ruh dalam diri ini tetap kebal dan utuh dalam menghadapi cabaran ini.  Hanya Allah SWT yang tahu gerak hati ini.

Moga sesi perbincangan dengan Prof Madya Dr Hj Samsina pada tarikh 17.7.2012 bisa menguatkan langkah SEMANGAT perjalananku ini.  Moga RAHMAT limpah dari Ilahi memberi memberikan KEKUATAN.

Buat pembaca dan teman-teman doakan PERJALANAN kejayaanku. TERIMA KASIH.

Thursday, January 5, 2012

Dan...Masa Pun Terus Berlalu


YA, AllAH... begitu cepat masa berputar dan bertukar. Tanpa disedari 2012 telah menjelma dan menukarkan segala kepahitan dan kemanisan menjadi satu titik permulaan yang bakal dicorakkan. Apakah harapan dan azam ini akan terus tumbuh, berputik, berbunga dan berbuah.

Rupa-rupanya masih jauh sebuah perjalanan ini. Masih lagi berbaki dan bersisa. Masih lagi punya nafas untuk terus menghirup kehidupan ini. Ya Allah, terima kasih, atas titipan ini. Lantas kusujud syukur anugerah ini.

Hari ini aku masih berjuang untuk membuktikan, bahawa diri ini jua mampu mencapai impian dan cita-cita....InsyaAllah...

....SELAMAT TAHUN BARU 2012....

Sunday, August 28, 2011

1 Syawal

Ramadan yang penuh keberkatan, sekali lagi bakal kita tinggalkan. Semoga tahun hadapan, kita sekali lagi menjadi insan yang akan dipilih untuk bertemu dengan kemuliaan Ramadan, bulan penuh keagungan. Ramadan pergi, Syawal menanti,Semoga kehadiran Syawal ini kita akan menjadi lebih sayang, lebih kasih kepada negara bangsa yang tidak ada galang gantinya ini. Dan seperti lain insan, pada kesempatan ini saya menyusun jari sepuluh, mengharapkan agar segala salah dan khilaf bertemu nokhtah kemaafan. SALAM AIDIL FITRI paling istimewa kepada semua guru yang pernah membekalkan ilmu kehidupan kepada saya, rakan-rakan yang masih mengenang SERTA rakan-rakan blog yang sudi singgah membaca entri saya. Tidak lupa keluarga saya yang menjadi tiang seri untuk saya bernafas. MAAF ZAHIR BATIN.

Wednesday, April 6, 2011

LETIH, MELETIHKAN dan KELETIHAN

L


(Zzzzzzz....Zzzzzzz...)


LETIH, MELETIHKAN dan KELETIHAN...itulah ungkapan yang hadir dalam setiap rencah kehidupanku....Ahhhh...haruskan perjuangan yang kudambakan selama ini berkubur atas alasan yang meremehkan....lucukan...aku harus akur di atas perjanjian yang ditetapkan buatku. Akur dan akur...bangun dan lihat kembali cermin diri....seraut wajah yang yang kepucatan namun masih mampu tersenyum...


LETIH...setiap hari menghadap laptop. Mengetuk dan menyiapkan. Membaca buku-buku yang berselerakan, artikel-artikel yang bertaburan dan mengunjungi perpustakaan sebagai media perantaraan. Mendapatkan bahan dan menganalisis. Ah....


MELETIHKAN...apabila sepanjang hari, mengedit dan memperbetulkan...namun masih banyak terdapat kekurangan. Bagaikan sia-sia. Mengejar dan berlari, memohon segala simpati...masih adakah?


(Beginilah agaknya...)


KELETIHAN...Lenaku sering terjaga, igauan dan ingatan, yang masih lagi tertangguh...tertangguh...dan tertangguh...tidurku, mimpiku, makanku, minumku hanya mengingatkanmu...KERANA aku perlu berjuang bermati-matian untuk menyelesaikan tesis Phdku yang akan tamat pada Disember ini....Berjayakah AKU...



Friday, September 18, 2009

Salam Aidil Fitri

Semoga detik yang tiba ini mewarnai seri Syawal. Jutaan kemaafan dilafaz agar tali yang kusut selama ini diurai dengan seribu senyuman. PERCAYAlah inilah kemenangan yang hakiki setelah dirempuh gelombang ujian. SALAM AIDIL FITRI BUAT INSAN-INSAN YANG SUDI SINGGAH DITERATAK BeLaiAn jiWa.

Sunday, July 19, 2009

Belajar Atau Mengajar


Belajar dan Mengajar, satu pengertian yang cukup berbeza.

Semasa MENGAJAR aku tidak pernah beri peluang kepada pelajarku buat hal sendiri. Mesti tumpu. Mesti selesai kerja rumah yang diberi. Mesti skor A. Mesti ulangkaji. Jangan Malas. Tanya kalau tidak faham. Tiada alasan untuk gagal. Mesti sempurna.

NAMUN...tiba pula giliranku bergelar PELAJAR.

Tugasan berlambak, kena baca itu, kena baca ini, makin baca makin tidak faham. Nak buat sesuatu, buka laptop berjam-jam, hanya beberapa perkataan yang ditulis atau tidak ada langsung perkataan. Hairan aku. Masuk pula perpustakaan, tidak sempat nak baca. Hanya sekadar memilih-milih buku-buku. Itu pun rasa-rasa semuanya tidak sesuai. Masa terbuang begitu sahaja. Tugasan tidak sempat nak disiapkan.

KINI...baru aku sedar HEBATnya jadi PELAJAR:

Yang sentiasa ditindas gurunya

Yang sentiasa mengharap untuk dikasihani

Yang sentiasa menjadi peminta sedekah

Yang sentiasa disuruh untuk buat entah apa-apa

Yang sentiasa menYESkan semuanya

Dan ....

LA NI baru aku tahu HEBATnya jadi GURU!!!

Monday, June 22, 2009

Istimewa Buat Mereka Yang Bergelar Insani

Nafas Seorang Ayah



Seorang ayah itu jantung kesedaran yang mengempan
kekuatan
denyutan nafas membekal keharmonian
bagai rangkap lagu meniup keasyikkan
meresap dalam akal
mereda uraian pertelingkahan
empang kesabaran

Seorang ayah itu limpa kehidupan yang mencaturkan
kemanusiaan
mengembali semangat kelunturan
menyelami gurindam menghargai budaya
bertahan dalam nafas keinsanan
dialiri kapilari kekuatan
mengatur diri dalam hayat plasma
injap ketulusan

Seorang ayah itu hempedu peradaban yang mencerna
kebenaran
enzim yang menghidrolisis ketakwaan
ubat penawar pemberi kesihatan
menghanyut nafsu nafsi
merembes iltizam walau sukar mengukir hakikat
lautan iktikaf

Seorang ayah itu hati keakraban yang menemukan makna
perjuangan
detoksifikasi yang menukar kejahilan
wayang mendalang citra perwatakan
meraut muhasabah menyusuri diri
menjunjung budi umarak
menyirami sirah rasulullah



Tanpamu Ayah...Tiada Nafasnya seorang anak yang bernama aku...
Selamat Hari Bapa.

Sunday, February 8, 2009

Mengejar Impian Memburu Cita-Cita: Dari Pengkalan Chepa ke Serdang

Satu detik yang tidak akan aku lupakan dalam sejarah hidupku. Permohonan untuk mendapatkan tajaan pengajian termakbul. Terima Kasih Kem. Pelajaran Malaysia. 22 Disember satu tarikh bersejarah. Aku melapor diri di UPM sebagai calon PHD. Nikmat syukur kulimpahkan. Tiada tergambar dengan kata-kata.

Namun di situ, aku terpikul sebenarnya, membawa harapan, matlamat dan visi KPM untuk menjana sebuah organisasi terbaik dunia. Segala tidurku digegar mimpi. Segala angan-anganku diusik igauan. Dari puluhan mungkin ribu yang memohon untuk mendapatkan tajaan aku terpilih. Syukur nikmat kepada Allah SWT.

Aku susuri dari Pengkalan Chepa ke Serdang. Berbekal matlamat juang yang semangatnya hampir lebur ditimbusi angan dan sedar. Aku percaya rezeki ada di mana-mana. Yang perlu kini aku harus berusaha untuk mengejar impian itu dan memburu sebuah cita-cita.

Sesekali pun aku berjanji tidak akan tewas dalam situasi ini. Cabaran ini adalah amanah dan pengorbanan buat isteri dan anak-anak. Terpikul dibahu mereka segala bebanan. Terpikul dibahuku segala retetan catatan untuk dikoleksikan.

Salam sayang

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...