Pusat Pengajian Siswazah, UPM
Detik itu akhirnya tiba jua. Berbekalkan semangat yang hampir hilang dan
sisa-sisa perjuangan yang masih ada, kugagahi jua langkah ini. Langkah yang
bakal menentukan sebuah perjuangan itu masih utuh atau sebaliknya. Ya, sebuah perjuangan. Perjuangan inilah
antaranya untuk mengangkat martabat diri, agar ia terus bermaruah. Maruah dan pembuktian bahawa peluang-peluang
yang diberi ini tidak pernah sesaat pun dipersiakan. Malahan dipergunakan dengan sebaik
mungkin. Moga-moga generasi
selepasku(anak-anakku) nanti menghargai detik-detik ini. Bagaimana lelah, resah, pedih dan ngilu
melalui proses untuk mendapatkan sekeping kertas yang tertera ”Ijazah
Kedoktoran”. Ya. Cuma sekeping kertas
tetapi nilainya hampir mengubah seluruh persepsi diri. Bukan kebanggaan tetapi nikmat daripada
sebuah kesyukuran. Terima Kasih Ya,
Allah.
Sehari sebelum viva, 17.7.2012, janji temu dengan
Prof Madya Dr Hajah Samsina Ab Rahman
telah dibuat. Seorang penyelia yang sentiasa memberi nafas pada setiap
pertemuan. Banyak membantu dan membantu.
Memberi tunjuk ajar dan motivasi dan setiap kali pertemuan pasti ditanya khabar
keluarga. Sihatkah? Macama mana hari tu? dan tidak lupa bercerita suasana
kampus UPM yang penuh pelbagai bentuk dan peristiwa. Tidak lupa membicarakan
dunia puisi dan kesusasteraan. Jadi setiap kali hadir di kampus ini, ia
memberikan satu input dan menyegarkan kembali semangat untuk terus menghabiskan
tesis ini. Pertemuan kali ini, sebenarnya untuk melengkapkan slide power point
yang akan dipersembahkan pada viva voce, keesokkan harinya. Bermula jam 11.00 pagi dan tamat jam 1.30
petang. Agak lama juga perbincangan dan
pembetulan. Maklumlah, sebagai penyelia
beliau juga mahu persembahan itu nanti lengkap dan padat, walaupun pembentangan
nanti cuma mengambil masa 15-20 minit sahaja.
Setelah selesai, ku mengambil keputusan untuk
bermalam di rumah kakak di Sri Damansara. Bertanya khabar dan apatah lagi
beliau baharu keluar wad akibat tumpahan darah. Masih perlu berehat. Semoga
kakak tabah menghadapi dugaan hidup ini.
18.7.2012 hadir jua, dari stesen Kepong Sentral
terus ke Serdang menaiki komuter. Dari situ terus mendapatkan teksi dan ke
Pusat Pengajian Siswazah. Ada orang bertanya mengapa saya senang dengan
kenderaan awam. Entahlah, mungkin jua sifat penakut untuk memandu seorang diri dari
Kota Bharu ke Serdang itu yang mengakibatkan ku lebih senang dengan kenderaan
awan ini. Atau mungkin senang nak melelapkan mata...hehehe....kaki tidur jugak
lah ya...
Jam 9.00 pagi aku sudah sampai ke Pusat Pengajian
Siswazah (GSO), bertanya pada cik adik kat kaunter dan hemmm....hati dah mula
ada rasa dup dap dup dap...aku terus ke bilik viva 3. Hah, pemeriksa luar dah
siap menunggu walaupun vivanya bermula pukul 9.30 pagi. Aku terus bersalam dan
bertanya khabar? HATI...dup dap dup dap...Ya, Allah permudahkan urusanku...Aku
keluar setelah selesai kuhidupkan komputer dan memastikan bahan yang akan
kupersembahkan (power point) siap dipasang.
Derap langkah pertama
Seketika penyeliaku Prof Madya Dr Hajah Samsina
sampai. Kami berbual sambil menunggu yang lainnya. Yang pastinya, Dr Nik
Rafidah sebagai pemeriksa dalam tidak akan hadir. Beliau bercuti sabatikal di
Leiden Belanda. Jadi memeriksa tesisku di Belandalah ya...hanya laporan
pemeriksaan yang dihantar. Wah, tesisku dah sampai Belanda! Jam 9.30 pagi
sebelum viva satu perbincangan diadakan. Aku dan penyelia tidak dibenarkan
hadir. Kami hanya menunggu di luar
sahaja. Perasaan yang agak keruan....sudah tidak ada. Hilang. Muncul satu
semangat baharu untuk membuktikan bahawa aku mampu melakukannya. Ya...1 hasrat
1 cita-cita 1 PhD....macam tidak percaya aje...
Bersama penyelia sebelum sesi viva
Empat puluh minit kemudian kami dipanggil. Prof
Madya Dr Hajah Samsina yang mengiringiku memberiku dengan kata-kata semangat
dan mengucapkan selamat berjaya. Aku memasukki Bilik Viva 3 dan bersalaman. Prof Ahmad Mahmood Musanif
memperkenalkan satu-satu ahli panel untuk pembentangan tesis ini. selaku
pengerusi pemeriksaan viva kali ini memberikan tempoh 15 minit untuk
pembentangan tesis. Memulakan pembentangan dan masing-masing tekun mendengar
dan sesekali juga dicelah oleh ahli panel. Rasa-rasanya agak santai juga
pembentangan ni. Namun setelah selesai pembentangan sesi soal jawab membuatkan
aku kadang-kadang terkeliru dengan jawapanku sendiri. Yang kata A, yang kata B,
yang kata C. Terkesima dibuatnya. Alamak
hancurlah aku. Akhirnya pengerusi panel bersuara.
Tesis yang dihasilkan
Bilik Viva: Sunyi dan tenang
”Saudara Aidil, terima kasih. Kami telah pun
mendengar beberapa hujahan, pendapat dan pandangan. Oleh itu, kita perlu
mesyuarat seketika.”
”Minta saudara Aidil dan penyelia Prof Madya Dr,
keluar seketika. Selepas ni kami akan panggil semula” sambung Prof Madya Ahmad
sambil tersenyum.
Seketika, kami dipanggil. Entahlah masa yang
diambil pun aku kurang pasti.
”Setelah bermesyuarat, kami dapati beberapa
kekuatan dan kelemahan pada tesis ini. Oleh itu, kami sepakat menyatakan tesis
ini harus diperbetulkan dengan PINDAAN yang besar dan diberi tempoh selama 2
bulan untuk tujuan pembetulan. Dalam
tempoh tujuh hari dari sekarang laporan pembentangan tesis ini akan
dikeluarkan. Sila Berhubung dengan Pusat
Pengajian Siswazah.”
”Apa-apa pun kami mengucapkan TAHNIAH di atas
KEJAYAAN ini”. Jelas dan terang penerangan Prof Ahmad.
Alhamdulilah. Pengorbanan selama hampir 3 tahun
lebih menumpukan kepada tesis ini akhirnya, inilah pengucapan yang paling MAHAL
dan berHARGA yang pernah kuperolehi. Terima Kasih, Ya Allah. Terima
Kasih...Terima Kasih...Terima Kasih...Sujud syukur kepada-Mu.
Terima kasih buat penyelia Prof Madya Hj Samsina Ab
Rahman, AJK Penyeliaan Prof Madya Dr Arba’ie Sujud dan Dr Kamariah Kamarudin,
yang sentiasa memberikan bantuan dan dorongan motivasi untuk terus melangkah
menuju kejayaan. Terima Kasih buat pemeriksa Prof Dr Mohammad Mokhtar Hassan,
Prof Madya Dr Mohd Zariat Abd Rani dan Dr Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi yang
setia membaca dan memberikan ulasan tentang tesis yang dihasilkan. Terima Kasih
UPM dan teramat terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia yang menaja
perjalananku ini. TERIMA KASIH.
Kini, masanya untuk memperbetulkan tesis digalas.
ADUHAI...SATU LANGKAH LAGI....
Amin...
No comments:
Post a Comment