(Gambar Hiasan)
Tanah ini tanahmu
pelihara bersama
maruah merentas sempadan
berselirat
belenggu kedaifan setiap inci diperoleh
sungai, gunung,
bukit, dan belantara
dibina atas
keringat dan air mata
biar berpanjangan
untuk generasi
pusaka halaman
menunjang keagungan
yang dicanang
sebuah kedaulatan
menjulang nama
mengukir wawasan
Melayu bangsamu
jangan kaugadai
ia
Rumah ini rumahmu
khazanah berharga
yang dipasak
tiang berbatang cengal kekuatan
perabungnya dari kemuning ketulusan
dinding seraya ketabahan
balai berlapikkan merbau penghormatan
tangga tualang kesetiaan yang kaubina untuk kukuhkan peradaban
mengungkap rasa
kesyukuran dari panas dan hujan
semangat merimbun
menanti siang kembali
menyanggah angin
dan taufan
tidak terucap
tidak ternilai
warisan
perkasihan
Tanah dan rumah
ini adalah rohmu
utuh dan kukuh
berumbikan akal
ikrarkan janji
bertahun berkurun
kekalkan di situ
selagi hayat
masih bersama
ini asal usulmu
Muhfad Yusoff
Sanggar Bahasa. UPM. Serdang
Sumber: Jendela Timur, Ogos 2012
No comments:
Post a Comment