Tuesday, May 26, 2009

Penyelia PHDku: Dr Samsina Abd Rahman

Anismas Ar atau nama sebenarnya Dr. Hajah Samsina Hj. Abd Rahman dilahirkan pada 19 Januari 1962 di Desa Serom 5, Sg. Mati, Muar, Johor Darul Takzim. Beliau bersekolah di sekolah Rendah (Inggeris) Abdullah, Sg, Mati, Muar, Johor iaitu di Sek. Men. Pei Hwa, Sg, Mati, Muar, Johor, di Sek. Men. Convent, Muar, Johor dan Maktab Adabi Maharani, Muar sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor pada tahun 1982. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Kelas Dua Atas) pada tahun 1986, Ijazah Sarjana Persuratan pada tahun 1990. dan Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1998 dari UKM.

Bidang kepakaran beliau adalah Kesusasteraan Melayu khususnya Puisi Melayu, Falsafah dan Pemikiran dalam Kesusasteraan Melayu dan Kesusasteraan Melayu Islam (tasawuf). Dalam tesis Ph.Dnya, beliau telah menggunakan teori Takmilah (sastera Islam) yang dikemukakan oleh Dr. Shafie Abu Bakar (UKM) dalam menganalisis unsur-unsur tasawuf dalam puisi-puisi Melayu moden di Malaysia dan Indonesia sepanjang dekad 1970 hingga 1990.

Sewaktu menuntut di UKM, beliau aktif dalam persatuan dan penulisan puisi. Misalnya, menjadi ahli grupemuisi sejak tahun 1982 hingga 1990 dan menjadi setiausaha penerbitan dan publisiti, Persatuan Antropologi dan Sosiologi, UKM malah pernah menjadi editor buletin IBKKM, UKM sewaktu diterajui oleh Prof. Ismail Hussein. Anismas Ar mula melibatkan diri dalam penulisan puisi Melayu sejak di tingkatan tiga lagi dan puisinya disiarkan dalam majalah sekolah. Sepanjang penglibatannya dalam penulisan puisi, puisi-puisinya pernah tersiar dalam Majalah Kamsis Aminudin Baki, UKM, Majalah Aspirasi (majalah tahunan PMUKM), majalah al-Islam, majalah Suria dan majalah Dewan Sastera. Kumpulan puisi yang pernah dihasilkan oleh beliau berjudul Pelayaran (1984), Anggur Kehidupan (2002), Melepasi Aksara Usia itu (2006) dan Puncak Jihad (2008). Beliau mendapat ilham untuk menulis puisi semasa beliau pergi bercuti bersama keluarga serta di mana sahaja beliau berada tidak kira masa.

Anismas Ar pernah memenangi hadiah utama Sayembara Penulisan Kreatif dan Kritikan Sastera peringkat Inter-varsiti anjuran UKM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan pustaka pada tahun 1986 di samping memenangi beberapa hadiah penghargaan dan tempat ketiga dalam sayembara penulisan puisi dan esei kritikan di peringkat UKM. Pada tahun 2001, 2003, 2005 dan 2007 beliau telah memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim ke-3, ke-4, ke-5 dan ke-6 untuk kategori Esei dan Kritikan Sastera, Puisi Eceran dan Kumpulan Puisi Perseorangan. Seterusnya pada tahun 2002, beliau dianugerahi dengan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001 dalam kategori Esei dan Kritikan Sastera. Sepanjang berkhidmat di Universiti Putra Malaysia sebagai seorang pensyarah beliau memperolehi Anugarah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2000, 2001, 2002, 2003, 2004, 2005 dan 2007 dan berjaya memperolehi Anugarah Pengajaran Putra tahun 2007.

Manakala idola beliau yang banyak membantu sehingga berjaya pada hari ini adalah arwah ayahnya iaitu Abd Rahman Hj. Bakri yang merupakan seorang ustaz. Arwah ayah beliaulah yang menjadi pendorong kepada kejayaannya pada hari ini. Beliau mula mengajar di UPM pada 15 Oktober 1990. Penglibatan beliau dalam penulisan puisi adalah bertujuan untuk menyampaikan wadah dakwat dan meluahkan apa yang terpendam melalui penulisan puisi.

Sebagai pengkaji, peminat, pencinta dan penghasil karya kesusasteraan khususnya puisi dan esei kritikan sastera, beliau sering menghadiri aktiviti-aktiviti sastera tanah air dan luar negara dan membentang kertas kerja seperti pada pertemuan Hari Sastera, Majlis Diskusi-diskusi sastera, Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu, Seminar Teori dan Kesusasteraan Bandingan, Seminar Pemikiran Hamka dan Syeikh Daud al- Patani, Nadwah Kesusasteraan Islam, Seminar Teater Rakyat, Seminar Serantau Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu dan Pertemuan Dunia Melayu. Selain itu, beliau juga menjadi AJK untuk sebarang aktiviti yang diadakan di UPM. Antaranya, AJK untuk Malam Pelita Mutiara Bahasa, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi pada tahun 2003 dan AJK pelaksana sebagai wakil dari FBMK untuk Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan dan Sayembara Penulisan Esei Interkolej sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat UPM.
sumber: dilangit Chenta

Zurinah Hassan: Penyair dan Kepenyairan yang KuKagumi

Sumbangan wanita dalam karya sastera tidak dapat dinafikan. Mereka mempunyai kekuatan, gaya serta identiti sendiri yang boleh dikesan melalui karya-karya yang dihasilkan dalam pelbagai genre.

Di antara penyair wanita Melayu, terdapat mereka yang telah mendapat pendidikan hingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah. Oleh yang demikian, aliran pemikiran yang dibawa dalam karya mereka mempunyai identiti yang tersendiri, sesuai dengan idealisme yang didukung oleh pengkaryanya. Selain introspeksi diri yang begitu mendominasi karya, persoalan kemanusiaan, alam ketuhanan, dan falsafah turut mengisi tempat.

Apabila memperkatakan tentang puisi dan penyair wanita, nama Zurinah Hassan memang tidak asing lagi sama ada dalam kalangan peminat, mahu pun dalam kalangan pengkaji-pengkaji puisi Melayu moden. Pada sekitar tahun 70-an, Zurinah Hassan beriringan dengan penyair-penyair wanita lain seperti Siti Zainon Ismail dan Zaihasra memonopoli dunia penulisan puisi.

Zurinah Hassan dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar pada 13 Jun 1949. Zurinah mendirikan rumahtangga pada tahun 1978 dengan Encik Mohamed Said bin Abdul Manap yang sekarang bertugas sebagai Pengurus Kanan Pos Malaysia Berhad dan dikurniakan lima orang anak: Siti Raihani, Ainul Huda, Muhammad Taufiq, Muhammad Faiz dan Aina Mastura.

Kehidupan di kampung dan dibesarkan dengan seorang nenek di sebuah rumah yang dikelilingi oleh pohon-pohon rimbun. Keadaan yang sunyi dan redup. Tidak mempunyai ramai kawan dan jarang keluar bermain-main seperti kanak-kanak lain. Banyak masa dihabiskan dengan duduk di rumah dan mendengar radio. Radio menjadi teman rapatnya. Beliau amat suka mendengar lagu-lagu dan cepat menghafal seni kata. Setelah pandai menulis, seni kata lagu ditulis dan dinyanyikan. Kegemaran mengutip senikata lagu telah melatih Zurinah menggemari susunan kata-kata yang indah. Sebahagian daripada seni kata lagu itu merupakan pantun-pantun lama yang mempunyai makna yang mendalam. Walapun tidak menjadi seorang penyanyi kerana larangan keluarga, namun keasyikan terhadap lagu dan seni kata telah menjadikannya seorang pemenung, perenung alam dan membentuk kegemaran lain iaitu menulis puisi. Dari sinilah minat Zurinah timbul dan menjadi akrab dengan unsur-unsur yang terdapat dalam lagu-lagu tersebut.

Pendidikan awal Zurinah Hassan secara formalnya di Sekolah Rendah Melayu Tikam Batu dan Sekolah Inggeris Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah. Beliau meneruskan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Convent Sungai Petani dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar Kedah. Seterusnya, melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974.

Semasa belajar di sekolah Melayu Tikam Batu, (Zurinah Hassan, 2003: 23-24) beliau menemui dua orang guru yang gemar bercerita. Sewaktu dalam darjah satu dan dua, Zurinah dan kawan-kawan selalu mendengar cerita dari Cikgu Mariam. Beliau rajin bercerita tentang puteri-puteri raja yang jelita. Begitu juga, dengan Cikgu Ghani yang sering memberi ulasan yang berbeza tentang kisah-kisah lama terutama episod-episod dari Sejarah Melayu. Ketika di sekolah Inggeris melalui Special Malay Class, semasa di tingkatan satu, Zurinah berkenalan dengan puisi Inggeris sebagai satu mata pelajaran wajib. Zurinah gemar menghafal puisi-puisi William Shakespeare, S.T Coleridge, H.W.Longfellow dan lain-lain serta menawarkan diri untuk membacanya di hadapan kelas dan tidak lupa oleh kerana minat yang sangat mendalam Zurinah menterjemahkan sajak-sajak Inggeris ke Bahasa Melayu. Ini melatihnya mencipta ungkapan-ungkapan puitis.

Semasa di tingkatan enam, guru Bahasa Inggerisnya membacakan puisi Khalil Gibran. Baris-baris yang dibacakan tertusuk ke hati dan sejak dari itu cintanya terhadap puisi tetap utuh sehingga melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (1970).

Mengikut Shafei Abu Bakar (1997), rangsangan yang diberikan oleh Zakry Abadi, ketika itu editor Utusan zaman telah memberi laluan dan semangat buat Zurinah untuk terus berkarya. Pada 15 Februari 1967, sajak Keputusan buat pertama kali telah diberi tempat di Utusan zaman.

Di Universiti Sains Malaysia, Zurinah menumpukan pengajiannya dalam pengkhususan kesusasteraan. Keilmuan pengetahuannya semakin meningkat, kepekaan terhadap alam sekitar juga bertambah. Zurinah bukan sekadar mendengar sahaja tentang teori ilmu, malah mempelajarinya, menghayatinya, dan memanfaatkannya.

Proses tersebut disatukan dalam dunia sebagai seorang mahasiswa dan sebagai seorang penyajak. Tidak hairanlah, Profesor Hamzah Sendut (Ahmad Kamal Abdullah,1990:468) ketika itu menjadi Canselor Universiti Sains Malaysia memberi galakkan dan kesediaan untuk menerbitkan kumpulan pertama puisi Zurinah Hassan, Sesayup Jalan pada tahun1974 terbitan Biro Penerbitan Universiti Sains Malaysia.

Pengajian Zurinah tidak terhenti setakat Ijazah Sarjana Muda sahaja. Beliau telah meneruskan pengajiannya di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 2001, kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan memperolehinya pada tahun 2008.

Dunia pekerjaan merupakan suatu perkara yang menarik untuk diperkatakan tentang Zurinah Hassan. Zurinah bermula dengan menjadi sebagai tenaga pengajar di Universiti Sains Malaysia dan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya tetapi cita-citanya untuk menjadi tenaga akademik tidak tercapai. Selain daripada itu, beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan Penerangan Malaysia (1982-1997). Perkhidmatan yang memakan masa selama 15 tahun, akhirnya beliau bersara pilihan demi meneruskan cita-cita dalam bidang penulisan dan menjadi penulis sepenuh masa.

Semasa bekerja beliau dengan susah payah cuba mengimbangi tugas-tugas rasmi dengan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada lima orang anak dan di samping itu cuba sehabis daya menulis. Keadaan ini sering memenatkan, bekerja sepanjang hari, menghadiri mesyuarat yang panjang, mengharungi sesak jalan raya dan pulang lewat petang untuk berebut pula dengan kerja-kerja rumah. Namun begitu, dorongan untuk menulis begitu kuat. Seperti mana katanya ( Zurinah Hassan, 2003: 15):

Saya mula berasa amat tertekan. Keinginan untuk menulis masih meruap-ruap. Namun masa amat terhad. Saya pulang kerja keletihan setelah seharian di pejabat dan menghadapi kesesakan lalulintas. Kerja dapur dan mengemas kain baju sedang menunggu. Kadang-kadang ada idea melintas. Saya gagahi untuk memegang pena atau membuka komputer. Baru sahaja hendak bermula, anak-anak pula datang minta pertolongan dengan kerja-kerja sekolah.


Akhirnya beliau membuat pilihan untuk bersara dan meneruskan penulisannya di samping menjaga anak-anak. Namun begitu, beliau telah dilantik menjadi Karyawan Tamu di Akademi Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1997/1998.

Apa yang nyata, pilihan untuk bersara awal adalah pilihan yang bijak dan tepat serta kena pada masanya. Beliau terus produktif dan kini merupakan salah seorang penyair wanita Malaysia yang semakin dikenali di persada antarabangsa.

Zurinah Hassan mula menulis semenjak masih kanak-kanak lagi. Beliau mula menulis puisi-puisi untuk ruangan kanak-kanak di radio. Di radio beliau menulis pantun kanak-kanak dan juga cerita-cerita pendek dalam ruangan Taman Kanak-kanak kelolaan Siti Hawa Zain. Awal tahun ’67 sajaknya mula tersiar di Warta Negara dan Utusan Zaman. Dalam Utusan Zaman inilah, Zakri Abadi mengelolakan ruangan sajak dan memberi bimbingan yang membina terhadap beliau. Bermula daripada situlah beliau menganggap menulis bukan lagi satu hobi tetapi sebagai satu tanggungjawab. Mengikut Zurinah (2003: 27) pengakuan Zakry tentang bakatnya amatlah memberangsangkan, sehingga sajaknya yang bertajuk “Perutusan” telah disiarkan di Utusan Zaman pada 14 Januari 1968 dan “Tujuh Gunung Tidak Berdaki” disiarkan di akhbar Warta Mingguan, yang diterbitkan di Pulau Pinang.

Semasa di Universiti Sains Malaysia beliau begitu obsessed dengan absurdisme, dengan menganggap hidup sebagai sesuatu yang tiada kawalan. Manusia sendirilah yang harus mengawal diri mereka. Hidup ini sebagai sesuatu yang penuh dengan teka-teki, penuh dengan peristiwa-peristiwa yang tidak dapat ditentukan oleh manusia sendiri (S.Jafaar, 1986: 19). Pada zaman awalnya (Ahmad Kamal Abdullah, 1990: 468), Zurinah Hassan mempunyai pengarang/sasterawan dalam dan luar negara yang diminatinya. Sasterawan tanah air yang diminatinya A. Samad Said kerana persoalan dan gaya bahasa beliau, Usman Awang dan Kemala kerana kemanisan bahasa mereka yang romantis, Latiff Mohidin kerana gaya bahasa abstrak dan artistik dan A. Ghafar Ibrahim kerana ketegasan pengucapannya manakala Somerset Mauhgm, penyair luar negara kerana nilai-nilai psikologi, falsafah dan seni yang terjalin dalam karya-karyanya. Penyair-penyair inilah yang menjadi dasar dalam kepenyairannya dan mencetuskan idea-idea segar untuk terus berkarya.

Kemuncak ketokohan Zurinah sebagai penyair terserlah dalam tahun 1970-an. Pada sekitar tahun ini (Mohd Thani et. al, 1988: 671) dua buah kumpulan sajaknya telah diterbitkan. Sesayup Jalan diterbitkan dengan kerjasama Biro Penerbitan Universiti sains Malaysia dalam tahun 1974. Di Sini Tiada Perhentian terbit dalam tahun 1977 oleh Penerbitan Pewarna.

Pada tahun 1971 sajaknya yang menang Bahawa Aku Pernah Hidup dan dalam tahun 1974 pula ialah Senja di Pelabuhan dan Apabila Kata-kata Menjadi Sebuah Dosa. Bagi tahun 1975, sebanyak lima buah sajak Zurinah telah terpilih iaitu Surat Hari Depan, Hidup dari Jendela Keretapi, Duhai Pentafsir, Bila Hujan Telah Reda dan Di Muka laut. Manakala dalam tahun 1976 sajak-sajaknya yang menang ialah Satu Kebetulan, Salam Perempuan dari Penjara, dan Kita Perlu Bersuara Setelah Diam yang Lama. Untuk Hadiah Karya Sastera 1982/1983, empat lagi sajak Zurinah telah terpilih iaitu Satu Cerita Cinta, Yang Pasti, Satu Percakapan Singkat dengan Teman Penyair dan Puisi Cinta yang Lain. Cerpen-cerpen Zurinah yang menang ialah Dari Hati ke Hati (1975) dan Nenek (1982/1983). Sementara itu sebuah puisinya berjudul Semalu memenangi Hadiah sastera Malaysia 1984/1985. Kepenyairannya terus terserlah (Dewan Sastera, 2000: 8) apabila kumpulan puisinya Pujangga Tidak Bernama memenangi hadiah 1994/1995. Apabila Hadiah Sastera Perdana Malaysia diwujudkan pada tahun 1996/1997 sajaknya Kuda Hitam berjaya memenangi hadiah dan 1998/1999 cerpen pula Bendang Lahuma diangkat sebagai pemenang. Perkembangan kepenyairan Zurinah Hassan sememangnya bergantung kepada bakat dan kepekaannya kepada alam di sekitarnya. Dalam empat dekad ini arena kepenyairannya, memperlihatkan kematangan, kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi serta daya kreativiti dan keintelektualan semakin terserlah.

Kewujudan Zurinah dalam membentuk kepenyairannya adalah hasil daripada kesungguhan dan kelangsungan kesenimannya menghadapi dunia keseniannya. Di belakangnya berdiri dengan gagah tradisi kesusasteraan bangsanya yang diwarisi dengan kesedaran bahawa seniman lama itu telah memberikan makna terhadap kesusasteraan. Tradisi yang kaya ini adalah tradisi yang wajar dipelajari dan dihayati. Baginya karya itu adalah segar dan baru kerana tema dan persoalan yang diungkapkan secara berkesan dalam suasana yang baru. Ketauhidan masih menjadi pengangan yang kuat. Nilai kecintaan memang menjadi sesuatu unsur yang penting, tetapi cinta yang boleh melemahkan sikap, mengaburkan pendirian dan sikap dalam memperjuangkan kebenaran sama sekali akan ditolak. Zurinah Hassan tidak statik sebagai satu peribadi. Dia bergerak dan belajar meninggalkan kampung halamannya, bergaul dengan guru, teman seperjuangan untuk terus berjuang dalam mencapai cita-citanya. Untungnya dalam memanfatkan puisi, Zurinah dapat menautkan ilmu, bakat dan kepenyairannya.

Meneliti himpunan antologinya, sama ada dalam Bahasa Melayu mahu pun dalam Bahasa Inggeris, suatu titik tanda yang dapat dikesan ialah konsistenannya. Kesahajaan dan kesederhanaan bukan sahaja terserlah pada penstrukturan bentuk visual, malah dapat dikesan dan dirasakan melalui gaya bahasa dan gaya pengungkapan. Inilah jati dirinya. Kesan sedih, rasa simpati, rasa resah, kesan marah dan rasa keindahan yang menyentuh hati nurani seseorang peneliti dan khalayak pembaca terutama garapan pemikiran yang berkaitan dengan penderitaan dan keperitan hidup insan malang lantaran kemiskinan atau akibat sesuatu musibah alam seperti banjir dan kehidupan para setinggan.

Di samping itu, kesederhanaan dalam gaya pengucapan pemikirannya dengan pembentukan frasa-frasa dan kalimat-kalimat yang segar yang mengandungi makna yang berlapis menjadikan puisi-puisi Zurinah mengandungi nilai-nilai sastera yang cukup tinggi. Penerapan nilai-nilai tersebut menjadikan puisi-puisinya memukau dan penuh dengan makna yang tersendiri.

Jati diri kemelayuannya diolah sebaik mungkin menerusi puisi-puisinya. Lukisan wajah Melayu dengan warna kulit sawo matang, Kesultanan Melayu Melaka dengan pelbagai peristiwa, perlakuan budaya yang kaya dan penuh disiplin, tokoh-tokoh dan watak-watak dalam sejarah Melayu serta keresahan jiwa wanita yang terabai sebagai kekasih dan isteri. Semuanya ini menjadikan Zurinah sebagai seorang penyair yang bersungguh-sungguh, penuh kejujuran dan kecekalan dalam menghadapi dan mengatasi cabaran-cabaran yang menghantui daya kreativiti dan jiwa kenyairannya.

Puisi-puisi mutakhirnya adalah puisi-puisi yang memerhati menilai dan sama mendertai nasib Melayu. Beliau selalu merujuk kepada sejarah, kerana perspektif yang ditawarkannya, dan pandangan masa kini menjadi lebih berfokus dan tajam. Oleh yang demikian cerita-cerita dari Sulalat at-Salatin, watak dan situasi Hikayat Hang Tuah yang dihadapi Hang Jebat, Tun Teja dan Tun Fatimah digunakan sebaiknya. Dan kelihatan bahawa Zurinah lama merenung keadaan mereka, kerana makna yang dicari bukan sahaja makna sejarah, tetap¡ makna kontemporer dan yang muncul dan perspektif dua mata ini cukup bijaksana, matang dan ternyata diperas dengan susah payah dari pengalaman yang sedih serta pedih.

Dalam bidang penulisan selain daripada puisi dan cerpen beliau juga turut menulis novel. Kumpulan cerpen beliau ialah Meneruskan Perjalanan (1998). Cerpen Zurinah pernah memenangi Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera pada tahun 1975 dan 1982/1983. Manakala puisi–puisi beliau kerap memenangi hadiah tersebut pada tahun 1971, 1974, 1975, 1976, 1982/1983, 1984/1985, 1994/1995. Melalui antologi Keberangkatan, dia mendapat Hadiah Utama dalam Sayembara puisi Putra II (1984).

Karya-karya yang lain mendapat penghargaan ialah Hadiah Pertama Peraduan Cerpen Berunsurkan Islam anjuran Jabatan Perdana Menteri dan penulis Rencana Terbaik anugerah Sri Angkasa ’84 anjuran Kementerian Penerangan Malaysia. Antologi perseorangan yang lain ialah Sesayup jalan (1974) dan Di Sini Tiada Perhentian (1977) (S.Jafaar,1986: 18).

Anugerah yang paling besar dalam hidupnya apabila dianugerahi Darjah Kebesaran Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1991, seterusnya pada tahun 2000, beliau dianugerahi Kesatria Mangku Negara (KMN) dan pada 12 Oktober 2004, Zurinah telah dianugerahkan S.E.A Write 2004 oleh YTM Ratu Sirikit, Thailand, sebagai pengiktirafan kepenyairannya. Karyanya Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003 yang berlangsung pada Disember 2004 bagi katogeri A, Buku dan Kumpulan Karya Perseorangan (Biografi), yang bernilai RM10,000. Seterusnya, karya itu juga telah dipilih memenangi Hadiah Saguhati Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia 2004.

Di antara karya-karya khususnya antologi puisi, esei, cerpen dan novel yang dihasilkan oleh Zurinah adalah seperti berikut:

Puisi

Sesayup Jalan, 1974

Kuala Lumpur (antologi bersama), 1975

Bila Kita Berbicara (antologi bersama),1976

Di Sini Tiada Perhentian, 1977

Puis-puisi Nusantara (antologi bersama),1981

Bintang Mengerdip (antologi bersama), 1984

100 Sajak Malaysia (antologi bersama),1984

Titian Laut (antologi bersama), 1984

Keberangkatan, 1985

Bunga Gerimis (antologi bersama),1986

Puisirama Merdeka (antologi bersama), 1986

Kuala Lumpur and Other Places, 1988

Pujangga Tidak Bernama, 1994

Nota Waktu (antologi bersama), 2003

Pesanan Dari Gunung Ledang, 2004

Salasilah, 2005


Esei

Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, 2003

Kajian

Sembilan Cabaran Wawasan 2020, Pen.Pewarna, Shah Alam

Sasterawan Negara Usman Awang, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986

Cerpen

Bunga Gunung (antologi bersama), 1982

Pertemuan (antologi bersama), 1982

Hawa (antologi bersama),1984

Meneruskan Perjalanan (antologi), 1989

Menjelang Pemilihan (antologi) , 2004

Novel

Hatimu Aishah, 1991

Tidak hairanlah kawan-kawan sasterawannya dan sarjana memberikan pandangan dan pendapat yang melihat Zurinah dalam kaca mata mereka baik dinilai dari segi puisi dan keperibadiannya.

Shanon Ahmad (1978:86-87) sebagai gurunya mengulas ulasannya terhadap antologi Sesayup Jalan :

Zurinah Hassan lebih berhasil bila membicarakan perihal diri dengan segala kompleksitinya, terutama aspek-aspek kewujudan wanita dengan segala kesepian frustration.

A.Samad Said (1989: 203-204) memperjelaskan tentang Zurinah:

…yang terpenting ialah ternyata Zurinah adalah seorang wanita sederhana mengharapkan atau menuntut essence of life dengan suara jelas yang terkadang-kadang berfalsafah. Suaranya sekitar keluarga, namun begitu, suara itu tidak pula boleh salah diterjemahkan hanya sebagai suara keluarga. Ada sebenarnya mendekati suara bangsa dengan keluarga sebagai landas…Zurinah melihat kemajuan dengan mata seorang wanita yang pernah susah, terlalu mencintai rumah dan keluarganya. Biasanya penyair membuat statement, tetapi Zurinah membuat sesuatu yang melebihi itu.


Tentang puisinya, Abdullah Tahir (Berita Harian,18 Februari 1975) pula dikatakan sebagai, puisi bernilai, membawa amanat, tidak membelakangi nilai sastera dan sukar bertemu dengan kata-kata yang superficial dan verbose…

Manakala Muhammad Hj. Salleh( 2004: 2):

Suaranya yang berterus terang, suara orang bercakap, berfikir secara nyaring, dan tidak dibendung oleh rasa silu bahawa ini cara yang patut atau tidak patut dikeluarkan oleh seorang wanita Melayu. Suaranya tidak sentimental dan tidak diucapkan sebagai isteri pengoda dan kekasih yang memberi berahi. Bahasanya pula ialah percakapan yang berlapik dan logik atau hujah.

Tidak lupa Dharmawijaya (1977: 58) turut memberi penjelasannya:

Dalam segala kelembutan dan kesederhanaan pengucapannya terasa kedalaman pemikiran yang menyegarkan kesedaran pembaca. Dan dengan sajak-sajak yang singkat, Zurinah telah membuktikan dirinya sebagai penyair lirik yang baik. Ketelitiannya menyusun kata-kata, menghindarkan suasana sajaknya untuk menjadi sentimental.

Ramli Isin (2004: 13):

Zurinah telah dirangsang dan diilhami oleh pelbagai fenomena dan dilema kehidupan manusia serta segala rupa bentuk flora dan fauna yang melingkarinya. Kesan daripada membaca puisi-puisi yang dicipta oleh Zurinah, walaupun tidak semuanya, saya mendapati fokus pemikirannya tidaklah terlepas daripada tiga aspek utama yang sentiasa melingkari kehidupan manusia individu mahu pun masyarakat. Iaitu pemikiran yang berhubungan sosio ekonomi, pemikiran yang berhubungan sosiopolitik dan pemikiran yang berhubungan dengan sosiobudaya.

Lim Swee Tin memberi penjelasan tentang Zurinah dalam antologi bersamanya Nota Waktu, (2004: 19):

Penggunaan alusi amat menarik dalam puisi-puisi Zurinah dalam antologi ini. Tema yang digarapkan menuntut penyair meminjam banyak alusi untuk dijadikan kiasan dan perbandingan, pengukuhan hujah, dan penambahelokkan karyanya.

Siti Zainon Ismail (2004: 25), sebagai rakan penyair wanita yang seangkatan dengannya:

Kisah dan watak wanita memang tidak dapat dipisahkan dalam puisi Zurinah. Sama ada dia “aku’ atau diberi nama dengan tokoh-tokoh klasik Melayu kerap menyatukan secara utuh di minda dan jiwa. Beberapa judul puisinya memang mudah dikesani, betapa penyair sebenarnya menyerapi keluh, resah, dan derita wanita yang digoda uji para lelaki. Penyair juga mengheret dilema wanita Melayu yang masih terikat dengan nilai konvensional, harus bersuara rendah, diam membisu dan menerima.

Zurinah Hasan (Muhamad Hj Salleh, 1986: 70) memperjelaskan hasil-hasil karya yang pernah digarapnya:

…sajak-sajak awal saya, yang ditulis dalam tahun 1967, 1968 dan 1969 mengandungi tema tentang masyarakat, terutamanya tema yang berhubung dengan petani dan nelayan. Pada masa itu saya benar-benar berminat untuk menjadi pengkritik sosial…Dalam tahun-tahun itu, jika saya melihat sawah padi saya akan terkenang akan petani yang miskin…saya juga amat berminat dalam hal ehwal dunia, peperangan dan kebulurannya.

Berdasarkan pandangan sasterawan, sarjana dan beliau sendiri, pengkaji merumuskan bahawa Zurinah merupakan seorang yang berkaliber dan komitmen dalam membuahkan hasil-hasil karya yang cukup matang berdasarkan pengamatan, pengalaman, nalurinya sebagai seorang perempuan dan cinta kasih sayangnya terhadap keluarga dijalinkan dengan kesederhaan dan kelembutan yang dimilikinya diubah dengan cukup baik menerusi puisi-puisnya. Walaupun pada asasnya ramai yang berpendapat kemenangannya empat puisi pada tahun 1982 dan 1983 dalam Hadiah Sastera Malaysia sebagai satu kebetulan dan puisi-puisi tersebut dianggap klise dan basi. Namun begitu, manusia kreatif ini cuba menjadikan satu semangat untuk selalu memperbaharui diri dan berusaha meningkatkan kecapaian kesenian dan akademik dalam bidang yang diminatinya, puisi dan dengan ruang masa yang terluang kini, Zurinah mampu menunjukkan kemampuannya dalam menghasilkan karya-karya terutama puisi yang bermutu. Seharusnya, kita akan melihat dan tertunggu-tunggu pengiktirafan Malaysia, kepada satu-satunya sasterawan negara wanita yang memiliki pakej yang lengkap dan sempurna.

Friday, April 10, 2009

Sekadar Renungan

Jika hari ini seorang Presiden sebuah Negara

Jika hari ini seorang Ulama’ yang mulia

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Peguam menang bicara

Jika hari ini seorang Profesor petah bersyarah

Jika hari ini seorang Penulis terkemuka

Jika hari ini seorang Doktor pakar segala

Jika hari ini seorang Akauntan hebat kira-kira

Jika hari ini seorang Eksekutif syarikat ternama

Jika hari ini seorang Jurutera yang berjaya

Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa

Sejarahnya dimulai oleh seorang guru biasa

Yang dengan tulus ikhlasnya mengajar tulis baca!



Ingin dikisahkan mengenai seorang guru yang telah lama bersara dan hidup mewah di Kuala Lumpur. Selepas keluar maktab pada tahun 60-an, Cikgu Notrah dihantar mengajar ke sebuah kampung di pedalaman negeri Sarawak Bumi Kenyalang.

Perasaan Cikgu Notrah sangat tertekan kerana dia dilahirkan serta dibesarkan di Kuala Lumpur. Dia tidak pernah terfikir akan dihantar ke kawasan pedalaman yang sangat dhaif di mana murid-muridnya berkaki ayam, comot dan penuh lumpur.

Kini, setelah berpuluh-puluh tahun meninggalkan sekolah buruk itu, satu hari Cikgu Notrah menerima surat yang menjemput dia hadir ke majlis perasmian sekolah baru di kampung itu. Cikgu Notrah bersetuju untuk hadirkan dirinya. Dia diletakkan di sofa paling depan bersama tetamu kenamaan lain. Perasminya ialah seorang Pegawai Daerah yang baru ditugaskan ke daerah itu.

Khabarnya Pegawai Daerah tersebut adalah anak kampung itu yang pernah bersekolah di sekolah berkenaan. Ketika dijemput membuat ucapan perasmian, beliau menceritakan pengalaman zaman kanak-kanaknya di kampung itu. Katanya, dulu dia berkaki ayam ke sekolah, berbaju kotor dan comot kerana jalan kampung yang becak semasa hujan.

"Tetapi, cikgu-cikgu saya telah membimbing saya dengan baik. Kalau tidak kerana mereka, tentunya saya tidak ke mana-mana," dia berhenti seketika menyurai sebak. Suasana menjadi sepi seketika. "Salah seorang yang paling berjasa kepada saya ada bersama-sama kita...," kata Pegawai Daerah itu meninggalkan restrom dan menuju ke arah Cikgu Notrah.

Dia menyalam sambil mencium tangan Cikgu Notrah dengan air mata yang berjuraian. Cikgu Notrah tergamam. Dia tidak kenal pun dengan Pegawai Daerah ini. "Tuan Pegawai Daerah ni siapa?" tanya Cikgu Notrah sungguh-sungguh. Entah kenapa dia tiba-tiba rasa sayu. Sudah lama tidak ada yang membahasakan dirinya cikgu.

Pegawai Daerah itu tidak menjawab. Sebaliknya, dia menghulurkan sebuah bungkusan dan meninggalkan Cikgu Notrah dengan penuh tanda tanya. Ligat dia memikirkan, irasnya tidak ada pada anak muridnya yang berbau selut suatu waktu dulu.

Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, Cikgu Notrah rakus membuka bungkusan tadi. Di dalamnya berisi sebiji pasu bunga kecil. Disisipkan sekeping nota, "Maafkan saya cikgu, saya mengambil masa yang lama menggantikan pasu bunga cikgu."

Sepantas kilat lingkaran ingatan Cikgu Notrah kembali pada hari pertama dia di sekolah itu pada tahun 60-an dulu. Seorang murid berbau hamis, kotor dan berkaki ayam terlanggar pasu bunga di atas mejanya. Pasu itu jatuh dan berkecai.

Kebencian dan kemarahan bersatu. Cikgu Notrah menyambar penyapu bulu ayam dan membelasah murid itu semahu-mahunya. Setiap kali rotan singgah di punggungnya, dia tersentak. Mula -mula murid itu menangis tetapi lama kelamaan tangisannya hilang. Dia seperti reda dengan apa yang dilakukan ke atasnya.

Cikgu Notrah tidak ingat berapa kali dia melibas rotan itu. Yang dia sedar, tenaganya semakin hilang.. Paha budak itu pula berjajar merah. "Cikgu...., ampunnnn...," kata-kata yang perlahan itu bagai tidak bermaya masih terlekat di ingatannya. Cikgu Notrah tersedar dia gagal menguruskan kemarahan dan kebenciannya.

Perlahan-lahan airmata Cikgu Notrah jatuh di atas pasu yang dipegangnya. Pandangan menjadi kabur dek air mata yag berjuraian. Dia menangis semahu-mahunya. Dia mengambil masa berpuluh tahun untuk menangis di atas perlakuannya.

Atas segalanya.. Buat semua guru-guruku di mana jua kalian berada.. Terima kasih sekali lagi kerana mengajarkanku ilmu hayat! Terima kasih kerana mengenalkanku akan indahnya kehidupan! Terima kasih guru atas segala-galanya!!

sumber: kritik kementerian pendidikan. semoga mendapat manfaat. terima kasih.

Monday, March 23, 2009

Putera Kesayangan:Muhammad Fathurraif



Semoga kehadiran kau memberi inspirasi dalam melengkapi kemanisan kehidupan.
Semoga kehadiran kau mencetuskan kejayaan buat diriku...
Posted by Picasa

MOHD ZIZIE SETAPA :

MENJEJAKI DAN MENYINGKAP KEPENYAIRANNYA

Aku ingin kembali memaut

julai pengalaman

agar dapat kupetik manisnya

sari kehidupan

aku ingin kembali ke langit

keinsafan

agar dapat kusebut Ilahi

akhir kalam

(Mohd Ziziee Setapa: Mingguan Malaysia, Ahad 14 Ogos 2005)

AWAL KATA

Mohd Ziziee Setapa merupakan nama dalam dunia kesusasteraan di negeri Kelantan. Dilahirkan pada 11 Julai 1972 di Kota Bharu Kelantan. Mohd Ziziee merupakan seorang pendidik yang mendapat ijazah sarjana muda pendidikan di Universiti Putra Malaysia pada 1997.

Mohd Ziziee meminati genre puisi dan esei. Karya puisi pertama beliau ialah ‘Di Langit Doa’ yang disiarkan dalam Majalah Perempuan, Jun 1997. Sejak itu karya-karya beliau telah mendapat tempat di pelbagai akhbar dan majalah, antaranya ialah Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Majalah Perempuan, Majalah Novel, Jendela Timur dan dalam beberapa buah antologi. Anugerah yang diterima setakat ini ialah Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil (kategori puisi) 2006, Anugerah Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (2006) dan Anugerah Khidmat Cemerlang 2002 dan 2006.

Mohd Ziziee juga merupakan salah seorang penggerak sastera yang aktif di negeri Kelantan. Beliau adalah Penolong Setiausaha Majlis Teater Negeri Kelantan (TEMA Kelantan) Ketua Fasilitator di Kem PLKN Etnobotani, Gua Musang, dan Setiausaha 2 Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA).

WAWANCARA BERSAMA MOHD ZIZIEE SETAPA

Bersama penyair Mohd Ziziee Setapa di kediamannya

Tarikh : 9 Mach 2009

Masa : 5.30 petang

Tempat : Taman Jaya setia, Jalan Pantai Cahaya Bulan

15350 Kota Bharu. Kelantan.

Bolehkah saudara berikan sedikit latar belakang pendidikan, keluarga dan apa-apa yang berkaitan dengan saudara?

Mulakan sekolah rendah di Sek. Keb. Rambutan Rendang (kini Sek.Keb.Seri Cempaka) pada tahun 1979 hingga 1984. Kemudian bersekolah menengah di SMK.Pengkalan Chepa (1985 hingga 1989) serta tingkatan enam di SMK. Ismail Petra, Kota Bharu pada tahun 1990 hingga 1991. Kemudian diterima masuk ke maktab perguruan iaitu Institut Bahasa Kuala Lumpur (kini Institut Bahasa Melayu Malaysia), Lembah Pantai pada tahun 1994 dan tamat pada 1997. Pada tahun 1997 juga berjaya melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama.

Bolehkah saudara ceritakan bila dan bagaimana minat puisi, mula muncul dalam diri saudara?

Minat menulis bermula di sekolah menengah lagi. Saya teringat kata-kata seorang guru Bahasa Melayu saya yang pernah memberitahu bahawa saya berbakat dalam bidang penulisan setelah membaca hasil karangan saya setiap kali ujian bulanan. Mungkin itulah yang dikatakan bakat. Kemudian setelah bekerja sebelum masuk ke maktab perguruan saya ada menghasilkan sajak-sajak kemudian hantar ke akhbar dan beberapa karya saya disiarkan terutama ruangan remaja. Namun di maktab perguruanlah barulah proses pengkaryaan saya agak bercambah setelah mengikuti elektif penulisan . Kemudian apabila pulang mengajar di negeri kelahiran Kelantan saya mengikuti bengkel penulisan pertama anjuran Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA) pada tahun 1996 di Kompleks Belia Panji serta bengkel anjuran Persatuan Penulis-Penulis Kelantan (PPK). Pada bengkel pertama itu puisi saya berjaya tersiar di Majalah Perempuan (Di Langit Doa). Dan selepas itu saya tidak menoleh lagi terus menghasilkan karya meskipun agak lewat dari segi usia pengkaryaannya sehingga kini dan ternyata puisi adalah dunia kedua saya selepas dunia keguruan saya.

Mengapa genre puisi menjadi pilihan?

Genre puisi memang menjadi pilihan pengkaryaan saya. Namun demikian, saya juga banyak menghasilkan rencana di akhbar serta majalah. Genre puisi bagi saya cukup berkesan dalam menyampaikan idea serta kepuasannya lebih berbanding dengan genre lain, bagi saya. Saya akan berasa cukup puas apakala karya puisi saya berjaya dihasilkan dan disiarkan diakhbar atau majalah. Lagipun dengan puisi kita dapat mencipta unsur-unsur bahasa seperti metafora, anafora, simile, dan sebagainya yang baru dan segar, dan inilah yang menjadikan puisi-puisi kita menarik untuk dibaca.

Satu lagi ialah puisi itu sebuah karya yang ringkas untuk dibaca meskipun untuk menghasilkannya kekadang mengambil masa yang agak lama. Masa yang tidak lama diambil untuk menghayatinya menjadikan puisi bagi saya agak ramai peminatnya berbanding dengan genre lain seperti cerpen atau novel. Jadi, peratus orang membaca yang lebih ini menyumbang kepada keberkesanan karya kita untuk sampai kepada pembaca. Walau bagaimanapun genre lain seperti cerpen dan novel amat juga saya minati dan kini sedang usahakan karya cerpen dan insyaalah novel juga.

Bilakah tahun mula berkarya dan puisi pertama berjaya diterbitkan?

Sering soalan ini diutarakan kepada saya setiap kali ditemuramah atau disoal ketika diminta menyampaikan ceramah dibengkel penulisan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka atau Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara negeri Kelantan serta persatuan penulis. Saya suka menetapkan karya pertama saya ialah “Di Langit Doa” yang disiarkan di Majalah Perempuan keluaran Jun 1997, meskipun ada karya saya sebelum itu tetapi banyak remajanya yang berkisar tentang cinta dan perasaan ketika remaja. Saya lebih suka tetapkan karya yang di atas itu karya pertama saya.

Adakah saudara pernah megikuti sebarang kursus atau ceramah dalam bidang penulisan puisi?Manfaat daripada sesuatu bengkel penulisan puisi?

Bengkel pertama saya sebagaimana di atas tadi, iaitu anjuran GEMA pada tahun 1996, kemudian bengkel-bengkel lain anjuran persatuan penulis lain serta jabatan –jabatan lain termasuk anjuran kerajaan negeri saya ikuti. Ini kerana bagi saya bengkel sangat penting untuk kita pertajamkan daya penulisan kita serta mengaut sebanyak mungkin ilmu penulisan dari penceramah-penceramah yang dijemput. Sehingga kini saya masih mengikuti bengkel dan saya tidak menganggap bengkel itu cuma untuk penulis yang baru sahaja meskipun saya banyak terlibat dengan penyampaian ceramah tentang penulisan kini.

Terbaru saya dipilih mengikut Bengkel Penghasilan Karya Penulis Pantai Timur anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan diadakan sebanyak 3 peringkat yang matlamat akhirnya untuk menghasilkan antologi masing-masing. Antara penulis yang terlibat ialah Sasterawan Norhisham Mustafa, Abdul Hadi Yusoff, Leo AWS, Darma Mohamad, Chu E.Liang, Ezani Hj.Daud (Kelantan), Sdr.Shariff Putera, Azhar Muhamad (Terengganu), Shahrulnizam Abd.Talib, Masli NO, Husna Nazri (Pahang). Bengkel ini cukup bermakna kerana karya-karya kita dibedah oleh rakan-rakan serta pembimbing yang cukup berwibawa iaitu Prof. Dato’Dr. Mohd Salleh Yaapar, Prof. Dr.Rahman Shaari, Dr.Rahimah Abdul Hamid, dan Tuan Haji Hamdan Yahya. Dan kini saya sedang menghimpun puisi-puisi saya untuk tujuan penerbitan.

Selain itu, saya sering dijemput menyampaikan ceramah penulisan terutama kepada penulis-penulis baru sama ada anjuran DBPWT, Jabatan Kebudayaan, Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, persatuan penulis serta badan NGO yang lain.

Di negara kita sudah muncul beberapa orang penyair yang berkeliber dan cukup prolifik. Antara penyair yang boleh dikategorikan sebagai penyair yang baik, siapakah yang saudara kagumi?

Penyair yang berkaliber ramai. Bagi saya bapa penyair moden sudah tentu Allahyarham Sasterawan Negara Dato’ Dr.Usman Awang. SN Dato’ A. Samad Said juga tersenarai sebarisan dan mempunyai impak yang cukup besar kepada dunia kepuisian tanah air. Selain itu, saya turut mengagumi Kemala, Norhisham Mustafa, Wadi Leeta SA, Rosli K.Matari, Abdul Hadi Yusoff, serta Zurinah Hassan. Bagi penyair muda saya meminati Shahrulnizam Abd.Talib, Fahd Razy, Wan Marzuki Wan Ramli, Salman Sulaiman, serta beberapa orang rakan penulis yang lain.

Apakah yang dilakukan ketika ilham datang dan bila masa yang paling sesuai untuk berkarya?

Ilham datang tidak tentu masa dan tempat. Kekadang semasa memandu kereta pun ia datang dan saya akan sentiasa mengulangi frasa-frasa tersebut serta apabila sampai nanti saya akan mencatat di mana-mana helaian kertas atau di papan putih di bilik bacaan saya. Frasa-frasa yang baik ia datang dan bermain-main di minda kita sebelum ia menjadi sebuah puisi yang akan kita cantumkan nanti. Kekadang ia mengambil masa setengah jam dan kekadang frasa-frasa tersebut menjadi puisi sehingga seminggu atau sebulan, ia tak kira jarak masa.

Biasanya saya akan mencantum atau menulis balik puisi saya ketika waktu malam, ketika suasana agak sunyi kerana waktu demikian amat sesuai untuk fikiran kita bekerja terutama untuk memilih kata-kata yang sesuai dalam puisi kita. Namun, ada juga karya-karya saya dihasilkan pada siang hari terutama ketika frasa-frasa serta baris-baris puisi sudah ranum dalam fikiran kita dan hal ini biasanya puisi yang dihasilkan cukup senang sebagaimana air yang mengalir dan setengah jam puisi telah siap.

Apakah tema yang sering saudara utarakan melalui karya-karya yang saudara hasilkan?

Kebanyakkan karya puisi saya bertemakan kemanusiaan serta ke-Islaman, sesuai dengan tahap umur yang telah meningkat. Tema kemanusiaan terlalu dekat dengan kita terutama perihal suasana sekeliling kita. Puisi ini menariknya kerana ia mencatat segala cerita tentang kehidupan kita termasuk peristiwa, masa, dan tempat. Sebenarnya puisi itu adalah gambaran tentang kehidupan serta perasaan kita terhadap peristiwa tersebut. Kemanusiaan ini terlalu dekat dengan kita dan ia merupakan subjek yang sentiasa menyentuh naluri kita dan inilah yang menyumbang kepada puisi-puisi saya selama ini.

Manakala tema ke-Islaman atau kalau lebih tinggi lagi disebut puisi-puisi sufisme. Mungkin puisi saya tidak sampai ke tahap puisi sufisme seperti Chairil Anuar, namun tahap ke-Islamannya ada. Tema keislaman ini terdapat pada beberapa buah puisi saya terutama kebelakangan ini dan sebenarnya menulis puisi ke-Islaman ini adalah suatu hal yang perlu kerana puisi dan agama itu satu pautan yang pasti. Selain untuk muhassabah diri puisi keislaman ini untuk renungan pembaca juga.

Apakah puisi yang telah saudara hasilkan yang dianggap paling memuaskan hati. Apakah kepuasan itu dalam hubungan dengan pengkaryaan saudara?

Secara keseluruhannya tiada sebenarnya puisi yang saya hasilkan cukup memuaskan hati saya. Ini kerana setelah karya kita tersiar kita baca kembali dan akan rasa, “ Eh, aku patut guna perkataan ini, frasa ini, atau patut aku tambah lagi puisi ni”. Situasi ini sentiasa berlaku dalam diri saya. Namun, lama kelamaan perasaan sedemikian semakin berkurangan sekarang apabila sampai satu tahap kita mempunyai gaya penulisan yang tekal dan tersendiri. Lagipun komen dari rakan-rakan juga pengalaman kita telah menjadikan kita semakin matang dalam penulisan.

Kalaulah nak dikatakan agak puas hatilah ialah puisi “Angin Ogos Ini” yang mengambil masa agak lama untuk saya hantar ke Mingguan Malaysia. Puisi tersebut saya tulis dalam jangka masa setahun dan sering diubah frasa serta barisnya, kata-kata sering bertukar agar ia kelihatan lebih segar, dan unsur-unsur bahasa dalamnya. Namun, masih juga ada rasa tidak puas hati dan mungkin rasa sedemikian ada pada kebanyakkan penulis. Mungkin.

Selain itu, kebanyakkan puisi saya kebelakangan ini saya ada rasa agak puas hati. Mungkin proses kematangan sudah ada sedikit dalam diri saya.

Bagaimanakah saudara memilih judul untuk puisi saudara?

Biasanya saya akan menulis dulu puisi sampai siap. Kemudian saya akan mencari kata kunci dalam puisi saya. Tajuk puisi cukup penting kerana ia dapat memancing pembaca untuk membaca puisi kita. Kalau lihat puisi-puisi saya, kebanyakkanya tajuk-tajuknya agak menjadi tanda tanya dan bagi saya tajuk cukup penting.

Tegasnya apakah yang saudara cari daripada puisi dan adakah saudara sering mendapatnya?

Semua tindakan serta gerak kerja kita sebagai seorang Islam ialah untuk berdakwah kepada diri dan masyarakat. Itulah yang saya cari melalui karya-karya saya. Selain kita bercerita serta memasukkan unsur-unsur dakwah atau kesedaran dan anjuran kebaikan, supaya kita sama-sama dapat menjalani hidup dengan sebaiknya.

Ada beberapa puisi saya yang saya hasilkan cukup memberi kesan dari segi teladannya kepada pelaku. Puisi “Salam”, contohnya mengisahkan seorang kanak-kanak (anak murid saya) yang kematian ibu dan tinggal dengan kakak-kakaknya yang sulung tingkatan 3. Ayahnya kahwin lain dan tinggal di rumah isteri barunya. Pada suatu hari anak murid saya ini telah lemas ketika mandi di sungai. Mayatnya tidak ditemui sehingga kini. Murid saya ini cukup baik dengan saya mungkin kerana kekurangan kasih sayang. Selepas puisi saya tersiar ayahnya telah mengframekan puisi saya serta gambar allahyarhamah anaknya. Yang menariknya ayahnya telah berubah dan mereka suami isteri telah tinggal bersama anak-anaknya. Saya menerima beberapa panggilan telefon dari keluarganya yang cukup terharu membaca puisi saya.

Satu lagi ialah sajak “Rahsia”. Sajak ini disiarkan di majalah Novel di kulit belakang majalah ini. Menariknya ialah latar sajak ini terdapat seorang wanita yang duduk di hadapan pintu gerbang dan bagi saya seperti seorang wanita pelacur. Sajak ini agak Sufisme sikit. Saya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang cukup tersentuh dengan sajak saya. Katanya dia akan kembali ke pangkal jalan dan tidak akan melakukan kerja yang tidak baik itu lagi.

Peristiwa-peristiwa ini yang berlaku dalam hidup saya dan menjadikan bidang ini adalah pilihan saya yang tepat dan saya mendapat sesuatu kenikmatan darinya kurniaan Yang Maha Segala.

Yang mana satu bagi saudara menulis untuk nama dan wang atau sebaliknya?

Wang bukan keutamaan, sebab saya sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai sumbernya. Mungkin kerana minat dan kita perlu ke bidang kedua dalam hidup sebagai penampang agar tidak jemu hidup. Ada orang minat memancing, memelihara ayam serama, dan pelbagai lagi sebagai hobi sampingan. Dan saya menulis. Menulis ini memberi banyak kepuasan kepada saya serta menjadikan saya lebih bermotivasi untuk kerjaya saya.

Bagaimanakah tanggapan saudara tentang dorongan? Adakah sudara merasakan tanggungjawab terhadap khalayak sebagai suatu daya pendorong?

Dorongan cukup penting terutama waktu awal kita menulis. Ini kerana tanpa dorongan sudah tentu kita tidak akan lama dalam dunia penulisan ini. Saya sentiasa mendapat dorongan daripada rakan-rakan penulis terutama dari segi komen tentang hasil karya kita sebelum dihantar ke akhbar atau majalah. Saya ada rakan penulis seangkatan dengan saya iaitu Izani Zakaria dan Wan Marzuki Wan Ramli. Selain itu, saya juga sering mendapat dorongan serta tunjuk ajar daripada Abdul Hadi Yusoff serta Wadi Leeta SA. Mereka berdua merupakan antara penyair Kelantan yang giat penulis muda dan mereka membimbing saya ketika bengkel ataupun secara peribadi.

Suatu hal yang tentu ialah kita sebagai penulis perlu bertanggungjawab terhadap hasil karya kita. Untuk itu saya sentiasa memastikan karya saya tidak menyimpang dan sebagaimana saya katakan bahawa karya kita berfungsi sebagai dakwah kepada diri dan kepada masyarakat. Itulah dorongan yang kuat rasa saya.

Bagaiamanakah dengan keluarga saudara?

Sayalah satu-satunya di kalangan ahli keluarga yang minat menulis terutama puisi. Keluarga saya tahu saya menulis dan banyak terlibat dengan persatuan sastera dan budaya. Namun dari segi galakan secara langsung tiada. Tetapi saya pasti mereka menyokong minat saya terutama apabila nama serta gambar saya sering terpampang di akhbar dan majalah dan sering adik-adik serta jiran-jiran saya memberitahu mereka.

Galakan kuat saya terima daripada isteri saya yang beliau tahu minat saya yang terlalu kepada penulisan dan beliau mengenali saya melalui karya-karya saya dan beliau banyak memberikan idea sepanjang pengkaryaan saya selama ini. Tanpa sokongan serta timbang rasa isteri saya, sudah agak sukar untuk saya berkarya serta terlibat dalam NGO.

Apabila kita menyebut tentang puisi, kita akan sentiasa teringat kepada puisi Melayu Lama. Jadi, pada pendapat saudara, adakah puisi Melayu Lama itu penting untuk dihidupkan pada hari ini dan adakah ia mempunyai pengaruh pada karya-karya puisi saudara?

Dalam dunia sastera Melayu kita mempunyai bentuk puisi tradisional (saya lebih suka menggunakan istilah puisi tradisional untuk Puisi Melayu Lama) serta puisi moden. Puisi tradisonal seperti pantun, syair, gurindam, seloka, nazam, teromba, dan sebagainya mempunyai nilai khazanah yang tinggi dalam kesusasteraan Melayu kita. Contohnya pantun merupakan hak mutlak puisi masyarakat Melayu yang sangat tinggi nilainya.

Saya terlibat sebagai fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya di kem Program Latihan Khidmat Negara semenjak mula-mula modul ini dijalankan di kem-kem seluruh negara iaitu pada tahun 2005 lagi. Kini saya dilantik sebagai Ketua Fasilitator di Kem PLKN Etnobotani, Gua Musang. Antara kandungan modul PPSB ini ialah penghayatan puisi-puisi tradisional. Puisi-puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam dan seloka diajar kepada pelatih PLKN dan hal ini memperlihatkan minat yang mendalam di kalangan pelatih pelbagai kaum. Mereka ada yang tidak pernah mendengar gurindam, seloka atau nazam, tetapi kita mereka belajar melagukannya dengan baik. Inilah sesuatu yang patut kita rasa bangga dan apa yang kita dapat sepanjang program ini diadakan ialah cukup positif bukan sahaja di kalangan pelatih iaitu generasi muda tetapi pihak kem sendiri turut berminat.

Secara kesimpulannya, puisi tradisional patut terus dihidupkan dan cukup penting kepada khazanah kesusateraan Melayu kita. Manakala dari segi pengaruhnya kepada hasil karya saya, ada sedikit terutama dari segi penggunaan kata-kata lama yang jarang digunakan kini dan saya cuba gunakan kembali. Sekali lagi, puisi tradisional cukup penting dan menjadi harta yang tidak ternilai kepada dunia kesusasteraan kita.

Sebagai seorang yang aktif dalam persatuan dan gerakan sastera dan budaya negeri Kelantan, apakah pandangan saudara tentang peranan persatuan dalam pembinaan dan pengembangan bakat penulis?

Saya merupakan Setiausaha 2 Gabungan Penulis Muda Kelantan, Penolong Setiausaha Majlis Teater Negeri Kelantan (mempunyai 12 persatuan gabungan), serta ahli Persatuan Penulis-penulis Kelantan. Sebagai SU2 GEMA saya banyak terlibat dengan aktiviti persatuan dan merupakan persatuan penulis yang paling aktif di Kelantan (dalam setahun tidak kurang 13 aktiviti diadakan), banyak aktiviti bengkel penulisan diadakan. Beberapa tahun kebelakangan ini kita telah berjaya melahirkan beberapa orang penulis muda yang berbakat yang banyak karya terpampang di dada akhbar serta majalah utama di negara kita. Antara mereka ialah Nur Fadhilah Mohd Salleh, Nor Adnie Bahiah Zaaba, Sharifah Zulikha Syed Zulkarnain, Norshahida Ismail, dan beberapa orang penulis muda lain. Pada tahun ini dua orang penulis muda kita iaitu Nor Adnie Bahiah Zaaba dan Syarifah Zulikha Syed Zulkarnain berjaya terpilih menyertai Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Ini menjadi kebanggan kita kerana agak sukar untuk terpilih menyertai bengkel penulisan tersebut dan salah seorang daripadanya iaitu Syarifah Zulikha baru berusia 15 tahun dan mempunyai masa depan yang cerah dalam dunia penulisan. Hasil penulisan mereka telah berjaya menembusi akhbar serta majalah utama negara seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, majalah Wanita, Gemadotcom, Dewan Sastera, dan sebagainya.

Bagi saya yang lahir melalui bengkel anjuran persatuan penulis berpendapat bahawa peranan persatuan penulis penting dan bagi penulis yang baru, perlulah menyertai persatuan kerana ia membantu membimbing penulis baru dari segi teknik penulisan, cara menghantar karya, karya yang bagaimana sesuai dengan sesebuah akhbar atau majalah, dan sebagainya.

Berapakah jumlah karya yang dihasilkan setakat ini dan jumlah yang diterbitkan serta di mana?

Sekarang ini saya tengah mengumpul serta menyaring sajak-sajak saya untuk dihantar kepada pihak DBPWT untuk penerbitan. Kesemuanya hampir 150 buah puisi dan ada yang telah disiarkan dan ada yang belum serta tidak sesuai dihantar ke pihak akhbar atau majalah. Antaranya telah tersiar di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Berita Harian, Majalah Perempuan, Novel, Wanita, Jendela Timur, Gemadotcom, dan beberapa majalah yang lain. Selain itu, puisi saya terkandung dalam antologi bersama, “Bunga-Bunga Putih” (GEMA-1997),”Nyanyian Kembara” (DBP-1998), “Bulan Barakhah” (DBP-1997), “Warna Perang” (Utusan Publications - 2007)“Keris Bahasa” (DBP-2005) sebagai penyelenggara.

Anugerah yang saudara terima setakat ini?

Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil (kategori puisi) 2006, Anugerah Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (2006) dan Anugerah Khidmat Cemerlang 2002 dan 2006.

Apakah rancangan saudara seterusnya pada masa akan datang, serta harapan saudara?

Sudah tentu mengharapkan keluarnya antologi persendirian, yang sangat saya mengharapkan selewat-lewatnya tahun hadapan. Antologi persendirian ini penting sebagai tanda atau nesan bahawa kita ini pernah hadir dalam dunia kesusasteraan kita ini. Selain itu, ia sebagai titik tolak penghasilan karya kita selepas ini ke mana arah penulisan kita atau gaya penulisan mana yang akan kita layari selepas ini.

Selain itu, apa yang diharapkan ialah dunia kesusasteraan yang lebih memihak kepada penulis-penulis atau sasterawan kita terutama dari segi penghargan serta pandangan dan idea terutama dalam mencorakkan kesusasteraan Melayu kita. Hal ini perlu terutama oleh pihak kerajaan dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu kita yang semakin dipinggirkan sebagaimana bahasa Melayu kita yang saya rasa juga semakin hilang kepentingannya. Sesuatu yang kita bimbang ialah jika pandangan hanya diterima dari orang yang bukan ahlinya kerana kesilapan kita melantik bukan dari ahlinya. Dan inilah yang kita bimbangkan sangat. Maka akan hancurlah sastera, bahasa, dan budaya kita nanti.

Terima kasih kerana kerjasama erat melapangkan waktu mengemukakan idea dan pengalaman tentang segala-galanya. Insyaallah ia akan memberi manfaat untuk memajukan lagi bakat saudara pada masa akan datang dan memeriah lagi dunia sastera tanah air.

Sama-sama dan terima kasih juga kerana sudi mendengar kisah yang tidak seberapa ini.

AKHIR KATA

Demikianlah Mohd Ziziee Setapa. Dunia pendidik seolah-olah menjadi jiwanya dan penulisan merupakan hatinya. Kedua-duanya mengarah kepada usaha mendidik diri dan masyarakat sekitar. Seperti puisinya, Betapalah Seorang Guru Itu Adalah Pejulang Maruah Bangsa:

...

Betapalah seorang guru itu

adalah pembancuh warna kemanusiaan

adalah pembentur rebun kesetiaan

kuntum-kuntum ilmu mekar berkembang

harumnya telah memerbak warna buana

jangan biarkan anak didik kita

hanyut oleh gelombang kebendaan

rebah atas nama kedaifan

akan hilanglah arah, hilanglah sejarah

... (Mingguan Malaysia, Ahad 20 Mei 2001)

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...