Saturday, April 14, 2012

DI BAWAH RIMBUNAN KBTC




Hari itu (22 Mac 2012) cuacanya begitu cerah sekali. Kicauan burung menusuk lembut dalam sanubari. Bagaikan berkata-kata untuk menyambut seorang perantau yang ditinggalkan begitu lama. Hampir terpadam segala memori yang ditautkan. Setelah selesai berpakaian, kaki terus melangkah mencapai kunci kereta dan menghidupkannya.

“Eh, nak ke mana aku ni?” tiba-tiba timbul satu pertanyaan yang aku sendiri sudah mempunyai jawapannya. Ya. Hari ini, aku akan melaporkan diri. Bertugas di tempat baru. Ah…cepatnya masa berlalu. Cuti selama 3 tahun 3 bulan telah pun tamat. Cuti belajar sepenuh masa di UPM membuatkan rutin hidup telah bertukar. Hari ini ia akan bertukar sekali lagi. Bertukar dan bertukar dalam kehidupan adalah rutin. Itu hakikatnya. Perubahan dimensi itu harus kutelan dan hari ini aku akan memulakan langkah kembali.

Mengingatkan kembali, cuti belajar yang diberikan itu telah tamat tempohnya, namun sesi pengajian di UPM masih belum tamat. Aku kadang-kadang malu untuk bertemu dengan sesiapa pun.

“Dil, dah habis belajar? Tahniah Dil”, tiba-tiba ingatan seorang rakan menerpa dengan pertanyaan demikian.

“Belum lagi la…susah nak cakap. Tunggu kereta viva…” jawabku dengan senyuman agak pahit dan jenaka yang tidak lawak.

“Oh. Macam mana boleh tak selesai. Susah sangat ke? Rugilah KPM macam ni”.

Aku hanya mampu tersenyum dengan pernyataan sedemikian.

“Ya! Allah bagaimana aku nak terangkan kepada mereka ini. Berikanku kekuatan. Berikan aku ketabahan. Berikan aku kewarasan”.

Dalam melayari lamunan tiba-tiba kereta yang kupandu telah memasuki Kampus Memori ini.

“Oh, dah sampai rupanya”.



Ya, sememang perjalanan dari rumah ke kampus ini hanya memakan masa 7 minit sahaja. Aku mengangkat tangan pada pengawal. Tanda memberi penghormatan di atas laluan yang diberikan. Aku parkir kereta. Aku merenung kembali bangunan kampus ini. Tidak banyak berubah. Aku tarik nafas. Kuhembus kuat-kuat. Memori datang bertimpa-timpa.

11 Jun 1990, tarikh keramat yang tidak pernah terpadam dalam ingatan ini. Tarikh yang dinamakan bermulanya aku sebagai guru pelatih di Kampus KBTC ini. Mak dan ayah turut menghantar diriku walaupun aku menyatakan bahawa aku boleh hadir sendiri. Mungkin sikap dinginku untuk menerima tawaran itu menyebabkan ayah dan mak beria-ia mahu menghantarnya. Ayah menyewa teksi khas untuk menghantar aku. Aku enggan bukan kerana apa, aku mahu ke universiti. Universiti yang dapat menawarkan ijazah sarjana muda. Ah…bukan sekadar sijil...Apatah lagi aku dibebelkan oleh guru sejarah semasa di sekolah.

“Aidil, awak nak ke maktab? Jadi Cikgu? Rendahnya cita-cita awak!” Tegas Cikgu Sha.

“Cita-cita awak setinggi kemucup di jalanan. Ditiup angin entah ke mana. Dipijak orang, tumbang tak bernyawa”.

“Hanya sijil…Aidil. Saya yakin awak mampu melangkah ke universiti seandainya awak meneruskan sesi tingkatan enam ini”.

Aku hanya tunduk. Mengiakan dan memamah segala kata-kata walau hati pedih tertusuk sembilu.

“Saya yakin awak akan kecewa menjadi guru. Menjadi insan yang menerangi orang lain. Saya yakin awak akan menemui saya dan menyatakan kekesalan itu”.

“Balik nanti…awak fikir dan awak kena fikir, untuk masa depan awak!”

“Jumpa saya, jika awak sudah membuat keputusan”.

“Terima kasih, Cikgu”.

Hanya itu yang mampu kuluahkan. Aku pasrah pada ketentuan itu. Tangan Cikgu Sha kucium. Mohon maaf dan halalkan ilmu yang dicurahkan. Aku tahu luahan hatinya. Aku tahu dia mahu aku lebih berjaya. Aku tahu bahawa dia juga seorang guru tentunya tahu perit getirnya menjadi seorang guru.

Sebenarnya keputusan sudah ada. Sudah kulipatkan dalam hatiku. Atas nasihat kakak, kureda dan mengharapkan keputusan untuk menjadi guru adalah yang terbaik dalam rentak tari kehidupanku. Membantu keluarga meringankan beban perbelanjaan. Alasannya cukup mudah. Menjadi guru pelatih dibekalkan elaun. Elaun…bererti aku sudah memiliki wang sendiri tanpa menyusahkan sesiapa…

Tiba-tiba, ada debar di dada. Aku masih di kereta. Masih merenung Kampus KBTC yang kini digelar Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu. Aku mencari-cari surat penempatan semula. Ah, di mana? Oh, sudah kuletakkan di dalam fail.


…bersambung…

Friday, April 13, 2012

ROMANTIK ITU SUNNAH RASULLULLAH


SIAPA suami pilihan anda? Percaya atau tidak, antara kriteria suami pilihan para gadis ialah lelaki yang romantik. Bagi kebanyakan lelaki pula, romantik biasanya hanya ketika usaha memikat, tetapi bila si dia sudah menjadi miliknya, romantik terus hilang.

Apabila isteri bersuara, kerap lelaki ini memberi alasan: "Romantik apanya, tak perlu nak jadi orang Baratlah!".

Ini antara tanggapan kebanyakan lelaki Malaysia khususnya lelaki Melayu. Hakikatnya, romantik bukan sikap orang Barat, bukan juga budaya hero Hindi sebaliknya romantik, bersikap baik dan melayan isteri dengan lembut adalah sunnah Rasulullah SAW.

Isteri rasa dihargai

Malu memegang tangan isteri? Kenapa perlu malu? Saya akui, budaya ini memang agak asing bagi masyarakat kita. Kenapa jadi asing? Sebab kita tidak membiasakan diri kita melakukannya.

Setiap isteri mendambakan suami yang romantik. Tidak perlu berikan bunga setiap hari, bukan harapkan hadiah yang menghabiskan gaji. Memadailah cara anda membelai, tingkah anda merayu. Sikap anda memberi perhatian juga diinginkan selain pelukan dan ciuman kasih sayang malah luahan rasa cinta.

Pakar psikologi pernah mengatakan, pengucapan cinta satu kali sehari akan memanjangkan usia. Kenapa? Apakah kaitan pengucapan cinta dengan panjangnya usia?

Sebenarnya, maksud pendapat tersebut adalah ucapan cinta akan membuatkan diri orang yang menerimanya rasa disayangi dan dihargai lantas akan membuahkan seribu rasa kegembiraan dan kebahagiaan. Rasa gembira dan bahagia pula membuatkan seseorang ingin terus hidup bagi terus menikmati kebahagiaan tersebut.

Contoh Rasulullah

Menurut riwayat, Rasulullah SAW sering mengucup isteri baginda dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah SAW pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid. Aisyah RA berkata yang bermaksud: "Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk" - Hadis riwayat Abu Daud.

Walaupun hadis itu menjadi hujah atau perbincangan dalam hukum wuduk, namun tujuan saya mengemukakan hadis ini ialah untuk mengetengahkan kepada umum tentang sikap romantik Rasulullah SAW. Saya tahu, memang ramai yang mencium isteri tapi berapa kalikah anda mencium isteri anda dengan penuh kasih sayang, bukan sekadar ciuman selamba atau ciuman penuh ghairah?

Aisyah RA berkata: "Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah SAW menggunakan satu bekas air." - Hadis riwayat al-Bukhari.

Pernahkah anda berbuat demikian? Berapa kerap? Baginda juga sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah dan disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah RA dengan gelaran Humaira' yang bermaksud putih kemerah-merahan, bertujuan memuji kecantikannya. Rasulullah SAW juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah.

Lantas, ciumlah isterimu wahai para suami! Lafazkanlah kata-kata cinta. Panggillah isteri anda dengan panggilan disukainya. Berkongsilah makanan dan minuman anda.

Sentiasalah luangkan masa bersamanya malah banyak perkara lain yang boleh anda lakukan bagi membuktikan anda benar mencintai dan menghargai isteri anda. Apabila isteri rasa dihargai, dia bukan sahaja sanggup berikan layanan istimewa malah sanggup menggadaikan hidupnya demi suaminya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." - Hadis Riwayat al-Tirmizi.

Sebenarnya, cinta dan kasih sayang bukan sesuatu yang tegar dan keras seperti batu. Malah, batu juga boleh pecah dan hancur dek titisan air yang berulang kali. Sama juga dengan cinta dan kasih sayang. Seorang lelaki dan seorang perempuan perlukan cinta untuk bersama sebagai suami isteri. Untuk terus kekal sebagai suami isteri juga perlukan cinta.

Cinta bukan sekadar perasaan yang disimpan lama tetapi cinta perlu dihangatkan setiap masa dan ketika. Menjadi seorang suami malah isteri juga, rasa cinta perlu ditunjukkan setiap masa dan ketika.

Bersikap romantik merupakan antara cara meluahkan rasa cinta anda. Sebelum terfikir mahu melaksanakan sunnah Rasulullah SAW dengan poligami, apa kata usahakan untuk laksanakan sunnah baginda dengan bersikap romantik terlebih dahulu dengan isteri yang ada! Pasti boleh!

Sumber: Kosmo

Monday, January 16, 2012

KALIMAH ABADI


Lailahailallah

Lailahailallah

Lailahailallah


Lafaz ikrar itu

berbisik manis di telinga

menghapusi percikan-percikan dosa

bergelodak dalam nafas sempit

melayari mujahadah

mengharap intibah

dalam lazat menuju arasy


Perjanjian yang dilakarkan

adalah i’tiqadi

dari peradaban Agung

menyulam takwa

muraqabah diri

terbuka hijab hati

dalam noktah kefanaan ini

bisiklah: Lailahailallah


Dalam kita mengharap dan mencari tasfiyah

denyut nadi semakin perlahan

khauf dan resah

memegang tali istiqamah

memaknakan taqqarub

dan nafas pun tersekat

di pelataran mimbar sufi

terikat dalam satu

kalimah abadi: Lailahailallah



Thursday, January 5, 2012

Dan...Masa Pun Terus Berlalu


YA, AllAH... begitu cepat masa berputar dan bertukar. Tanpa disedari 2012 telah menjelma dan menukarkan segala kepahitan dan kemanisan menjadi satu titik permulaan yang bakal dicorakkan. Apakah harapan dan azam ini akan terus tumbuh, berputik, berbunga dan berbuah.

Rupa-rupanya masih jauh sebuah perjalanan ini. Masih lagi berbaki dan bersisa. Masih lagi punya nafas untuk terus menghirup kehidupan ini. Ya Allah, terima kasih, atas titipan ini. Lantas kusujud syukur anugerah ini.

Hari ini aku masih berjuang untuk membuktikan, bahawa diri ini jua mampu mencapai impian dan cita-cita....InsyaAllah...

....SELAMAT TAHUN BARU 2012....

Sunday, August 28, 2011

1 Syawal

Ramadan yang penuh keberkatan, sekali lagi bakal kita tinggalkan. Semoga tahun hadapan, kita sekali lagi menjadi insan yang akan dipilih untuk bertemu dengan kemuliaan Ramadan, bulan penuh keagungan. Ramadan pergi, Syawal menanti,Semoga kehadiran Syawal ini kita akan menjadi lebih sayang, lebih kasih kepada negara bangsa yang tidak ada galang gantinya ini. Dan seperti lain insan, pada kesempatan ini saya menyusun jari sepuluh, mengharapkan agar segala salah dan khilaf bertemu nokhtah kemaafan. SALAM AIDIL FITRI paling istimewa kepada semua guru yang pernah membekalkan ilmu kehidupan kepada saya, rakan-rakan yang masih mengenang SERTA rakan-rakan blog yang sudi singgah membaca entri saya. Tidak lupa keluarga saya yang menjadi tiang seri untuk saya bernafas. MAAF ZAHIR BATIN.

Friday, August 12, 2011

5 Kursus dari Institusi Ramadhan



SALAM RAMADHAN…

Hakikatnya, Ramadhan bukan saja mengajar kita menahan lapar dan dahaga, sama seperti mereka yang tidak berkemampuan bahkan, Ramadan juga adalah satu transformasi pendidikan tidak rasmi yang secara tidak kita sedari, kita belajar banyak perkara sepanjang menjalani ibadah daripada Rukun Islam yang ketiga itu.

1. Menepati masa

* Sebelum Ramadhan, tidak ramai yang arif tentang masuknya waktu solat Maghrib. Berbanding ketika Ramadan, hampir segenap lapisan masyarakat maklum tentang masuknya waktu Maghrib yang juga waktu berbuka puasa. Sewajarnya sikap ini dipraktikkan terus, bukan saja ketika Ramadhan malah, sepanjang 11 bulan lainnya, bukan saja ketika berbuka puasa tetapi dalam segala aspek hidup kita seperti bekerja, bersahabat dan berhubungan dengan pasangan mahupun anak-anak.

2. Menjaga perlakuan

* Ketika Ramadhan, ramai individu yang meninggalkan tabiat bergosip atau lebih maklum dengan mengumpat. Oppss! Jangan tidak tahu, lelaki pun dah ramai yang pandai mengumpat ya! Tabiat itu dikurang atau ditinggalkan ketika Ramadan bagi menjaga pahala puasa agar tidak cair menjelang petangnya.

* Sama jugalah dengan cara anda tampil di khalayak. Tinggalkan terus cara berpakaian yang tidak sesuai, jangan diulang corak pergaulan yang tidak sihat dan bercampur bebas lelaki dan perempuan. Bagi yang merokok, kalau boleh bersabar lebih 13 jam tanpa rokok, anda akan boleh tinggalkan terus tabiat merokok ini jika anda usahakan lebih sikit sahaja lagi. Kalau hendak seribu daya, mahu pula seribu cara kan!

3. Menghubung silaturahim

* Amalan yang masih diteruskan ketika zaman serba maju ini ialah berkongsi hidangan ketika puasa, mengajak rakan berbuka puasa ataupun menaja majlis berbuka puasa. Sikap ini adalah sikap terpuji namun, sewajarnya jiran-jiran terdekat perlu diberikan keutamaan. Inilah waktu yang sesuai untuk lebih mengenali jiran yang menjadi 'saudara' terdekat kita ketika waktu kecemasan.

4. Menjadi hamba-Nya yang soleh

* Setuju atau tidak, saya terpaksa nyatakan, lebih ramai orang kita yang berpuasa daripada yang solat. Ramai yang puasa tetapi, tidak bersolat dan kalau yang solat pula, selalunya memang akan puasa.

* Hakikat sebenar, berpuasa itu lebih payah daripada solat. Solat tidak perlukan anda berlapar cuma peruntukan antara lima hingga 10 minit untuk lima waktu yang ditetapkan sehari-hari. Jika anda boleh menahan lapar dan dahaga hingga 13 atau 14 jam, sudah pasti anda boleh peruntukan masa tidak sampai satu jam untuk melaksanakan perintah solat lima waktu sehari semalam.

5. Dekatkan diri berdoa kepada-Nya

* Bagi mereka yang menghadapi ujian, gunakanlah peluang ketika Ramadan ini untuk memanjatkan doa mohon yang terbaik daripada-Nya. Berserah sepenuh hati, tanpa ada sebarang keputusan mengganggu emosi dan minda.

Ramadhan akan berlalu pergi, memberikan kita pendidikan dan pengajaran jika kita betul-betul menghayatinya.

Bergantung kepada diri sendiri untuk merebut segala modul yang ada dan menikmati ijazahnya selepas ini. Selamat berpuasa. Moga dapat kita kutip barakah, rahmah dan maghfirah daripada-Nya. Amin.

Ubahsuai: kosmoonline

Thursday, July 21, 2011

7 KALIMAT DIAM




DIAM mengandungi 7,000 kebaikan YANG tersimpul dalam 7 kALIMAT, yang setiap satu kalimat mengandungi SERIBU kebaikan:

1. Diam itu IBADAT tanpa susah payah
2. Diam itu PERHIASAN tanpa BERKIAS
3. Diam itu KEHEBATAN tanpa kerajaan
4. Diam itu BENTENG tanpa pagar
5. Diam itu KEKAYAAN tanpa minta maaf kepada orang
6. Diam itu ISTIRAHAT bagi kedua malaikat pencatat amal
7. Diam itu PENUTUP segala aib @ Diam itu KEINDAHAN bagi
orang alim dan penutup bagi yang bodoh.

NILAI-NILAIkanlah...

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...