Sunday, October 4, 2009

Pembentangan Proposal/Seminar


Gambar: Perasmian oleh Timbalan Dekan Siswazah UPM


Alhamdulilah, pembentangan proposal untuk pengesahan tajuk PHDku berjalan lancar semalam (3 Oktober 2009). Perasmian dilaksanakan oleh Timbalan Dekan Siswazah UPM yang berlangsung di Dewan Za’aba. Kesemua yang mendaftar untuk Seminar baik PHD dan Master dengan tesis dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi turut membentangkan hasil kerja mereka.



Pembentangan proposal ini melibatkan kesemua calon PHD dan Master di bawah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Seramai 12 calon PHD dan 9 calon Master untuk pengkhususan Bahasa Melayu. Kesusasteraan Melayu 2 PHD 8 Master. Bahasa.Inggeris 9 PHD, 3 Master, Kesust. Inggeris 1 PHD, 7 Master, Kesust. Cina 6 Master, Bahasa Arab 1 PHD, 7 Master, dan Jabatan Komunikasi 5 PHD dan 4 Master.


Pembentangan ini dibuat di bilik khas dengan hampir kesemua pensyarah turut serta untuk mendengar, memberi komen dan membuat kesimpulan jua pemberian markah untuk proposal tersebut. Peserta-peserta yang hadir turut boleh memberi pandangan dan bertanya mengenai pembentangan tersebut.


Alhamdulilah walaupun ini hanyalah pembentangan proposal tetapi darah gemuruh dan debaran untuk pembentangan ini hanya Allah sahaja yang tahu. Sebelum pembentangan lagi asyik-asyik nak ke tandas sahaja dan terasa nak tercabut sendi lututku. Hehehe..walaupun aku dah biasa bercakap kat Perhimpunan Sekolah rupanya lain betul bezanya.. Syukur sebenarnya kepada Allah walaupun terdapat beberapa komen dari Dr. Zariat dan Dr. Fazilah, namun komen-komen itu rasanya cukup membina dan menyedarkanku dalam sesuatu pernyataan yang ingin dibuat mestilah berlandaskan kepada fakta yang tepat dan keesahan. Mujurlah tajuk yang aku kemukakan tidak meimbulkan perdebatan yang hebat. WOW pembentangan untuk tesis master begitu lantang diperkatakan dan aku rasa kekuatan minda untuk menangani permasalahan itu perlu kuat walaupun komen-komen itu sebenarnya untuk memberi teguran, pembetulan dan pemahaman kepada calon-calon.


Selepas pembentangan lapang selapangnya hatiku. Ya Allah hanya padaMu ku lafazkan syukur dan Terima kasih. Jua aku ucapan jutaan terima kasih buat penyelia tesis PHDku Dr. Samsina yang selama ini dan sehari sebelum itu memberi teguran, pembetulan terhadap hasil proposal yang ingin dibentangkan.


Walaupun dah kurang sibuknya, aku masih belum menyiapkan satu tugasan lagi dan seterusnya menghadapi pula peperiksaan.

Friday, September 18, 2009

Salam Aidil Fitri

Semoga detik yang tiba ini mewarnai seri Syawal. Jutaan kemaafan dilafaz agar tali yang kusut selama ini diurai dengan seribu senyuman. PERCAYAlah inilah kemenangan yang hakiki setelah dirempuh gelombang ujian. SALAM AIDIL FITRI BUAT INSAN-INSAN YANG SUDI SINGGAH DITERATAK BeLaiAn jiWa.

Saturday, September 5, 2009

MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA




Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniah puasa itu antara lain seperti berikut:


*Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah SWT


* Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria.

* Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan.


* Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci.


* Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.


* Hendaklah hati merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala

SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARIPADANYA


Friday, August 28, 2009

Buana Ramadhan



Dinginnya waktu ini menglingkari saat saat lena
sedangkan ranting ranting pepohon sujud bertafakur
sedangkan unggas unggas dan segalanya memuji kebesaran-Mu
menjunjung hikmah dan menghambat kemanisan seribu bulan
mencari keredaan
keampunan Ilahi
agar gemaan rahmat terhimpun diribaan
hingga buih buih yang tersirat bercantum
menjadi doa yang makbul


Kesunyian malam
mengajari erti ke-Esaan
menyapu jiwa dalam butiran tasbih
mengucap nur kasih yang abadi
dan ikatan takwa
moga moga sepertiga ini
datangnya sejuta anugerah
yang dilontarkan di kaki insaf


Embun yang menitis
adalah rebutan perkasihan lailatulqadar
adalah pelikuran saham yang mustajab
adalah petunjuk kebenaran penebus dosa
adalah kesejukan penghilang kehausan
dalam sinar lentera keletihan
menuntut wangian kesturi di syurga
kemenangan yang maha hebat
berulit sahur kasih
di buana Ramadan-Mu

Saturday, July 25, 2009

Pertemuan Dengan-Mu


Rab
Pertemukanku dengan cinta tauhid-Mu
Pertahankan kalbuku dari dilukai
Pudarkan jalan kesesatan
Suluhiku lorong keimanan
permudahkanku merempuh seribu halangan

Rab

berikanku
Rasa kudus dan suci mengairi taman hati
Menyegar dan menyuburi
Kehausan dan kekeringan selama ini
Menjadi benteng kekuatan
Dari nafsu yang membuak
Satu kemenangan memeluk cinta-Mu

Rab
Pertemuan ini menyedarkan

di saat rohku kan terkulai layu
ampunkanlah daku
setelah sejuta dosa
mengelilingi hidup

Rab
biarlah air mata ini menjadi saksi
sebuah keinsafan
ditali gantung penuh misteri



Sunday, July 19, 2009

Belajar Atau Mengajar


Belajar dan Mengajar, satu pengertian yang cukup berbeza.

Semasa MENGAJAR aku tidak pernah beri peluang kepada pelajarku buat hal sendiri. Mesti tumpu. Mesti selesai kerja rumah yang diberi. Mesti skor A. Mesti ulangkaji. Jangan Malas. Tanya kalau tidak faham. Tiada alasan untuk gagal. Mesti sempurna.

NAMUN...tiba pula giliranku bergelar PELAJAR.

Tugasan berlambak, kena baca itu, kena baca ini, makin baca makin tidak faham. Nak buat sesuatu, buka laptop berjam-jam, hanya beberapa perkataan yang ditulis atau tidak ada langsung perkataan. Hairan aku. Masuk pula perpustakaan, tidak sempat nak baca. Hanya sekadar memilih-milih buku-buku. Itu pun rasa-rasa semuanya tidak sesuai. Masa terbuang begitu sahaja. Tugasan tidak sempat nak disiapkan.

KINI...baru aku sedar HEBATnya jadi PELAJAR:

Yang sentiasa ditindas gurunya

Yang sentiasa mengharap untuk dikasihani

Yang sentiasa menjadi peminta sedekah

Yang sentiasa disuruh untuk buat entah apa-apa

Yang sentiasa menYESkan semuanya

Dan ....

LA NI baru aku tahu HEBATnya jadi GURU!!!

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...