Friday, December 6, 2013

BAHASA PALING TUA DI DUNIA



PARA saintis tetap berdebat bahasa apa yang paling tua di dunia. Tetapi sebenarnya masalah itu senang diselesaikan. Pasti itu bahasa cinta. Meskipun kepelbagaian bahasa di dunia itu, dua bahasa sahaja wujud yang boleh dimengerti oleh semua yakni bahasa cinta dan bahasa kebencian.

Dan bahasa cinta adalah bahasa yang paling tua. Mula-mula lahir cinta dan hanya kemudian kebencian. "Cinta adalah pemberian yang tak terhingga nilainya. Cinta adalah satu-satunya hal yang kita boleh hadiahkan tetapi ia tetap bersama kita" - demikian kata penulis Rusia Leo Tolstoy.

Perkataan "cinta" adalah perkataan yang paling penting dalam bahasa. Dan mungkin perkataan inilah adalah yang paling susah dimengerti. Perkataan ini ada di mana-mana. Ribuan buku, lagu, majalah, filem dipenuhi dengan perkataan itu. Banyak sistem falsafah dan teologi memberi tumpuan khusus kepadanya.

Keperluan manusia supaya mereka dicintai adalah keperluan semula jadi. Demi cinta kita menaklukkan puncak gunung, mengharungi lautan dan gurun pasir, mengalami penderitaan yang berat. Seorang ahli falsafah kuno pernah mengatakan bahawa akhirnya di gelanggang drama manusia akan tinggal hanya tiga hal: kepercayaan, harapan dan cinta, tetapi cinta ialah lebih penting.

Tetapi mengapa perkataan itu adalah yang paling susah dimengerti? Oleh kerana ia digunakan dalam berbagai-bagai kes. Kita boleh mengatakan: aku cinta ibu tetapi boleh mengatakan juga: aku cinta anjing, buku, bola sepak dan lain-lain. Perkataan ini boleh digunakan untuk membenarkan segala tingkah laku manusia.

Sang suami yang curang kepada isteri dan menamakan itu dengan perkataan "cinta". Seorang pendeta akan menamakan kelakuan itu sebagai "dosa". Ibu bapa memanjakan cahaya matanya dan menyebut itu "cinta" juga. Seorang psikologis mentakrifkan itu "merosakkan perangai anak".
Bahasa cinta ada dua belah: verbal dan nonvebal. Aspek nonverbal itu sebenarnya bahasa isyarat: kerlingan mata, sentuhan, intonasi. Adapun segi verbal maka yang paling penting ialah kata dorongan, kata manis atau pun sanjungan.

Penulis Amerika Mark Twain pernah mengatakan bahawa sekali disanjung sahaja dia boleh hidup berbahagia dua bulan. Jadi menurutnya apabila seseorang disanjung enam kali maka dia boleh hidup berbahagia satu tahun! Begitu kuat pengaruh kata manis dan sanjungan terhadap manusia.

Peribahasa Rusia berbunyi: Perkataan manis disenangi bahkan oleh seekor kucing. Dan seorang arif masa kuno yakni Solomon mengungkapkan: Bahasa mempunyai kekuasaan hidup dan mati. Hati resah membongkokkan manusia kepada tanah melainkan perkataan manis meluruskannya. Jadi jangan malu menyanjung orang lain, memberi sokongan kepada mereka dengan kata manis dan menggalakkan. Kan itu bahasa cinta yang dimengerti oleh semua.

Pada zaman dahulu kala katanya pembina Menara Babylon tidak sempat menyelesaikan pembinaannya. Mengapa? Mereka itu tidak sempat (atau tidak mahu) mengerti satu sama lain. Oleh kerana itu jalannya bersimpangan. Kita sekarang hidup dalam dunia dan realiti sama, mengalami peristiwa yang sama.
Tetapi kita mengerti dan merasai dunia itu secara berlainan. Jadi setiap orang mempunyai realiti dan pemahaman keadaan sekitar yang sendiri. Kebolehan kita, pengalaman kita berpunca daripada perasaan, bahasa kita juga berpunca daripada perasaan.

Cinta dicerminkan dalam puisi. Para penyair memilih perkataan yang paling halus dan menciptakan metafora yang menarik. Cinta boleh dibandingkan dengan tsunami atau badai yang melanda seseorang tetapi tsunami itu tidak membahayakan bahkan memberi kenikmatan. "Adalah sangat mengerikan jikalau kau tidak dicintai lagi, tetapi lebih mengerikan jikalau kau tidak mencintai lagi", - itu kata penyair wanita Rusia Inna Goff. Penyair Alexander Pushkin mengungkapkan gagasan itu dengan lebih sempurna lagi:

Gunung-ganang di Gruziya diselubungi gelap,
Sungai Aragwi di hadapan daku.
Sedih dan lega hatiku: denyutan tidak kerap.
Kekasihku, kurindu akan kau.
Kau sahaja, kau! Rasa pilu dan gundah
Tidak diganggu oleh kesal hati.
Kembali kalbuku bercinta dan demam
Sebab kalau tiada cinta - aku mati.

Dan tentu kita tidak perlu melupakan bahawa bunga juga boleh menjadi bahasa cinta. Bunga sering diasosiasikan dengan sesuatu yang indah, sesuatu yang baik, atau mewakili wanita. Nama-nama bunga sering pula dipakai untuk nama wanita. Bahkan banyak negara menggunakan bunga sebagai maskot negaranya. Begitu besar kemampuan bunga untuk menimbulkan perasaan dan fikiran baik, sehingga bunga sering diberikan untuk menyatakan cinta, ulang tahun dan sebagainya. Bunga diberikan pada keluarga, teman, orang yang dihormati yang sedang berduka, maupun mengalami kemalangan, dengan maksud menghibur dan mendoakan keselamatan.

Bunga diberikan oleh sang kekasih untuk pernyataan minta maaf atas kesalahan yang telah dibuatnya. Bunga dipakai juga untuk menghias pesta untuk memberikan suasana ceria atau upacara pengkebumian dengan tujuan hiburan bagi yang ditinggalkan.

Seperti juga warna yang memiliki erti yang berbeza-beza, masing-masing jenis bunga memiliki pula erti yang menunjukkan perasaan yang berbeza. Jika dua insan yang saling memberi dan menerima bunga, mengetahui erti dari bunga-bunga, tentunya komunikasi akan lebih terjalin. Si penerima akan lebih dapat merasakan harapan dan ucapan yang ingin diungkapkan oleh si pemberi bunga.

Pemahaman terhadap bunga dan warnanya pada umumnya sama pada semua bangsa. Misalnya bunga merah yang diberikan kepada gadis oleh seorang lelaki itu sebenarnya pernyataan cinta. Bunga "jangan lupakan daku" adalah simbol kesetiaan. Bunga lili mengingatkan kepada lelaki tentang gadis kesayangannya. Bunga kuning dalam tangan seorang gadis membuat jantung lelaki berdebar-debar secara kemas: apakah si dianya mencintai orang lain?

Begitu banyak bahasa cinta. Pilih sahaja. Dan dunia akan menjadi lebih indah, aman dan berbahagia!



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kuinjak Rindu dalam Sebuah Kenangan


(Sekadar Hiasan)



Dalam rindu kuinjaki sebuah kenangan

Yang laranya tidak pernah padam

Yang sepinya tumbuh melata-lata
Yang mimpinya jadi igauan



Terasa angin yang membelai malam
Bagai hembusan salam dipuncak rasa
Yang terkumpul sekian lama
Memberi makna pengertian
Moga suatu hari nanti 
Disatukan dipentas terindah
Pada titik sebuah pengharapan

Bendungan air mata ini sudah tidak mampu lagi
Menatap hujan yang bercucuran setiap detik
Di padang resah
Di kamar gelisah
Di dinding terserlah
Keikhlasan talian ini

Hari ini...tiba-tiba pelangi pagi muncul
Tetunas mula menghijau
Reranting menghulurkan salam
dedaun mengkhabarkan kata
Bebunga mekar mewangi
Dan beburung mula bersiul

Tengah hari ini, sang merpati pengirim setia
Memberi ceritera gembira
Pada sebuah warga
Yang sekian lama
tidak berjumpa

Malam ini, kita berkumpul dengan satu jiwa
Dalam debar penuh rasa
Dalam senyum sebuah harap
Biarpun suasana berbeza
Namun citanya cuma satu
Ukhwah yang kita pegang dahulu
Kini bertaut rapat
Menjamah nostalgia rindu
Yang resah dendamnya kita gantung di satu cerun
Yang bahagianya kita nikmati bersama
Hingga ke hari ini
Yang rindunya kuinjaki...

Rumah tangga Kekal Bahagia


(Gambar sekadar hiasan)

Rumah tangga yang teguh, aman dan terus mesra, menjadi dambaan setiap pasangan suami isteri.

Sebenarnya, untuk memperoleh sebuah rumah tangga yang bahagia bergantung sepenuhnya kepada cara bagaimana pasangan berkenaan mengekalkan suasana harmoni dalam hubungan mereka biar lama mana usia perkahwinan mereka.

Hal-hal yang kecil yang pada pandangan kita dianggap remeh adakalanya boleh meretakkan hubungan sekiranya dibiarkan berlarutan.
Apa yang penting, setiap pasangan perlu mengketepikan sikap terlalu emosi, selain memiliki sikap tolak ansur yang tinggi serta boleh menerima kekurangan dan kelebihan pasangan.

1- Saling mempercayai dan menghargai
Saling percaya mempercayai adalah kunci utama dalam hubungan suami isteri. Usah percaya bulat-bulat atau mudah melenting sekiranya anda mendengar pasangan anda sebagai contoh berdampingan dengan individu lain di tempat kerja. Sekiranya masih meragui, tanyakan sendiri kepada pasangan, usah cemburu buta tanpa bukti yang nyata.
Sekiranya dia berkata benar, belajarlah untuk mempercayai kata-katanya. Namun jangan terus percaya tanpa usul-periksa. Perhatikan gerak-gerinya.

Sekiranya suami anda kelihatan berubah seolah-olah kemaruk cinta seperti sentiasa kelihatan berseri-seri, suka berbohong dan menelefon secara sembunyi-sembunyi, mungkin ada sesuatu, tetapi jika tidak, anda tidak perlu hirau mengenainya.

Suami dan isteri sebenarnya harus selalu saling menghargai, memberi keyakinan dan memberi galakan kepada pasangan. Usah jadikan segala perbezaan antara anda berdua penyebab kepada masalah dalam rumah tangga. Apa yang penting selalu memaafkan setiap kesalahan yang pasangan anda lakukan selagi dia tidak melakukan sesuatu yang amat berat untuk anda tanggung.

2- Belajar memaafkan dan berkongsi keadaan
Saling belajar untuk memaafkan pasangan dan berjanji untuk tidak mengulanginya adalah penting untuk mengekalkan hubungan. Usah simpan dendam. Sekiranya ada perkara yang berlaku, jangan sesekali mengungkit kesalahan lalu yang menyakitkan hati. Ini kerana manusia itu tidak sempurna dan akan sentiasa melakukan kesalahan.

Kemampuan untuk saling berkongsi perkara dengan pasangan anda sama ada baik dalam keadaan suka dan duka adalah perkara yang amat terpuji demi melihat kerukunan dalam rumah tangga.

Jangan biarkan pasangan anda menghadapi kehidupannya yang bermasalah seorang diri tanpa anda mengetahuinya sedikit pun.

Di sinilah peranan anda sebagai seorang suami atau isteri untuk menjadi pemberi semangat, penyelamat dan sentiasa ada dengannya di saat suka dan duka.

3- Belajar terima kekurangan Anda perlu belajar menerima kekurangan pasangan. Dia juga perlu melakukan perkara yang sama. Sebagai contoh, sekiranya pasangan anda memperoleh pendapatan yang tinggi daripada anda, seharusnya perkara ini tidak membataskan hubungan dan seharusnya tidak memandang rendah antara satu sama lain. Semua orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

4-Jangan terlalu mengongkong dan berfikiran positif
Usah terlalu cerewet dan jangan mengatur hidup pasangan anda sehinggkan dia terasa terkongkong.

Bersikap terbuka dengan pandangan anda sekiranya ada perkara yang perlu diberitahu, usah dipendam. Luahkan sekiranya anda tidak menggemari sikapnya.

Cuba berfikiran positif mengenai apa yang pasangan anda lakukan. Jangan asyik mengesyakinya dengan fikiran yang bukan-bukan atau ada rasa tidak jujur terhadap pasangan.

5- Semakin lama semakin mesra Biarpun usia perkahwinan sudah semakin matang , kemesraan anda dengan pasangan perlu dipelihara. Mencium pipi pasangan ketika pulang ke rumah di depan anak-anak menunjukkan kemesraan ibu dan bapa mereka tidak pernah padam. Pendek kata biarpun masa berlalu kemesraan antara pasangan itu tidak terlerai.
Apabila dikatakan selalu tampil cantik untuk suami anda, ini bukan bermaksud anda tidak boleh melawa lagi sekiranya bentuk badan anda sudah berubah. Maksudnya di sini adalah anda tampil dengan kelihatan lebih harum, kemas dan bersih.

6 -Kejutan menggembirakan dan kotakan janjiBuatlah sesuatu kejutan yang menggembirakan pasangan pada sambutan majlis perkahwinan atau kelahirannya. Hadiah tidak perlu yang mahal, tulisan kata-kata cinta memadai.

Janji adalah penting untuk ditepati, cubalah belajar menepati janji dengan pasangan anda seperti balik awal, membelikan hadiah dan sebagainya dan jangan mencipta pelbagai alasan sekiranya tidak dapat mengotakan janji anda.

7- Pergi berbulan madu
Seterusnya pergilah berbulan madu berdua sahaja ke tempat yang paling romantis untuk menjalinkan kembali ikatan cinta anda. Selepas pulang daripada berbulan madu pastinya hubungan anda semakin intim dan mesra.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...