Saturday, August 17, 2013

MEMAAFKAN BUKAN MELUPAKAN


JIKA ditanya, sukarkah untuk memaafkan? Saya yakin, jawapannya ialah tidak sesukar melupakannya, betul tak?
Sebabnya, memaafkan boleh disebut dengan mudah walaupun belum pasti maaf yang diucap di bibir itu turut lahir daripada hati. Jika dibanding dengan melupakan, mana mungkin semudah melafaz kata maaf.
Realitinya, manusia yang dianugerahkan akal dan ingatan memang tidak mudah dapat melupakan setiap perkara yang dilalui sepanjang hayatnya.
Setiap detik yang pernah dilalui sama ada manis atau pahit kerap menerjah ingatan. Hatta, jika pernah terlupa, kenangan akan kembali bersemarak jika terusik dek sesuatu keadaan ataupun sebab.
Anda berusaha untuk melupakannya? Tidak perlu berusaha untuk menghapuskan kenangan silam sebab sememangnya kenangan silam itu tidak akan dapat dihapuskan.
Percubaan untuk melupakan sebenarnya tanpa disedari menjadi satu usaha untuk terus mengelakkan kenangan tersebut bersama anda. Minda kita bukannya memori boleh ubah atau boleh padam. Ia akan kekal di situ walau kita tidak inginkan.
Kenangan bermaksud perkara yang telah berlalu, sama ada manis atau pahit. Kenangan tidak mungkin dapat diulang semula. Biarpun fakta kejadiannya sama, sejarah tidak mungkin tercipta buat kali kedua kerana tarikh kejadian tetap berbeza.
Namun, kehidupan sesuatu yang berterusan selagi hayat dikandung badan. Lantas, cara terbaik untuk meneruskan hidup bersama kenangan silam adalah dengan membenarkan minda anda diisi kenangan baharu yang pastinya boleh jadi lebih indah dan membahagiakan, syaratnya, anda sendiri benarkan!
Manusia bukan makhluk yang sempurna. Ketidaksempurnaan memberi makna manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan atau kesalahan.
Rakan anda manusia, musuh anda manusia, pasangan anda manusia, malah anda juga manusia yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan.

Lumrah manusia
Mudahnya manusia tersalah (tidak sengaja membuat kesalahan) ialah sesuatu yang pasti. Manusia bersalah pula ialah satu kepastian yang tidak boleh sewenangnya dikeji.
Manusia mengulangi kesalahan yang sama, sememangnya perkara biasa dan jika itu berlaku, ia bukan lagi tersalah tetapi sengaja.
Perkara yang turut menjadi lumrah hari ini ialah ada individu enggan mengakui kesalahan sendiri malah meletakkan kesalahan tersebut kepada orang lain. Ia membuktikan sikap mementingkan diri sendiri.
Namun, mengakui kesilapan dan berusaha memperbaiki diri merupakan sikap yang terpuji malah perlu dicontohi.
Cinta kerap membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta. Kedua-dua keadaan ini cukup untuk menenggelamkan seseorang.
Bezanya sama ada orang tersebut akan terus lemas atau berjaya diselamatkan. Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya kerana yang pasti, Allah masih memberinya peluang dan harapan.
Perlu memaafkan
Allah masih membuka pintu taubat buat mereka yang berdosa malah memberi keampunan dan dijanjikan balasan syurga jika benar-benar bertaubat nasuha, sebagai bukti manusia boleh bersalah dan tersalah tetapi masih boleh berubah menjadi hamba-Nya yang soleh dan solehah.
Sekiranya Allah Yang Maha Berkuasa masih mampu mengampunkan dan memberi peluang, lantas kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama?
Hebatkah anda kerana tidak duduk dalam kasutnya, melakukan kesilapan yang pernah dilakukannya? Akuilah kebenaran, hidup kita ibarat roda, ada ketikanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah.
Maafkanlah dan berikan peluang kerana kelak, jika anda di tempat yang sama, akan ada orang lain yang akan memaafkan dan memberi anda peluang yang sama.
Tidak mampu untuk terus memberi peluang setelah peluang diberi masih terus dikhianati?
Jika itu keadaannya, anda masih perlu memaafkan. Memaafkan bukan bererti melupakan. Memaafkan bukan bermaksud memberi peluang.
Memaafkan menjadi petanda kita hamba yang akur kepada-Nya, mengakui ketidaksempurnaan seseorang dan muhasabah diri untuk menginsafi erti satu kesilapan yang disengaja mahupun tidak sengaja.
Maafkanlah walau silapnya sukar diterima. Maafkanlah walau tidak mampu nak berikan peluang seterusnya. Maafkanlah agar tiada lagi sakit hati dan dendam membara, tiada lagi rasa tidak tenang dan tidak tenteram di dalam jiwa anda.
Lantas, bersempena dengan ketibaan Syawal ini, ikhlaskan hati, senyum dan maafkanlah insan-insan yang telah menjerukkan hati anda.




Hakcipta terpelihara 

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...