Monday, August 6, 2012

VIVA KAU HADIR JUA

Pusat Pengajian Siswazah, UPM

Detik itu akhirnya tiba jua.  Berbekalkan semangat yang hampir hilang dan sisa-sisa perjuangan yang masih ada, kugagahi jua langkah ini. Langkah yang bakal menentukan sebuah perjuangan itu masih utuh atau sebaliknya.  Ya, sebuah perjuangan. Perjuangan inilah antaranya untuk mengangkat martabat diri, agar ia terus bermaruah.  Maruah dan pembuktian bahawa peluang-peluang yang diberi ini tidak pernah sesaat pun dipersiakan.  Malahan dipergunakan dengan sebaik mungkin.  Moga-moga generasi selepasku(anak-anakku) nanti menghargai detik-detik ini.  Bagaimana lelah, resah, pedih dan ngilu melalui proses untuk mendapatkan sekeping kertas yang tertera ”Ijazah Kedoktoran”. Ya.  Cuma sekeping kertas tetapi nilainya hampir mengubah seluruh persepsi diri.  Bukan kebanggaan tetapi nikmat daripada sebuah kesyukuran.  Terima Kasih Ya, Allah.

Sehari sebelum viva, 17.7.2012, janji temu dengan Prof Madya Dr Hajah Samsina Ab Rahman  telah dibuat. Seorang penyelia yang sentiasa memberi nafas pada setiap pertemuan.  Banyak membantu dan membantu. Memberi tunjuk ajar dan motivasi dan setiap kali pertemuan pasti ditanya khabar keluarga. Sihatkah? Macama mana hari tu? dan tidak lupa bercerita suasana kampus UPM yang penuh pelbagai bentuk dan peristiwa. Tidak lupa membicarakan dunia puisi dan kesusasteraan. Jadi setiap kali hadir di kampus ini, ia memberikan satu input dan menyegarkan kembali semangat untuk terus menghabiskan tesis ini. Pertemuan kali ini, sebenarnya untuk melengkapkan slide power point yang akan dipersembahkan pada viva voce, keesokkan harinya.  Bermula jam 11.00 pagi dan tamat jam 1.30 petang.  Agak lama juga perbincangan dan pembetulan.  Maklumlah, sebagai penyelia beliau juga mahu persembahan itu nanti lengkap dan padat, walaupun pembentangan nanti cuma mengambil masa 15-20 minit sahaja.

Setelah selesai, ku mengambil keputusan untuk bermalam di rumah kakak di Sri Damansara. Bertanya khabar dan apatah lagi beliau baharu keluar wad akibat tumpahan darah. Masih perlu berehat. Semoga kakak tabah menghadapi dugaan hidup ini.

18.7.2012 hadir jua, dari stesen Kepong Sentral terus ke Serdang menaiki komuter. Dari situ terus mendapatkan teksi dan ke Pusat Pengajian Siswazah. Ada orang bertanya mengapa saya senang dengan kenderaan awam. Entahlah, mungkin jua sifat penakut untuk memandu seorang diri dari Kota Bharu ke Serdang itu yang mengakibatkan ku lebih senang dengan kenderaan awan ini. Atau mungkin senang nak melelapkan mata...hehehe....kaki tidur jugak lah ya...

Jam 9.00 pagi aku sudah sampai ke Pusat Pengajian Siswazah (GSO), bertanya pada cik adik kat kaunter dan hemmm....hati dah mula ada rasa dup dap dup dap...aku terus ke bilik viva 3. Hah, pemeriksa luar dah siap menunggu walaupun vivanya bermula pukul 9.30 pagi. Aku terus bersalam dan bertanya khabar? HATI...dup dap dup dap...Ya, Allah permudahkan urusanku...Aku keluar setelah selesai kuhidupkan komputer dan memastikan bahan yang akan kupersembahkan (power point) siap dipasang.



Derap langkah pertama

Seketika penyeliaku Prof Madya Dr Hajah Samsina sampai. Kami berbual sambil menunggu yang lainnya. Yang pastinya, Dr Nik Rafidah sebagai pemeriksa dalam tidak akan hadir. Beliau bercuti sabatikal di Leiden Belanda. Jadi memeriksa tesisku di Belandalah ya...hanya laporan pemeriksaan yang dihantar. Wah, tesisku dah sampai Belanda! Jam 9.30 pagi sebelum viva satu perbincangan diadakan. Aku dan penyelia tidak dibenarkan hadir.  Kami hanya menunggu di luar sahaja. Perasaan yang agak keruan....sudah tidak ada. Hilang. Muncul satu semangat baharu untuk membuktikan bahawa aku mampu melakukannya. Ya...1 hasrat 1 cita-cita 1 PhD....macam tidak percaya aje...

Bersama penyelia sebelum sesi viva

Empat puluh minit kemudian kami dipanggil. Prof Madya Dr Hajah Samsina yang mengiringiku memberiku dengan kata-kata semangat dan mengucapkan selamat berjaya. Aku memasukki Bilik Viva 3 dan  bersalaman. Prof Ahmad Mahmood Musanif memperkenalkan satu-satu ahli panel untuk pembentangan tesis ini. selaku pengerusi pemeriksaan viva kali ini memberikan tempoh 15 minit untuk pembentangan tesis. Memulakan pembentangan dan masing-masing tekun mendengar dan sesekali juga dicelah oleh ahli panel. Rasa-rasanya agak santai juga pembentangan ni. Namun setelah selesai pembentangan sesi soal jawab membuatkan aku kadang-kadang terkeliru dengan jawapanku sendiri. Yang kata A, yang kata B, yang kata C.  Terkesima dibuatnya. Alamak hancurlah aku. Akhirnya pengerusi panel bersuara.

 Tesis yang dihasilkan

Bilik Viva: Sunyi dan tenang

”Saudara Aidil, terima kasih. Kami telah pun mendengar beberapa hujahan, pendapat dan pandangan. Oleh itu, kita perlu mesyuarat seketika.”

”Minta saudara Aidil dan penyelia Prof Madya Dr, keluar seketika. Selepas ni kami akan panggil semula” sambung Prof Madya Ahmad sambil tersenyum.

Seketika, kami dipanggil. Entahlah masa yang diambil pun aku kurang pasti.

”Setelah bermesyuarat, kami dapati beberapa kekuatan dan kelemahan pada tesis ini. Oleh itu, kami sepakat menyatakan tesis ini harus diperbetulkan dengan PINDAAN yang besar dan diberi tempoh selama 2 bulan untuk tujuan pembetulan.  Dalam tempoh tujuh hari dari sekarang laporan pembentangan tesis ini akan dikeluarkan.  Sila Berhubung dengan Pusat Pengajian Siswazah.”

”Apa-apa pun kami mengucapkan TAHNIAH di atas KEJAYAAN ini”. Jelas dan terang penerangan Prof Ahmad.

Alhamdulilah. Pengorbanan selama hampir 3 tahun lebih menumpukan kepada tesis ini akhirnya, inilah pengucapan yang paling MAHAL dan berHARGA yang pernah kuperolehi. Terima Kasih, Ya Allah. Terima Kasih...Terima Kasih...Terima Kasih...Sujud syukur kepada-Mu.

Terima kasih buat penyelia Prof Madya Hj Samsina Ab Rahman, AJK Penyeliaan Prof Madya Dr Arba’ie Sujud dan Dr Kamariah Kamarudin, yang sentiasa memberikan bantuan dan dorongan motivasi untuk terus melangkah menuju kejayaan. Terima Kasih buat pemeriksa Prof Dr Mohammad Mokhtar Hassan, Prof Madya Dr Mohd Zariat Abd Rani dan Dr Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi yang setia membaca dan memberikan ulasan tentang tesis yang dihasilkan. Terima Kasih UPM dan teramat terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia yang menaja perjalananku ini. TERIMA KASIH.

Kini, masanya untuk memperbetulkan tesis digalas. ADUHAI...SATU LANGKAH LAGI....

Amin...

MUSIBAH DAN KEBAHAGIAAN: 1 UJIAN SEBUAH KEHIDUPAN





PUASA merupakan ujian untuk kita. Kita diuji dengan banyak perkara. Kita diuji agar tidak menurut hawa nafsu dan perasaan kita.
Kita dihalang daripada melakukan apa yang kita suka. Kita diminta untuk berkorban. Sepatutnya, puasa ini juga menjadi medan untuk kita bermuhasabah diri bahawa kehidupan kita ini adalah satu ujian.
Dalam kehidupan kita, adakah setiap hari yang dilalui membahagiakan? Atau mungkin juga kita merasakan diri kita terlalu malang apabila ditimpa musibah yang tak kunjung padam.
Hakikatnya, hidup kita mungkin membahagiakan. Bagaimanapun, kerana ada sesekali kita ditimpa kecewa, kita merasakan bahawa kita satu-satunya individu yang dipilih untuk menanggung ujian yang teruk.
Malah, kita memadamkan semua cerita bahagia yang berlaku sepanjang hidup kita.
Orang yang lambat berkahwin misalnya, merasakan bahawa merekalah manusia paling kecewa. Mereka yang tidak mampu memiliki kebahagiaan berkeluarga seperti orang lain.
Ini membuatkan kita jarang memerhatikan bahawa mereka yang berkeluarga juga adakalanya sedang ditimpa dengan banyak musibah, misalnya perceraian atau keluarga yang berpecah-belah.
Sebenarnya, inilah yang selalu berlaku dalam kehidupan manusia. Kita membandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih baik. Jarang kita merenung ke dalam diri melihat kelebihan yang kita miliki.
Ini telah menyebabkan kita melupakan kebahagiaan yang dimiliki. Pemikiran kita mencari alasan untuk menyatakan bahawa kitalah manusia yang paling mengecewakan.
Puasa sepatutnya mampu membuka ruang untuk kita berfikir bahawa setiap hari kita sebenarnya sedang diuji.
Ujian dalam bentuk nikmat
Tidak semestinya dalam bentuk musibah kerana ujian juga adakalanya dalam bentuk nikmat yang membahagiakan. Ia mungkin ujian yang lebih berat kerana kita mungkin tidak menyedarinya.
Katakan kita dianugerahkan dengan kebahagiaan yang besar. Pernahkah kita merasa bahawa kita juga sedang diuji?
Ada segelintir orang kaya yang terlupa haknya kepada orang miskin kerana mereka terlupa bahawa mereka juga sedang diuji.
Ada yang berjaya dalam hidup selalu melihat bahawa mereka yang gagal ialah mereka yang malas dan tidak berusaha. Mereka yang berjaya dalam akademik pula adakalanya melihat orang lain sebagai tidak rajin berusaha seperti mereka.

Hakikat yang jarang diambil tahu bahawa kejayaan mereka itu mungkin satu ujian yang didatangkan dalam bentuk yang lain.
Semua itu berlaku kerana manusia selalu menganggap bahawa apa sahaja kejadian yang berlaku dalam diri manusia ialah bersebab dengan konsep 'dunia ini adil'. Dalam kata lain, orang yang baik akan diberikan kebaikan dan orang yang teruk akan dibalas seadanya.
Dalam psikologi, ada sekelompok pengkaji berminat dengan topik beliefs in a just world. Kajian-kajian mendapati, tatkala ada orang yang tidak percaya bahawa dunia ini adil, ada pula yang mempercayai bahawa dunia ini adil.
Mereka yang percaya bahawa dunia ini adil biasanya cenderung memberi alasan bahawa kegagalan seseorang itu disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri.
Sebab itu, apabila ada yang yang ditimpa dengan musibah contohnya diragut atau dirogol, kategori manusia yang berpandangan bahawa dunia ini adil biasanya menyalahkan mangsa. Misalnya mangsa telah membawa beg tangan yang mahal atau memakai pakaian yang seksi.
Sekiranya ada orang lain yang sakit, mereka akan berpandangan bahawa mereka itu telah tidak menjaga kesihatan.
Mereka jarang memikirkan bahawa keburukan yang berlaku ke atas seseorang tidak semestinya kerana mereka telah membuat perkara yang tidak betul.
Konsep dunia ini selalunya adil telah menyebabkan manusia lambat memberi pertolongan kepada orang lain. Mereka beranggapan musibah yang berlaku ke atas diri manusia semuanya perlu bersebab dengan tindakan buruk individu itu sendiri.
Inilah hakikat dunia. Ada yang diuji dengan musibah. Ada yang diduga dengan kebahagiaan.
Moga puasa ini membuka pintu hati kita bermuhasabah dengan diri dan tidak selalu melihat orang lain daripada sudut pandangan negatif.
Sumber: Kosmo

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...