Thursday, December 30, 2010

Edisi 7: Reka Bentuk Penyelidikan


Sambungan...

Prosedur Penyelidikan

e. Menentukan Strategi dan Teknik

Maklumat dapat diperolehi daripada berbagai-bagai sumber. Strategi dan teknik merupakan cara-cara yang kita gunakan untuk mengumpul data-data atau maklumat dalam penyelidikan. Strategi merujuk kepada gaya atau orientasi umum untuk menyelesaikan masalah penyelidikan. Strategi yang dianggap tradisional ialah seperti eksperimen, tinjauan (survey) dan kajian kes. Tujuan kajian akan membantu menentukan strategi kajian. Teknik atau taktik pula merujuk kepada kaedah khusus dalam rekabentuk kajian. Contohnya seperti temubual, soal selidik, partisipasi, dan sebagainya. Setiap strategi dan teknik masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Penyelidikan boleh memilih strategi dan teknik tertentu ataupun menggabungkannya. Apa yang penting ialah strategi dan teknik yang dipilih mempunyai ciri-ciri kredibiliti, keobjektifan, kebolehanpercayaan, keesahan dan kebolehan untuk generalisasi. Penyelidikan yang empirikal akan memilih strategi dan teknik yang sesuai dan betul dalam mengumpul data.

Secara amnya terdapat dua kategori data iaitu data primer dan data sekunder. Data primer merupakan data-data yang diperolehi secara langsung daripada ‘kejadian’ sosial sebenar. Antara teknik yang selalu digunakan untuk mendapatkan data primer adalah seperti soal selidik, temubual, dan partisipasi. Data sekunder pula merupakan maklumat-maklumat daripada bahan sedia ada dan boleh diperolehi melalui rujukan perpustakaan. Ia melibatkan kajian-kajian teks, dokumen, kertas kerja, mikro filem, media massa, dan sebagainya.

Sungguhpun setiap penyelidikan akan menentukan teknik masing-masing, secara umumnya boleh dibezakan antara teknik yang dipilih oleh penyelidikan kualitatif dan penyelidikan kuantitatif. Teknik yang biasa dipilih oleh penyelidikan kualitatif ialah pemerhatian, temubual, soal selidik, kajian-kajian bahan seperti dokumen dan teks, visual seperti gambar dan video, laporan rasmi, bahan-bahan ephemera seperti iklan, poster, risalah, diari, kartun, dan lain-lain. Bagi penyelidikan kuantitatif strategi asas ialah soal selidik, menganalisa maklumat-maklumat data-data numerikal yang sedia ada dan melakukan eksperimen statistik.

f. Menjadualkan Kerja

Sesuatu penyelidikan perlulah dirancang dengan teliti. Perancangan atau pelan tindakan akan membantu seseorang penyelidik dalam mendapatkan maklumat dan memudahkan kerja-kerjanya. Perancangan hendaklah bersesuaian dengan skop kajian, kaedah yang dipilih, kemudahan-kemudahan fizikal dan situasi si pengkaji. Dari segi skop, skop yang luas memerlukan masa yang mungkin lebih panjang.

Kaedah kuantitatif memerlukan masa untuk menyediakan soal selidik, melakukan kajian rintis, mengedarkan borang dan menganalisa data-data numerikal. Bagi kaedah kualitatif masa yang panjang mungkin diperlukan mengaturkan temujanji, mengadakan perjumpaan dan menganalisa data-data selepas temubual. Kemungkinan pula seorang penyelidik sepenuh masa akan menjadualkan masa yang lebih singkat berbanding dengan penyelidik sambilan dalam meyempurnakan kerja-kerja penyelidikan yang serupa. Dari segi kemudahan fizikal penyelidik patut mengambil kira keperluan-keperluan logistik dan anggaran perbelanjaan. Oleh itu jadual kerja perlulah diselaraskan dengan peruntukan kewangan. Sungguhpun sebahagian proses penyelidikan boleh dilakukan di dalam perpustakaan, menyelidik merupakan aktiviti turun ke padang. Maksudnya penyelidik sepatutnyalah melihat dan mengkaji kejadian sebenar dalam kehidupan sosial.

Oleh itu penyelidikan yang signifikan adalah berdasarkan data-data hasil daripada kerja lapangan seperti temubual, pemerhatian, penyertaan, dan soal selidik. Beberapa masalah mungkin dihadapi dalam melaksanakan kerja lapangan. Antaranya pelbagai isu etika perlu diselesaikan. Pertamanya kita perlu mendapatkan kebenaran daripada autiroti berkenaan. Jika kita hendak membuat kerja lapangan di sekolah misalnya, kebenaran pengetua terlebih dahulu diperlukan. Keduanya penyelidikan melibatkan sensitiviti banyak pihak. Terdapat penyelidikan yang mungkin menyinggung perasaan pihak tertentu. Kajian mengenai persoalan sekularisme atau seks misalnya, dianggap sensitif oleh banyak pihak. Oleh itu pengkaji perlulah berhati-hati dalam menanganinya. Ketiganya penyelidik mesti menyedari akan hak responden. Responden tidak boleh dipaksa untuk diselidik. Segala jawapan mereka mestilah secara sukarela. Keempatnya, penyelidik sepatutnya tidak bersikap berat sebelah atau bias dalam kajiannya. Penyelidikan yang bersifat etnosentrik mungkin akan menjejaskan keobjektivitian kajian. Ringkasnya penyelidikan melibatkan persoalan etika, isu-isu sensitif dan politik yang tidak dapat dielakkan oleh penyelidik. Maka terpulanglah kepada si penyelidik untuk mendapatkan maklumat yang beretika, benar dan tepat.

g. Menganalisa dan Menginterpretasi Data

Menginterpretasi data merupakan perkara penting yang menarik minat penyelidik. Penganalisaan perlu dilakukan dengan teliti. Data-data akan membuktikan atau menafikan hipotesis penyelidikan. Bagi penyelidikan kuantitatif, data-data perlu diproses dengan pengiraan yang berhati-hati supaya tidak berlaku kesalahan statistik. Sekarang penganalisaan data adalah lebih mudah dengan bantuan program komputer. Dalam menganalisa statistik, kita harus akur dengan kenyataan ‘statistik tidak selalunya benar-benar membuat kenyataan yang tepat, ia hanya mencadangkan kenyataan yang betul, iaitu ada kemungkinan betul dan ada kemungkinan tidak betul’. Maklumat-maklumat hasil penyelidikan kualitatif pula perlu dicatatkan semasa atau sebaik sahaja kerja lapangan dijalankan. Ini terutamanya untuk mengelakkan penyelidik misalnya ‘terlupa’ akan maklumat-maklumat yang baru diperolehinya. Penganalisaan dapat dibantu dengan penggunaan carta, jadual, graf, rajah, transkrip, dan sebagainya.

h. Melaporkan Hasilan

Melaporkan hasil bermaksud menukarkan penyelidikan yang telah dijalankan kepada bentuk susunan teks bertulis. Ia merupakan peringkat akhir sesuatu penyelidikan. Penulisan laporan selalunya dibahagikan kepada beberapa tajuk kecil iaitu pengenalan dan latar belakang kajian, hipotesis dan kaedah kajian, analisa data-data, rumusan dan penutup, bibliografi dan lampiran-lampiran yang berkaitan.

Sebelum bahagian pengenalan, laporan selalunya mengandungi ruang untuk ‘halaman’ dan ringkasan atau abstrak kajian. Bahagian pengenalan menerangkan mengenai tajuk dan bidang kajian. Pada kebiasaannya sebahagian besar isinya adalah berdasarkan rujukan-rujukan sekunder. Bahagian hipotesis pula menyatakan harapan-harapan pengkaji terhadap hasil kajian. Ia juga menerangkan rasional di sebalik kaedah yang dipilih. Selepas itu barulah penulisan membincangkan hasil-hasil berdasarkan data-data yang diperolehi. Hujahan-hujahan yang kritikal disertakan. Dapatan-dapatan utama merupakan perkara-perkara yang berkaitan secara langsung dengan permasalahan penyelidikan. Mungkin juga terdapat dapatan-dapatan sampingan yang tidak secara langsung berkaitan dengan topik kajian. Akhirnya penyelidik akan membuat rumusan daripada hasil kajian dan membuat cadangan-cadangan yang berkaitan. Adalah menjadi kebiasaan setiap penyelidikan sosial mencadangkan kajian-kajian lanjut berdasarkan dapatan-dapatannya.

Sungguhpun dari beberapa segi setiap projek penyelidikan adalah unik tetapi semua projek itu melibatkan kelima-lima peringkat asas yang sama. Peringkat-peringkat asas ini ialah memilih permasalahan; merumuskan rekabentuk penyelidikan; mengumpul data; pengkodan dan menganalisis data dan mentafsirkan hasil kajian. Tiap-tiap peringkat itu saling bergantung antara satu sama lain dan keseluruhan proses penyelidikan itu seolah-olah membentuk suatu kelingkaran. Jika hipotesisnya ditolak, penyelidik mesti mengkaji semula kajian-kajian dan membuat kajian sekali lagi. Malah jika hipotesisnya betul, penyelidik selalu berhajat untuk membuat replikasi atau mengulang semula kajiannya untuk memastikan penemuan-penemuan adalah tepat. (Kenneth D. Bailey,1992) .

KESIMPULAN

Semua aktiviti tentu ada matlamatnya. Selain daripada bertujuan untuk menyelesaikan masalah, mencari kebenaran, satu hobi atau tugasan rasmi, aktiviti penyelidikan juga merupakan aktiviti penting dalam kehidupan. Ia dapat melengkapkan lagi fungsi kemanusiaan, iaitu naluri ingin tahu sesuatu fenomena dan naluri ingin berkuasa membuat ramalan. Kajian mestilah saintifik, sistematik, logik, dinamik, berguna dan berbukti. Harus diingat bahawa proses penyelidikan mencari kebenaran adalah proses yang sukar, perlahan dan jarang sekali membuat penemuan yang menggemparkan.

Akhir sekali, dalam apa jua penyelidikan yang dilakukan, penyelidik haruslah mengikuti kod etika penyelidik yang bertujuan menjaga kebajikan responden dalam sesuatu penyelidikan. Proses penyelidikan telah menggariskan bagi setiap pengkaji mengenai sumbangan dan peranan melalui penyelidikan dengan menyediakan satu gambaran secara umum tentang kaedah dan teknik yang harus dilaksanakan oleh penyelidik. Setiap penyelidikan yang dijalankan semestinya mempunyai kaedah dan tatacara tersendiri, maka setiap penyelidik perlulah mengetahui dan sentiasa mengikut tatacara tersebut agar setiap hasil penemuan kajian tidak dipersoalkan.

...Selesai...

Semoga Mendapat Manfaatnya: 30 Disember 2010

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...