Sunday, July 18, 2010

Selingkar HadirKU...

USM, Minden, ku datang lagi setelah hampir 10 tahun meninggalkanmu. Banyak sekali perubahan terbina dari dalam laman indahmu. Syabas menjadi universiti Apex yang memaksa segala tenaga pengajar dan pelajarmu bertungkus lumus untuk memastikan kau tetap dipersada teratas negara. Pencapaian cemerlang memertabatkan dirimu. Masih ingat betapa sukarnya untuk memperoleh A dalam setiap subjek yang di ambil, pencapaian C sudah cukup memberi kepuasan ketika itu. Ketelitian pada setiap markah itulah aku hampir-hampir tewas dipersadamu.

Prof Madya Dr Hjh Samsina Abd Rahman: Universiti Putra Malaysia


Prof Madya Dr Rahimin Affandi: Universiti Malaya


Prof Madya Dr Sohaimi Abd Aziz: Universiti Sains Malaysia


Kini kehadiran ku atas ajakan penyelia tesis, Prof Madya Dr Hajah Samsina Abd Rahman untuk bersama-sama sebagai pembentang membuatkanku lebih teruja dan berbangga. Apatah lagi seminar ini mempunyai kaitan yang besar dalam proses penyiapan tesis Phdku. Menghadiri seminar sebesar ini (Seminar Kebangsaan Alam Dalam Kesusasteraan-16 hingga 17 Julai 2010) yang turut disertai peserta-peserta dari Indonesia, Brunei, Thailand dan juga Singapura menjadikan diri begitu kerdil dalam pentas ini. Sebanyak 61 kertas kerja dibentangkan. Alhamdulilah pembentangan yang dilakukan berjalan dengan lancar dan baik.

Dr Membunga @ Siti Meriam Yaacob: Universiti Sains Malaysia


Prof Madya Dr Noriah Taslim: Universiti Brunei Darul Salam


Prof Madya Dr Ho Abdullah: Universiti Kebangsaan Malaysia


Pertemuan dengan pensyarah USM seperti:

Dr. Sakinah Abu Bakar seorang yang prihatin memberikan semangat dan ruang untuk pengisian di depan hari. Banyak memberi sokongan dan dorongan untuk mengejar dan menghambat cita-cita walau di usia yang matang ini. Berkisar cerita peribadi sendiri mencapai tahap sebegitu adalah lahir dari jiwa dan kesungguhan. Terima Kasih Dr.

Dr Membunga@Meriam Yaakob, bekas pensyarah turut memberi inspirasi dan kekuatan dalam menyiapkan segala tugasan dan harapan yang disandarkan. Masih bersemangat dan berbincang hal-hal akademik. Sukarnya memperolehi Phd, namun manisnya tetap mekar untuk dikenang sepanjang hayat.


Pn Kartini Anwar : Universiti Teknologi Nanyang Singapura


Dr. Haji Morsidi Haji Muhammad: Universiti Brunei Darussalam

Dan kesempatan bertegur sapa dengan Profesor-profesor, pensyarah-pensyarah, dan pelajar-pelajar membuatkan seminar ini lebih bererti dari segalanya.

Buat Penyelia Tesisku Prof Madya Dr. Hjh Samsina Abd Rahman (UPM), terima kasih kulaungkan atas bantuan dan kesabaran melayan keranahku serta semangat dan tunjukajar akan kubuktikan suatu hari nanti. InsyaAllah.


Penulis: Universiti Putra Malaysia


dan...Terima kasih buat urusetia seminar dan Dr Rahimah A. Hamid yang cukup berjaya dalam menganjur seminar ini...

dan kini HADIRku di sini...Cuma ini..




Saturday, July 10, 2010

Edisi 2: Reka Bentuk Penyelidikan

PERANAN TEORI DALAM PENYELIDIKAN

Kerlinger(Ahmad Mahdzan,1983:11) mentakrifkan teori sebagai himpunan konsep, definisi, dan saranan, yang saling berkait, yang memberi gambaran teratur tentang sesuatu fenomena dengan menyatakan hubungan antara angkubah-angkubah untuk menerangkan dan meramalkan fenomena itu.

Sabitha Marican (2005:49) menjelaskan teori ialah satu set pernyataan yang abstrak dan umum yang disokong oleh syor (atau hipotesis yang dibuktikan). Berdasarkan makna ini, beliau menegaskan bahawa teori dan hipotesis adalah dua hal yang tidak dapat dipisahkan kerana teori itu sendiri disokong melalui hipotesis. Beliau juga menjelaskan bahawa teori adalah satu set kenyataan mengenai perkaitan antara beberapa pembolehubah. Oleh yang demikian, sesuatu teori itu mestilah boleh diuji dan merupakan sesuatu yang benar atau sebaliknya sehinggalah ia dibuktikan.

Menurut Sulaiman Masri(2005:12) teori ialah dasar dan rangka suatu ilmu pengetahuan. Ia merupakan sekumpulan binaan konsep, definisi, dan dalil yang saling berkait yang menghadirkan suatu pandangan yang sistematis bagi maksud menjelaskan dan meramalkan fenomena. Pakar-pakar penyelidikan berpendapat bahawa teori yang dipandang ilmiah atau berguna untuk penyelidikan ilmiah, perlu berupaya menilai data yang sesuai atau yang bertentangan dengannya. Terdapat perbezaan antara teori yang berbentuk tak formal dan teori yang berbentuk formal. Teori tak formal, banyak diperhatikan pada teori-teori pendidikan yang menggunakan bahasa sehari-hari terutama dalam ilmu kemasyarakatan. Teori yang berbentuk formal pula membezakan postulat hipotesis, kesimpulan dan generalisasi dengan sesuatu masalah (atau pemboleh ubah/variabel) diperlihatkan dengan jelas, sehingga penyelidik mampu mengukur setiap pemboleh ubah untuk menguji kebenaran teori.

Oleh yang demikian, sesuatu teori yang baik dapat menjelaskan kepada kita tentang sesuatu fenomena. Ia memandu kita untuk mengisi jurang literatur yang dikenal pasti sama ada mendalami sesuatu fakta yang telah diketahui atau menjelaskan perkara-perkara yang masih kabur. Justeru, Sabitha Marican (2005:50) menyarankan 3 peranan utama teori: Pertama, mengorganisasikan pengetahuan dan menjelaskan hukum. Kedua, meramal hukum yang baru. Ketiga, menjadi panduan untuk penyelidikan.

Dengan yang demikian, sesuatu teori yang dapat digunakan sebagai landasan suatu penyelidikan hendaklah tidak perlu berbelit-belit. Teori yang baik hanya memiliki satu idea utama yang mudah difahami. Namun, terdapat teori yang kompleks. Sehinggakan jenis teori dan tingkat kompleksitinya juga pelbagai. Kesemua teori ini, sama ada teori berpostulat tunggal atau berpostulat banyak, dapat digunakan sebagai dasar penyelidikan. Pada teori yang berpostulat tunggal, membolehkan penyelidikan menumpu pada satu atau sejumlah kecil angkubah. Pada teori yang berpostulat banyak, membolehkan banyak lebih diutamakan. Walau bagaimanapun, teori berpostulat banyak bukanlah satu jaminan kesempurnaan teori dan bukan juga jaminan ia sesuai digunakan sebagai dasar penetapan ilmu pengetahuan, dan adakah semua angkubah sudah jelas dan dapat diselidik atau diukur? Dengan yang demikian, sebuah teori yang berguna ialah teori yang lebih sederhana dengan lebih mendasarkan diri pada tingkat kemajuan ilmu pengetahuan dan dengan mengurangi angkuhan yang kabur.

Jelas sekali, teori dapat menunjukkan bidang-bidang yang harus diselidiki sehingga hasil maksimun dapat dicapai. Selain daripada itu, penyelidikan juga dipergunakan sebagai dasar untuk membuat ringkasan mengenai sesuatu kajian, serta memberikan asas untuk memberi penjelasan yang lebih baik, dan nilai-nilai ramalan yang berguna untuk masa akan datang. Hasil-hasil penyelidikan juga dapat digunakan untuk menguji kebenaran teori yang telah ada, dapat menjelaskan konsep-konsepnya, serta dapat membantu dalam merumuskan teori yang baru atau memperluaskan teori yang lama. Ini bermaksud penyelidikan yang dilakukan sebagai asas membentuk sesuatu teori berkemungkinan melahirkan teori-teori baru, yang selanjutnya akan mendorong penyelidikan baru.

...Semoga dapat membantu...



Thursday, July 8, 2010

Edisi 1: Reka Bentuk Penyelidikan

( Buat Mereka yang tercari-cari tentang "Penyelidikan": Selamat Menempuh Alam Pasca)

PENGENALAN

Sejarah penyelidikan bermula sejak tamadun manusia. Masalah yang dialami manusia sendiri menyebabkan manusia mengkaji dan terus mengkaji bagaimana memperoleh hasil penyelidikan yang sesuai daripada semasa ke semasa bagi memperbaiki kehidupan mereka. Kemajuan yang dicapai di dunia pada hari ini adalah hasil daripada penyelidikan yang dijalankan oleh manusia. Justeru itu kehidupan seharian manusia sentiasa dipengaruhi oleh hasil-hasil penyelidikan.

Penyelidikan sentiasa dilakukan oleh manusia. Contohnya, organisasi kerajaan dan swasta sentiasa menjalankan penyelidikan yang dirancang dengan teliti bagi memperbaiki lagi perkhidmatan dan produktiviti masing-masing. Begitu juga dengan ahli-ahli antropologi sentiasa menjalankan penyelidikan berkenaan kesan-kesan tinggalan tamadun silam bagi mengetahui corak kehidupan pada masa lampau.

PENGERTIAN PENYELIDIKAN

Mengikut Ahmad Mahdzan Ayob(1983:3) penyelidikan ialah tatacara yang teratur yang digunakan oleh manusia untuk menambah ilmu pengetahuan baru, dan berbeza sekali dengan penemuan ilmu secara kebetulan atau spotan. . Justeru itu penyelidikan adalah satu bidang yang luas dan berkembang. Sebahagian besar daripada kemajuan yang dicapai di dunia moden kini adalah hasil daripada kajian penyelidikan ahli-ahli sains.

Menurut Sakaran(2000), penyelidikan dikatakan sebagai satu proses untuk mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah setelah membuat satu analisis dan penelitian yang mendalam terhadap faktor-faktor yang berkaitan manakala Tuckman(1978), penyelidikan ialah satu usaha yang sistematik untuk mendapatkan jawapan kepada sesuatu masalah.

Menurut J. Supranto(1986:7) satu kegiatan pengumpulan, pengolahan, pengajian dan analisa data yang dilakukan secara sistematik dan cekap untuk memecah sesuatu persoalan atau menguji hipotesis.. Oleh itu, penyelidikan satu pengkajian yang sistematik dalam menyediakan satu informasi bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Melaluinya, pengkaji memperoleh maklumat terkini dan terbaru di samping memperbaharui teori, kesimpulan dan hukum-hukum yang sedia ada.

Penyelidikan berguna kerana ia adalah satu tatacara teratur yang digunakan oleh manusia bagi menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman. Penyelidikan dijalankan dengan lebih terperinci dan menggunakan langkah-langkah khusus yang telah dikhaskan. Pengetahuan yang baru diperoleh memberi banyak manfaat dan faedah bergantung kepada bidang yang diterokai. Kebiasaannya, penyelidikan bertujuan mencari jawapan kepada persoalan yang dianggap penting dan berfungsi bagi meningkatkan ilmu pengetahuan. Di samping itu membentuk globalisasi, prinsip-prinsip ataupun teori sebagai asas ramalan kepada masalah yang akan berlaku.

Penyelidikan juga sering dikaitkan dengan sifat sejagat kerana ia bertujuan mencari hubung kait yang stabil antara sebab dan akibat. Penyelidikan sangat penting kepada kita semua terutamanya masyarakat moden seperti negara kita yang sedang membangun.

Setiap negara perlu menjalankan penyelidikan tersendiri dalam pelbagai bidang terutamanya yang berkaitan dengan kemasyarakatan. Penyelidikan adalah usaha mencari data yang digunakan bagi memecahkan sesuatu persoalan tertentu, atau sekadar ingin mengetahui sama ada wujudnya ataupun tidak sesuatu persoalan itu.

Daripada segi sejarah perkembangan penyelidikan pula, jelas membuktikan kaji selidik adalah suatu langkah sistematik yang mengkaji perhubungan antara pemboleh ubah. Langkah sistematik ini adalah elemen yang terpenting dalam konsep asas penyelidikan. Seseorang berkemungkinan melakukan sesuatu kajian ataupun pemerhatian, tetapi tindakan itu tidak membawa sebarang makna yang berkesan sekiranya proses langkah sistematik diabaikan.

Mengikut pandangan Mohd. Sheffie Abu Bakar(1987:14) penyelidikan bertujuan mendapatkan kebenaran yang mempunyai logik mengenai sesuatu fenomena, tetapi ia tidak bererti bahawa kebenaran yang didapati itu merupakan kebenaran yang muktamad mengenai fenomena itu. Fakta-fakta baru atau fakta-fakta yang tidak didapati semasa penyelidikan dijalankan mungkin akan timbul dan ini akan mengubah keputusan penyelidikan dan dengan itu pengetahuan akan sentiasa berubah.

Hasil penyelidikan adalah pengetahuan baru. Ini kerana pengetahuan yang ada bersifat berubah-ubah. Dengan adanya sifat ini, sesuatu pengetahuan yang dianggap baru pada suatu masa mungkin tidak lagi sesuai pada masa lain. Begitu juga pengetahuan yang ada dan sesuai di negara-negara Barat mungkin tidak ada dan tidak sesuai di negara kita.

Menurut Mohd. Majid Konting (2000:2) penyelidikan bermula apabila suatu masalah mula dirasai. Masalah yang dihadapi adalah rangsangan kepada penyelidik. Akal yang dirangsang oleh masalah akan berfikir dan menimbang sama ada sesuatu masalah yang dihadapi adalah masalah sebenar dan memerlukan penyelesaian. Akal akan mengenal pasti dan menganggarkan sejauh mana masalah tersebut perlu dikaji. Akal juga menentukan sebanyak mana faedah yang dapat diperoleh daripada penyelidikan ke atas masalah. Akal terus dirangsang oleh masalah. Tanpa dirangsang oleh masalah, akal tidak akan berfungsi dan seterusnya penyelidikan tidak akan berlaku.

Justeru itu, aktiviti penyelidikan sebenarnya digerakkan oleh suatu keperluan yang dirasai oleh masyarakat. Contohnya, masalah penyalahgunaan dadah, masyarakat merasakan bahaya dan implikasi buruknya dan masalah ini perlu dibanteras. Oleh itu masyarakat seluruhnya merasakan ia perlu diberi perhatian dan berusaha mencari apakah sebabnya, apakah faktor yang mempengaruhinya maka ia perlu kepada pengkajian dan penyiasatan. Perkara-perkara inilah yang dapat menghasilkan suatu perancangan bagi menjalankan satu penyelidikan.

Seperti yang diperkatakan, penyelidikan adalah suatu proses penghasilan pengetahuan. Dengan erti kata lain, ia bukan melibatkan pemindahan kenyataan ataupun sesuatu kebenaran daripada satu sumber ke tempat lain contohnya, pemindahan kenyataan daripada sebuah buku terus ke sebuah kertas kerja ataupun laporan. Sebaliknya aktiviti penyelidikan dilakukan melibatkan pemindahan maklumat daripada satu tempat ke tempat yang lain bagi menambahkan pengetahuan masyarakat dan mengurangkan kejahilan bukan memindahkan kenyataan yang menjadi pengetahuan umum.

Penyelidikan adalah satu cabang ilmu yang saintifik dan sistematik. Kaedah logik dan sistematik digunakan bagi melahirkan pengetahuan serta mengasaskan kajian-kajian sebenar. Menurut Mohamad Najib Abdul Ghafar(1999:1) penyelidikan dapat membantu manusia mencari makna dan kebenaran tentang fenomena dunia. Sesuatu penyelidikan itu perlu dijalankan kerana ia bertujuan mengelakkan diri daripada membuat kesilapan yang melulu ke atas sesuatu fenomena sosial dan tidak hanya berdasarkan pada pemerhatian yang ringkas dan bukti yang tidak lengkap.

Setiap pemerhatian dan kajian mestilah dibuat oleh pengkaji yang terlatih dan memahami kaedah penyelidikan. Setiap penyelidik mestilah pakar dalam bidangnya dan dapat menggunakan kaedah penyelidikan yang sebaik-baiknya dalam sesuatu penyelidikan. Ini kerana penyelidik yang tidak terlatih tidak dapat memahami apa yang hendak dilihat dan bagaimana hendak menginterpretasikan sesuatu hasil yang diperoleh.

Menurut Kamarudin Ngah(1990) peranan penyelidikan amat penting dalam proses pembangunan manusia dan sumber. Ia menjadi input utama kepada sebarang cadangan perubahan yang berkesan. Seseorang penyelidik seharusnya menggunakan proses pemikiran bagi menjayakan satu-satu kajian. Setiap penyelidikan mestilah mempunyai suatu rangka ke arah penyelidikan yang baik, kemas dan fleksibiliti bagi penyesuaian sepanjang kajian. Sebelum menjalankan sesuatu penyelidikan, seharusnya penyelidik mengetahui dan memahami pengertian dan matlamat penyelidikan yang dijalankannya.

Mengikut Webster’s New International Dictionary, penyelidikan ialah membuat satu inquiri atau penyiasatan yang rapi dan kritikal dengan sepenuh pemerhatian bagi memperoleh fakta-fakta dan prinsip-prinsip dalam menentukan ataupun menjawab sesuatu persoalan dan permasalahan.

Selain itu, penyelidikan juga boleh didefinisikan sebagai aktiviti yang teratur atau sistematik bagi mencari jawapan kepada soalan-soalan khusus yang dikemukakan berkenaan sesuatu masalah yang hakikatnya sudah dikenal pasti. Definisi ini menekankan kepada wujudnya beberapa soalan yang perlu dijawab. Soalan-soalan itu dipanggil soalan penyelidikan. Dalam sebarang penyelidikan, seseorang itu bertujuan mencari dan mentafsirkan fakta-fakta baru, membaharui teori, kesimpulan atau hukum-hukum yang sedia ada dengan mengambil kira fakta-fakta baru tadi.

Penyelidikan juga adalah usaha yang sistematik dan tersusun bagi mengkaji sesuatu masalah khusus yang memerlukan penyelesaian. Sesuatu masalah itu perlu dikenal pasti terlebih dahulu. Kemudian barulah langkah mencari maklumat, menganalisis data dan mengenal pasti faktor-faktor yang berkaitan dengan masalah itu diambil. Kesemua kaedah ini dikenali sebagai penyelidikan kerana ia adalah aktiviti dan siri yang dirancang secara sistematik bagi membolehkan pengkaji memahami masalah yang perlu ditangani atau diminimumkan.

Pengertian lain bagi penyelidikan ialah sebagai suatu aktiviti yang tersusun, sistematik, berdasarkan data, kritikal dan penyiasatan yang saintifik kepada masalah khusus yang dilakukan bertujuan mendapatkan jawapan atau penyelesaian kepada masalah berkenaan. Penyelidikan mempunyai skop yang luas dalam mengkaji setiap aspek kehidupan. Pada kebiasaannya, penyelidikan dilakukan oleh orang perseorangan atau kumpulan-kumpulan tertentu. Pada kebiasaannya, penyelidikan yang dijalankan merujuk kepada sesuatu perkara atau benda yang telah, sedang ataupun akan berlaku. Penyelidikan dilakukan bagi mengkaji masalah khusus dan semestinya menggunakan pendekatan saintifik. Maksudnya, setiap penyelidikan itu akan menjawab setiap persoalan mengapa sesuatu hal yang dikaji berlaku.

Pendekatan saintifik turut menjurus kepada pembentukan dan pengkhususan sesuatu teori sama ada yang sedia ada ataupun baru dicipta. Menurut Amir Hussin Baharuddin(1989:9) Pendekatan Saintifik didefinisikan sebagai satu kaedah(pendekatan) untuk memahami dunia sebenar iaitu kita hidup dengan cara yang objektif dan boleh digunakan oleh penyelidik lain untuk mendapatkan rumusan yang serupa. Pendekatan saintifik turut melibatkan langkah yang sistematik dan objektif setiap benda yang dikaji. Ini adalah kerana ia melibatkan prosedur-prosedur yang dirancang dengan teliti dan analisis yang dilakukan adalah terperinci. Dalam mencari jawapan kepada soalan-soalan khusus yang dikemukakan berkenaan sesuatu masalah yang hakikatnya sudah dikenal pasti penyelidikan merujuk kepada satu aktiviti yang teratur.

Kesimpulannya, penyelidikan adalah cara teratur memperoleh pengetahuan baru. Penyelidikan adalah satu aktiviti berhubung usaha memperoleh dan menganalisis maklumat bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah. Hasil penyelidikan ialah pengetahuan baru. Ini kerana pengetahuan yang ada bersifat berubah-ubah. Dengan adanya sifat tersebut, sesuatu pengetahuan yang dianggap baru pada suatu masa mungkin tidak lagi sesuai pada masa lain. Begitu juga sesuatu pengetahuan yang ada dan sesuai di negara-negara barat mungkin tidak sesuai di Malaysia. Dengan adanya penyelidikan, idea dan pengetahuan baru yang sesuai boleh diperoleh.


CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...