Tuesday, October 27, 2009

Satu Perjalanan SEJUTA PENGORBANAN

Satu Perjalanan SEJUTA Pengorbanan


Saban minggu berulang alik dari Pengkalan Chepa ke Serdang satu pengalaman yang cukup meletihkan dan memenatkan. Namun demi cita-cita dan sebuah perjuangan ia perlu diisi, perlu direalisasikan. Kesukaran dalam mengejar cita-cita adalah satu rentak yang mengubah rutin kehidupan. Anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang dari seorang ayah perlu jua mengubah kosmogoni itu. Pengharapan yang paling besar tentunya ayah serahkan buat abang long, yang kini telah cuba mengerti dan memahami situasi ini. Terima kasih anakku. Moga suatu hari nanti kau jua bisa memperolehkan keberkatan dan kesabaran dalam pencarian segulung ilmu ini. Buat anak-anakku, tentunya keterlangsungan hidup ini, sebenarnya adalah sebuah ketirisan dan kesusahan sewaktu bergelar pelajar suatu waktu dulu. Kesusahan hidup sekeluarga menyebabkan cepat-cepat beralih arah untuk memperolehi pendapatan sendiri. Apatah lagi ketika zaman kemelesetan ekonomi ketika itu.


Keputusan dan atas desakan keluarga terpaksa tunduk untuk menerima dan memasukki maktab perguruan (MP Kota Bharu) walaupun berkesempatan tentunya untuk terlebih dahulu menduduki STPM dan sereterunya berpeluang cerah untuk menduduki tangga universiti. Namun dalam hati sering berjanji dan mengingati bahawa suatu masa nanti akan kujejaki jua gedung ilmu itu. Akhirnya aku dipostingkan di kawasan yang agak pedalaman di Terengganu, walau sukar sekali pun aku mengambil peperiksaan STPM secara persendirian. Aduh siapakah yang mahu mengajarku...jauh dari pusat bandar tentunya sukar untuk mendapat kejayaan ini. Tekad tetap ada, BEBERAPA kali mencuba akhirnya hasil cukup manis jua mendapat 5 prinspal dalam peperiksaan itu. Ya. Allah... lembah kesyukuran kupanjatkan. Ku diterima masuk ke USM melalui pengajian jarak jauh. USM kampus hijau cukup mendamaikan. Cukup indah. Cukup mengerti hasrat lelaki ini untuk mencintaimu. Perjalanan ilmu ini, cukup menyedarkan bahawa terlalu kurang ilmu disisiku. Ku hela nafas panjang-panjang dan dalam daif ku harungi liku-liku perjuangan seorang pelajar dan tidak lupa kerjaya seorang guru harus ku pikul dan kutambat dalam hatiku. Dua-dua serentak dan tentunya lagi memerlukan pengorbanan dan pemahaman seorang isteri. Terima kasih isteriku, walau ku tahu banyak hatimu terluka namun dengan kesabaran dan keinginan suami mendaki dan memilikki segulung ijazah kau reda. Akhirnya cita-cita dan impian itu direalisiasikan dengan kuntuman kejayaan.


Namun, semangat dan cita-cita jua keperitan itu mengiringi untuk sekali lagi berkorban memperolehi ijazah sarjana. Nekad daripada itu, UPSI adalah ibu kandung suluh budiman memberi titik cahaya menerangi kegelapan. Berjayakah aku.....Jua aku mohon pengertian buat anak-anak yang ayahmu masih dahagakan ilmu, masih cintakan ilmu, atau masih berdendam untuk melupakan kegagalan lalu....Pasti situasi sekeliling memandang satu pandangan yang berbeza buatku...Kata ibu...dahlah tu belajarnya...anak-anak pula memerlukan didikan dan asuhan...biar mereka teruskan cita-cita itu. Aku mohon ampun pada mak, pada ayah dan pada kakak yang ketika dulu sanggup berkorban dan mengeluarkan segala perbelanjaan untuk diriku...aku tidak berhenti di sini...ya..memang sukar terutama pengorbanan wang ringgit untuk diri dan perbelanjaan pengajiaan. Akhirnya setelah berhempas pulas, Ijazah Sarjana Pendidikan (M.Ed) telah kuperolehi..Alhamdulilah...Allah memudahkan segala perjalanan hidupku yang pada dasarnya kurasakan terlalu sukar untuk dimiliki....


Walaupun usia hampir menginjak ke 40, tekad dan semangat mahu menyambung ke peringkat PHD tidak pernah terpadam walau sekelumit pun. Yang penting mana nak ku cari duit lagi untuk menampung pengajianku.................menjadi perjalanan usia itu terbuang begitu...Ya....Allah telah mengabulkan doaku...tanpa persiapan apa-apa untuk menghadiri temuduga HLP aku berjaya memperolehi BIASISWA. Ku percaya bukan sedikit perbelanjaan yang harus ditanggungi oleh KPM. Allah Maha Besar, Allah Maha Agung, Allah Maha Kaya, Allah Maha Pengampun, Allah Maha Kasih, Allah Maha Mendengar, Allah Maha Mengetahui hasrat dan isi hati hambamu yang hina ini.


Dalam kedaifan itu dan KETERUJAAN yang amat sangat Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi destinasi arah untuk ku menimba, menggali, mempratikkannya dan melunasi segala hasrat dan cita-cita selama ini. Tiada gambaran dan pastinya air mata SEBAK mengiringiku sebaik sahaja aku menjejakkan kaki dan mendaftar sebagai salah seorang calon PHD di UPM...satu rahmat yang paling BESAR yang kuterima. Terima Kasih Allah, ku syukuri nikmatMu yang diberikan ini, mengabuli hasrat dan inspirasi ini.....





Saturday, October 24, 2009

BUNGA AWAN

Bunga Awan


Seputih kasih

Meniti pelangi

Mengegar rasa

Meneduh pancaran

Menutup duka

Menerbit hujan

Menyejuk laman


Sesejuk Rindu

Mencari khilaf

Menitis aksara

Menguji makna

Menali langit

Membeza malam

Merimbun azam


Seranjang Cinta

Meriwayat citra

Merawat dosa

Menyimpan waham

Memilih diam

Mewangi semerbak

Sekuntum bunga awan

Monday, October 12, 2009

Masih Aku Menanti

Sekadar Hiasan

Masih Aku Menanti

(Buat suami yang ditinggalkan isteri)



Ketika musim itu

sebutir rindu membelai

melagukan irama suci

dan kita bertemu

dalam pintu hati

bersaksi jendela setia

lenanya mengulit mimpi

manisnya waktu bersama

yang tidak terpadam

biar berkurun lama


Tanpa kudrat aku berilusi

merenung lautan nan sepi

di danau kasihmu

melihat kau lari

dalam suram gerhana

tinggalkan teruji aku

menatap syahdu

mengunyah pedih

terasa tiada harga lagi

terpaku menunggu

jauh darimu


Aku semakin sebu

saratnya keberangkatan ini

tanpamu disisi

merintih sendiri

lalu kukucup sejenak potret janji

sebenarnya aku masih menanti

dan mahu kau tahu

kekuatan cinta mengatasi

utuh dan padu

tetap abadi

walau rohkan pergi

dari jasad ini

Sunday, October 4, 2009

Pembentangan Proposal/Seminar


Gambar: Perasmian oleh Timbalan Dekan Siswazah UPM


Alhamdulilah, pembentangan proposal untuk pengesahan tajuk PHDku berjalan lancar semalam (3 Oktober 2009). Perasmian dilaksanakan oleh Timbalan Dekan Siswazah UPM yang berlangsung di Dewan Za’aba. Kesemua yang mendaftar untuk Seminar baik PHD dan Master dengan tesis dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi turut membentangkan hasil kerja mereka.



Pembentangan proposal ini melibatkan kesemua calon PHD dan Master di bawah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Seramai 12 calon PHD dan 9 calon Master untuk pengkhususan Bahasa Melayu. Kesusasteraan Melayu 2 PHD 8 Master. Bahasa.Inggeris 9 PHD, 3 Master, Kesust. Inggeris 1 PHD, 7 Master, Kesust. Cina 6 Master, Bahasa Arab 1 PHD, 7 Master, dan Jabatan Komunikasi 5 PHD dan 4 Master.


Pembentangan ini dibuat di bilik khas dengan hampir kesemua pensyarah turut serta untuk mendengar, memberi komen dan membuat kesimpulan jua pemberian markah untuk proposal tersebut. Peserta-peserta yang hadir turut boleh memberi pandangan dan bertanya mengenai pembentangan tersebut.


Alhamdulilah walaupun ini hanyalah pembentangan proposal tetapi darah gemuruh dan debaran untuk pembentangan ini hanya Allah sahaja yang tahu. Sebelum pembentangan lagi asyik-asyik nak ke tandas sahaja dan terasa nak tercabut sendi lututku. Hehehe..walaupun aku dah biasa bercakap kat Perhimpunan Sekolah rupanya lain betul bezanya.. Syukur sebenarnya kepada Allah walaupun terdapat beberapa komen dari Dr. Zariat dan Dr. Fazilah, namun komen-komen itu rasanya cukup membina dan menyedarkanku dalam sesuatu pernyataan yang ingin dibuat mestilah berlandaskan kepada fakta yang tepat dan keesahan. Mujurlah tajuk yang aku kemukakan tidak meimbulkan perdebatan yang hebat. WOW pembentangan untuk tesis master begitu lantang diperkatakan dan aku rasa kekuatan minda untuk menangani permasalahan itu perlu kuat walaupun komen-komen itu sebenarnya untuk memberi teguran, pembetulan dan pemahaman kepada calon-calon.


Selepas pembentangan lapang selapangnya hatiku. Ya Allah hanya padaMu ku lafazkan syukur dan Terima kasih. Jua aku ucapan jutaan terima kasih buat penyelia tesis PHDku Dr. Samsina yang selama ini dan sehari sebelum itu memberi teguran, pembetulan terhadap hasil proposal yang ingin dibentangkan.


Walaupun dah kurang sibuknya, aku masih belum menyiapkan satu tugasan lagi dan seterusnya menghadapi pula peperiksaan.

CARBONARA UNTUK OPAH

Judul:  Carbonara untuk Opah Pengarang:  Aidil Fadzil Kategori: Novel Kanak-kanak Harga: RM10.90 Penerbit:  Ana Muslim ...